Isu SemasaPolitikTempatan

Pengundi Muda Mahu Lebih Banyak Pendedahan Tentang Proses Pilihan Raya

Pindaan had usia minimum mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun yang diluluskan di Dewan Rakyat pada bulan lepas akan membolehkan golongan remaja yang berumur 14 tahun pada tahun ini untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menjelang 2023 nanti.

Berdasarkan sebuah tinjauan yang dilakukan secara rawak, Bernama melaporkan bahawa sesetengah remaja melihat pindaan tersebut sebagai peluang untuk menyuarakan pandangan mereka dan memainkan peranan dalam memilih kerajaan.

Siti Sara Dina Mohd Fairoz, pelajar Tingkatan Dua berusia 14 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan Abdullah Munshi berpandangan bahawa kelayakan untuk mengundi akan menggalakkan pengundi-pengundi muda belajar tentang pembangunan negara, iaitu satu topik yang kurang diberi perhatian oleh mereka.

“Saya harus mengaku bahawa saya tidak berapa bersedia untuk mengundi pada usia 18 tahun kerana saya baru sahaja akan tamat sekolah, dan politik mungkin akan menjadi satu perkara yang paling jauh dalam fikiran saya.

“Saya tidak rasa saya akan berfikir tentang parti mana yang bertanding dan sebagainya. Jadi jika saya mendapat peluang untuk mengundi, saya mungkin hanya akan mengikut rakan-rakan sahaja.

“Namun, masih ada masa bagi kami untuk memahami proses pilihan raya umum dan pembentukan negara. Ia boleh membantu kami membuat keputusan,” katanya kepada Bernama.

Justeru, Siti Sara berharap agar pihak sekolah dan kerajaan boleh menganjurkan taklimat-taklimat yang sewajarnya untuk mendidik golongan muda yang seusia dengannya berkenaan proses politik negara.

Bagi pelajar Tingkatan Empat, Nurmuzfirah Mohamed Rabi, 16, dari Methodist Girl’s School pula, penurunan usia mengundi mempunyai kelebihan dan kekurangan.

Jelas Nurmuzfirah, dia hanya mempunyai pengetahuan asas tentang politik tempatan dan oleh itu, pihak sekolah perlu memberi pendedahan yang lebih kepada para pelajar dengan menyediakan maklumat secukupnya berkenaan politik dan isu semasa.

“Daripada sudut pandangan positif, kita akan berpeluang untuk bersuara. Jika kita mempunyai wakil bagi golongan seusia kita, saya rasa suara generasi muda akan lebih didengari. Wakil itu juga boleh merapatkan jurang itu untuk kita.

“Tetapi dari segi umur, saya rasa 18 tahun adalah terlalu muda. Wakil akan mengalami kesukaran kerana dia perlu melakukan pelbagai perkara untuk menjadi setaraf dengan wakil-wakil yang lebih matang,” katanya.

Sementara itu, guru sekolah menengah, Sarah Majidah Rozani, 32, berkata bahawa para pelajar boleh memperoleh pengetahuan dan fakta tentang politik dan pembangunan negara di dalam subjek sejarah yang diajar di sekolah.

Tambah beliau, memandangkan maklumat kini berada di hujung jari seseorang dalam era moden ini, para pelajar tidak sepatutnya mempunyai masalah untuk mengakses sebarang maklumat dari internet, surat khabar, dan portal-portal berita.

Sumber: The Sun Daily – Bernama

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button