Isu SemasaPolitikTempatan

Tun M – “Tanggungjawab Sebagai PM Kali Ini Tiga Kali Ganda Lebih Berat”

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan tanggungjawabnya dalam menggalas jawatan pemimpin tertinggi dalam kerajaan pada kali ini sebagai “tiga kali ganda lebih berat” berbanding zaman beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-4 dari tahun 1981 sehingga 2003.

Ketika mengambil alih tampuk kepimpinan negara sebelum ini, Dr Mahathir menjelaskan bahawa keadaan pentadbiran dan kewangan negara berada dalam keadaan baik dan ‘bersih’ pada waktu itu.

Berikutan kemenangan bersejarah Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018, beliau dilantik sekali lagi sebagai Perdana Menteri.

Namun kali ini, Dr Mahathir berkata bahawa beliau mengambil alih pemerintahan negara dalam keadaan yang ‘kotor’, di mana gejala rasuah berleluasa.

“Kita juga perlu membayar hutang yang dibuat oleh pemerintah terdahulu, sepatutnya (kini) kita dapat guna wang ini kalau ia (betul) dilabur tetapi wang ini hilang.

“Jadi kita terpaksa bayar hutang tetapi sumber asal dana kita sudah hilang. Jadi ini menjadi satu masalah yang berat untuk kita.

“(Kali ini) tiga kali lebih berat, lagipun usia saya sudah lanjut dan saya perlu kerja seberapa kuat yang boleh kerana saya janji saya akan letak jawatan. Jadi saya punya masa (sebagai perdana menteri) mungkin tiga tahun, mungkin dua tahun,” katanya dalam satu wawancara bertajuk “Mahathir Bicara Ulama dan Jokowi: Catatan Najwa” baru-baru ini.

Justeru, Dr Mahathir menyatakan bahawa beliau harus “berlari dengan lebih cepat” untuk menyelesaikan kerja-kerja yang sepatutnya memerlukan masa lapan ke sepuluh tahun, dalam tempoh berkenaan (dua atau tiga tahun).

Dalam pada itu, pelantikannya sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-7 juga menjadikan beliau pemimpin dunia yang tertua di dunia, sekali gus melakar sejarah.

Bercakap tentang penyerahan kuasa kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, negarawan berusia 94 tahun itu berkata bahawa Anwar mempunyai hak untuk mewujudkan dasar-dasarnya sendiri nanti.

Tambahnya lagi, beliau juga terbuka untuk memberi nasihat dan pendapat kepada bekas anak didiknya itu, jika perlu.

“Beliau (Anwar) akan jadi perdana menteri, ia terpulang kepada perdana menteri untuk menentukan dasar-dasar beliau pula.

“Kalau saya ditanya, mungkin saya boleh beri nasihat, pendapat dan sebagainya. (Itu pun) kalau saya ditanya, tetapi saya tidak paksa sesiapa bertanya kepada saya,” ujarnya.

Sumber: The Sun Daily – Bernama

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button