Bisnes & Ekonomi

Pusat Jagaan Orang Tua Premium – Perniagaan Yang Mendapat Permintaan Tinggi?

Melihat kepada perniagaan untuk mendirikan rumah orang tua-tua itu seperti satu perasaan yang serba salah.

Tetapi tidak semua orang tua juga mahu tinggal bersama saudara mereka dan lebih suka memilih untuk tinggal di rumah penjagaan orang tua.

Itulah yang dihadapi oleh Reuben Anandraj Solomon yang diminta untuk mencari sebuah rumah penjagaan orang-orang tua untuk pakciknya yang tinggal sendiri di Pulau Pinang dan tidak mahu bersama ahli keluarga.

Pencarian tersebut sememangnya tidak semudah yang disangkakan walaupun keluarganya mampu untuk membayar harga premium bagi menjaga pakciknya itu.

Kebanyakan daripada rumah penjagaan orang-orang tua yang didapatinya sering kali dilihat terlebih ramai dan kekurangan pekerja dan ini telah mendorong dirinya untuk mendirikan sebuah rumah penjagaannya sendiri.

“Saya melihat terdapat permintaan untuk orang yang mahu bantuan dalam penjagaan orang-orang tu,” kata Reuben yang berusia 34 tahun.

Mendapat dorongan daripada bapanya, Reuben meninggalkan kerjayanya di sebuah bank dan mula menziarahi beberapa rumah penjagaan termasuk rumah persaraan di luat negara untuk mendapatkan gambaran jenis rumah penjagaan yang terdapat di pasaran dan apakah kekurangan yang ada supaya dia dapat memberi perkhidmatan yang lebih baik.

Setelah berpuas hati dengan pemerhatian yang dilakukan, Reuben berjaya mendapatkan dana terkumpul daripada rakan dan keluarga sebanyak RM600,000 untuk memulakan Senior Care Management Sdn Bhd (SCM).

Reuben menyewa sebuah rumah di Petaling Jaya yang sesuai dengan ciri-ciri yang diperlukan untuk penjagaan orang-orang tua dan boleh memuatkan lebih kurang 20 orang di dalamnya.

Ruang legar di Senior Care Management (SCM) Sumber Imej : The Star. 

Rumah yang berada di dalam kawasan perumahan yang baik merupakan nilai tambah supaya warga tua yang mahu menghuninya nanti akan rasa nyaman berada di kawasan tersebut.

“Kami tidak tahu apa yang akan kami dapatkan tetapi sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan telah membuatkan kami melaburkan masa dan tenaga untuk ini,” kata Reuben yang berkongsi pengalamannya mendirikan perniagaan perkhidmatan untuk warga tua ini kepada TheStar.

Pusat penjagaan orang-orang tua yang telah dibuka untuk penghuninya pada Oktober 2016 telah mencapai kapasiti penuhnya dalam waktu enam bulan sahaja malahan terdapat senarai orang menunggu untuk memasuki rumah tersebut.

“Kami tidak mahu tempat ini menjadi penuh kerana ia sebuah rumah premium. Ianya sebuah rumah dan bukan sebuah institusi. Penjagaan yang diberikan perlulah berbentuk sesuai dengan keinginan peribadi penghuni dan orang tua selalunya memerlukan ruang tersendiri untuk meneruskan gaya hidup mereka,” jelas Reuben.

Bilik di Senior Care Management (SCM) Sumber Imej : The Star.

Perkhidmatan yang diberikan oleh SCM sangatlah sesuai dengan keinginan peribadi sehingga ibunya Reuben turut turun tangan untuk menyediakan makanan untuk para penghuni rumah jagaan premium ini.

Menjejak tahun kedua SCM, Reuben sudah mula merasakan terdapat potensi yang besar untuk perniagaan seperti ini membesar dan dia ingin mencari rakan perniagaan bagi memperluaskannya.

Walau bagaimanapun, setiap perniagaan pasti akan ada kesukarannya masing-masing. Dalam menangani perniagaan ini, mendapatkan pekerja yang bagus dan setia itu adalah salah satu cabaran yang perlu ditempohinya.

Menjadi seorang penjaga orang tua merupakan sebuah kerjaya yang jarang sekali terlintas di fikiran anak muda terutamanya apabila ia kelihatan seperti sesuatu yang tidak berprestasi seperti bekerja di sebuah hospital.

Oleh yang demikian, SCM harus menyediakan insentif dan kemudahan yang lebih lumayan supaya pekerjanya tidak berhenti dari syarikatnya. Dengan itu, 60% daripada kos operasi perniagaannya ialah untuk membayar para pekerja.

Penjaga di Senior Care Management Sumber Imej: The Star.

Di rumah jagaan premium SCM, satu penjaga akan hanya menjaga dua penghuni rumah dan untuk itu SCM juga telah bekerjasama dengan rapat bersama universiti serta kolej yang memiliki program penjagaan supaya pelajar di institusi itu dapat mendapatkan latihan di SCM.

Buat masa ini penghuni di SCM membayar bulanan daripada RM4,000 hingga RM5,000 untuk tinggal di situ dengan pulangan RM1.1 juta.

Kini SCM bercadang untuk membuka cawangan di Kuala Lumpur dengan kapasiti 50 katil dan bercadang untuk mengembangkan perniagaan dengan perkhidmatan harian – ahli keluarga boleh menghantar ibubapa mereka ke pusat tersebut pada waktu kerja dan mengambil mereka setelah jam kerja.

Walau bagaimanapun semuanya berdasarkan permintaan serta modal yang ada kerana menurut Reuben buat masa ini untuk mendapatkan pinjaman bank adalah sesuatu yang sukar kerana ia merupakan perniagaan yang belum lagi popular.

Reuben berharap SCM dapat menjadi pelopor dan syarikat utama dalam segmen penjagaan orang tua di Malaysia.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button