AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Thailand: Betul Ke FFP Guna Berita Palsu Untuk Menghasut Anak Muda Menentang Tentera?

Parti politik Thailand yang popular dalam kalangan belia di negara itu, iaitu Future Forward Party (FFP) telah menempelak kenyataan Ketua Tentera, Jeneral Apirat Kongsompong yang mendakwa bahawa ia menggunakan berita palsu untuk ‘brainwash’ generasi muda.

Dalam satu wawancara baru-baru ini, Kongsompong berkata bahawa tentera Thai sedang berjuang dalam “peperangan hibrid” yang dicetuskan oleh mereka yang menggunakan berita palsu untuk menghasut anak muda menentang tentera dan monarki.

Walaupun tidak menamakan secara khusus, Apirat menuding jari ke arah sebuah parti “yang ditubuhkan beberapa tahun lalu”, yang menggunakan “platform propaganda yang dituju kepada orang yang berusia 16 dan 17 tahun” – secara jelas menggambarkan FFP, yang baru sahaja ditubuhkan pada bulan Mac tahun lepas.

“Saya percaya bahawa pemahamannya tentang apa itu berita palsu tidak sepadan dengan isitilah yang digunakan di peringkat antarabangsa.

“Parti kami bersetuju bahawa berita palsu adalah satu isu serius di seluruh dunia yang juga mencetuskan perpecahan dalam kalangan masyarakat Thai.

“Tetapi kami adalah mangsa, bukan pelaku,”kata Pannika Wanich, jurucakap FFP dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sementara itu, seorang Ahli Parlimen dari parti pro tentera, Palang Pracharat Parti juga menyatakan bahawa FFP mungkin berkait dengan beberapa siri letupan bom kecil di Bangkok pada awal bulan ini yang menyebabkan empat orang tercedera.

Walaupun siasatan polis ke atas kes itu masih belum selesai, ketua polis Chakthip Chaijinda dalam satu sidang akhbar pada minggu lepas berkata, serangan-serangan tersebut kemungkinan besar bermotifkan politik, sama seperti kira-kira 90% kes pengeboman yang berlaku sebelum ini.

Serangan itu juga berlaku pada waktu penting, di mana Thailand menjadi tuan rumah kepada mesyuarat berprofil tinggi bersama pemimpin-pemimpin dunia.

Menurut Pannika, Kongsompong telah memberi komen yang “amat berbahaya” tentang FFP.

“Walaupun kami popular dalam kalangan generasi muda, parti kami tidak berkhidmat untuk satu kumpulan sahaja.

“Apa yang dikatakan (oleh jeneral itu) pada hakikatnya menyebabkan perpecahan dalam kalangan generasi berbeza. Kita tidak menentang tentera. Ia merupakan sebuah institusi yang penting. Tetapi, kami menyokong ketenteraan moden.

“Jeneral Apirat sebelum ini berkata bahawa tentera tidak akan masuk campur dalam politik, tetapi beliau sedang melakukannya,” tegas Pannika.

Dalam pilihan raya umum Thai awal tahun ini, FFP yang bertanding buat pertama kali telah memenangi 81 daripada 500 kerusi di Dewan Rakyat, ahli-ahlinya tidak mempunyai sebarang pengalaman politik.

Walau bagaimanapun, parti tersebut kini berdepan pelbagai tekanan berikutan tindakan undang-undang yang dikenakan ke atas beberapa anggota utamanya, daripada dakwaan jenayah komputer sehinggalah tuduhan menghasut.

Bukan itu sahaja, malah disebabkan tuduhan-tuduhan berkenaan, FFP juga berdepan kemungkinan untuk dibubarkan sepenuhnya.

Sumber: The Star – Straits Times/Asia News Network

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button