AntarabangsaIsu Semasa

Gaji CEO Di Amerika 278 Kali Ganda Lebih Banyak Berbanding Pekerja Biasa!

Sebuah kajian terbaru yang dilakukan oleh Economic Policy Institute (EPI) mendedahkan bahawa gaji golongan eksekutif tertinggi di syarikat-syarikat di Amerika Syarikat (AS) adalah 278 kali ganda lebih banyak berbanding pekerja-pekerja biasa, dan jurang pendapatan itu terus diperluaskan.

Purata pampasan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di 350 buah syarikat terbesar di negara itu pada 2018 merekodkan jumlah AS$17.2 juta (RM72.1 juta), termasuk pilihan saham, yang membentuk 2/3 daripada pakej pendapatan mereka.

EPI, sebuah pusat pemikir yang memfokuskan isu-isu yang dihadapi oleh pekerja berpendapatan sederhana dan rendah berkata, jurang pendapatan di antara CEO dan pekerja-pekerja biasa telah meningkat daripada nisbah  20 – 1 pada 1965 dan 58 -1 pada tahun 1989.

Dari tahun 1978 sehingga 2018, pampasan CEO telah meningkat lebih daripada 1,000%, sementara pendapatan pekerja biasa hanya menyaksikan peningkatan di bawah 12%.

“Kenaikan (jumlah) pampasan CEO, dan pampasan eksekutif secara umumnya, telah mendorong pertumbuhan pendapatan (golongan) 1.0% dan 0.1% tertinggi, sekali gus menyebabkan pertumbuhan ekonomi yang lebih rendah bagi pekerja biasa dan meluaskan jurang di antara pekerja berpendapatan tinggi dan (golongan) bawah 90%.

“Ekonomi tidak akan terjejas sekiranya CEO dibayar gaji yang lebih rendah (atau dikenakan cukai lebih tinggi),” kata kajian itu.

Selain itu, kajian tersebut juga menyatakan bahawa inflasi pendapatan yang sedang berlaku ini “tidak mencerminkan peningkatan nilai kemahiran, tetapi sebaliknya menunjukkan bahawa CEO menggunakan kuasa mereka untuk menetapkan jumlah gaji sendiri.”

“Kuasa yang semakin meningkat di bahagian atasan ini juga telah mendorong pertumbuhan ketidaksamarataan dalam negara kita,” tambahnya.

Difahamkan, kaji selidik ini diterbitkan berikutan kebimbangan segelintir ahli perniagaan terkaya AS tentang ketidaksamarataan pendapatan yang semakin meningkat.

Tahun ini, pengasas Bridgewater, Ray Dalio memberi amaran bahawa jurang di antara golongan kaya dan miskin di AS kini menjadi krisis kebangsaan.

Sementara itu, Jamie Dimon, Ketua Eksekutif syarikat perbankan pelaburan JP Morgan telah menggesa pelaksanaan “Marshall plan” untuk menangani masalah sistemik ini yang menjejaskan separuh daripada masyarakat.

Sumber: The Sun Daily, The Guardian UK, Phys Org

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button