Isu SemasaTempatan

Cepat Masa Berlalu – KLIA Kini Berusia 21 Tahun

Majlis sambutan ulang tahun ke-21 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), telah diraikan pada Selasa baru-baru ini, dan acara tersebut turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketika beliau mencadangkan idea untuk membina lapangan terbang antarabangsa baru yang jauh daripada kawasan-kawasan utama di Lembah Klang pada tahun 1993, terdapat pelbagai pihak yang berasa skeptikal.

Tidak ramai orang yang mampu benar-benar melihat visi dan kewajaran di sebalik cadangan Dr Mahathir pada waktu itu.

Sementara ramai pesaing politik mengkritik idea tersebut, pelbagai pihak lain melihatnya sebagai peluang untuk melaksanakan pelbagai projek – khususnya hartanah – yang boleh menjadi pelengkap kepada rancangan Dr Mahathir itu.

Apabila Sepang diumumkan sebagai tapak lokasi pilihan pembinaan KLIA, harga tanah di daerah itu meningkat secara mendadak berikutan minat terhadap pelbagai projek berkaitan terus menyaksikan peningkatan.

Akhirnya apabila KLIA dibuka secara rasmi pada tahun 1998, ia dianggap sebagai salah satu struktur yang paling berprestij di dunia.

Pelawat-pelawat juga amat mengagumi keajaiban seni bina KLIA yang direka oleh arkitek terkemuka Jepun, mendiang Kisho Kurokawa.

KLIA kemudian dianggap sebagai lapangan terbang antarabangsa berkelas dunia dan telah memenangi banyak anugerah dari pelbagai organisasi antarabangsa termasuk Skytrax dan Persatuan Lapangan Terbang Antarabangsa.

Difahamkan, Kurokawa turut bekerjasama dengan Arkitek Jururancang (M) Sdn Bhd dan Pacific Consultants International untuk merealisasikan potensi sebenar projek pembinaan KLIA.

Bangunan Terminal Utama lapangan terbang itu direka sebagai infrastruktur ekologi dengan mengadaptasikan konsep “lapangan terbang dalam hutan dan hutan dalam lapangan terbang”.

Pada 2004, selepas sudah beroperasi selama enam tahun, KLIA menerima pengiktirafan daripada Green Globe 21 berikutan komitmennya dalam mempromosikan tanggungjawab menjaga alam sekitar kepada para penumpang.

Bukan itu sahaja, malah KLIA juga merupakan satu-satunya lapangan terbang di dunia yang menerima sijil Green Globe 21 dan terus diberi anugerah yang sama selama lima tahun berturut-turut.

Sepertimana yang divisikan oleh Dr Mahathir, lapangan terbang itu dibina untuk menampung 25 juta penumpang. Pada tahun 2001, jumlah penumpang mencatatkan 14.5 juta orang.

Pada tahun lepas pula, jumlah tersebut mencecah 28 juta orang dan ini melebihi kapasiti maksimum KLIA.

Dengan trafik penumpang yang terus meningkat, ini sekali gus mendatangkan lebih banyak peluang kepada lapangan terbang itu serta kawasan-kawasan di sekitarnya.

Difahamkan, pengendali KLIA, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) sedang melakukan pembaharuan susun atur di lapangan terbangnya di dalam negara untuk meningkatkan lagi ruang niaga dalam usaha meningkatkan hasil pendapatan.

Pembaharuan ini dilaporkan akan dilaksanakan secara berperingkat, dimulakan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, diikuti KLIA, KLIA2, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Rancangan ini dijangka akan meningkatkan purata perbelanjaan setiap individu sebanyak empat kali ganda, daripada RM35 pada waktu ini, kepada kira-kira RM140 dalam tempoh lima tahun akan datang.

Secara keseluruhan, MAHB merekodkan pendapatan sebanyak RM4.85 bilion paa tahun lepas, lebih tinggi berbanding RM4.65 bilion pada 2017.

Di KLIA, inisiatif pembaharuan tersebut akan membolehkan MAHB menawarkan lebih banyak pilihan kedai di semua zon iaitu – Bangunan Terminal Utama, contact pier, dan bangunan satelit.

Setakat ini di KLIA, terdapat sekitar 170 kedai penjual di seluruh lapangan terbang itu. Daripada jumlah berkenaan, kira-kira 65 kedai terletak di Bangunan Terminal Utama, manakala 70 lagi berada di bangunan satelit.

Sumber memberitahu TMR bahawa MAHB dijangka akan menambah 50 lagi kedai di kesemua tiga kawasan berkenaan.

“Lebih banyak jenama dijangka akan masuk ke bangunan ini dan ia pasti akan mempertingkatkan lagi pengalaman keseluruhan pelanggan di lapangan terbang ini.

“Ia bukan sahaja untuk pelancong, teapi juga bagi pelawat yang tidak terbang dari KLIA,” kata sumber.

Selain daripada kedai, Bangunan Terminal Utama juga kini mempunyai 216 kaunter check-in dan lebih daripada 200 kemudahan tandas.

Secara purata, KLIA menguruskan pelepasan 30,000 penumpang setiap hari, sementara menerima 50,000 ketibaan setiap hari.

Gabungan KLIA dan KLIA2 mempunyai tiga landasan sepanjang kira-kira 4 kilometer setiap satu. Secara keseluruhan, kedua-dua lapangan terbang itu mampu menampung sebanyak 70 juta penumpang, dengan menghubungkan lebih daripada 100 destinasi di seluruh dunia.

Di bawah kod KUL (Kuala Lumpur), KLIA dan KLIA2 telah menjadi hub yang ke-12 yang tersibuk di Asia dan ke-23 di dunia, dengan rekod 59 juta penumpang setiap tahun.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button