AntarabangsaIsu Semasa

Bas Sampah Terima Sambutan Baik di Surabaya

Berpuluh-puluh orang memegang beg berisi botol plastik dan cawan terpakai di terminal bas di bandar Surabaya, Indonesia di mana penumpang boleh menukar sampah untuk mendapatkan tiket perjalanan.

Negara Indonesia adalah pencemar laut kedua terbesar di dunia di belakang China dan telah berjanji untuk mengurangkan sisa plastik di perairannya sebanyak 70% menjelang 2025 dengan meningkatkan kitar semula, meningkatkan kesedaran awam, dan membendung penggunaan plastik.

Skim Surabaya telah dijalankan di bandar raya dengan 2.9 juta penduduk itu, dengan hampir 16,000 penumpang menukar sampah untuk menikmati perjalanan percuma setiap minggu, menurut pihak berkuasa.

“Ini adalah penyelesaian yang sangat pintar. Ia percuma dan orang ramai sekarang mengumpul botol terpakai dan membawanya ke sini,” jelas penduduk Fransiska Nugrahepi yang berusia 48 tahun.

Menaiki bas selama sejam dengan hentian tanpa had memerlukan tiga botol besar, lima botol sederhana atau 10 cawan plastik. Tetapi mereka mesti dibersihkan dan tidak boleh dimampatkan.

Terdapat sambutan yang positif dari orang-orang ramai yang meletakkan sampah plastik mereka dalam empat tong di belakang pejabat sebelum menuntut tiket mereka.

Franki Yuanus, seorang pegawai pengangkutan Surabaya, mengatakan program itu bertujuan bukan sahaja untuk mengurangkan sampah tetapi juga untuk menangani kesesakan lalu lintas dengan menggalakkan orang ramai beralih ke transit awam.

“Ada sambutan yang baik dari orang ramai,” tegas Yuanus, sambil menambah: “Membayar dengan plastik adalah salah satu perkara yang membuat orang ramai bersemangat kerana sehingga kini sisa plastik hanya dianggap tidak berguna.”

Pada masa ini, terdapat 20 buah bas yang baru, masing-masing dengan tong sampah dan pegawai tiket yang berkawal di lorong untuk mengumpul botol yang didepositkan.

Pihak berkuasa berkata kira-kira enam tan sampah plastik dikumpulkan dari penumpang setiap bulan sebelum dilelong ke syarikat-syarikat kitar semula.

Nurhayati Anwar, yang menggunakan bas kira-kira sekali seminggu dengan anak lelakinya yang berusia tiga tahun, berkata program pertukaran sampah sedang mengubah cara bagaimana orang melihat sampah cawan dan botol mereka.

“Sekarang orang di pejabat atau di rumah cuba mengumpul sampah dan tidak membuangnya,” kata akauntan berusia 44 tahun itu kepada AFP selepas menukar botol untuk perjalanan percuma.

“Kita sekarang tahu bahawa plastik tidak baik untuk alam sekitar dan orang di Surabaya mula belajar.”

Bahagian lain di Indonesia, sebuah negara dengan jumlah sekitar 17,000 pulau, juga sedang mencuba menangani masalah itu.

Bali sedang merancang untuk mengenakan larangan penggunaan penyedut minuman plastik dan beg plastik sementara pihak berkuasa di ibu kota Jakarta sedang mempertimbangkan undang-undang yang sama untuk menghapuskan pengunssn beg plastik membeli-belah di kota.

Kerajaan di seluruh dunia semakin mengambil langkah-langkah untuk membendung ancaman plastik sekali pakai.

Laporan 2016 oleh Yayasan Ellen MacArthur memberi amaran bahawa akan lebih banyak plastik daripada ikan di laut menjelang 2050. Ia menganggarkan lapan juta tan plastik memasuki lautan setiap tahun.

“Ini adalah setara dengan membuang kandungan satu trak sampah ke laut setiap minit. Jika tindakan tidak diambil, ini dijangka meningkat kepada dua trak per minit menjelang 2030 dan empat trak per minit menjelang 2050,” kata laporan itu.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button