AntarabangsaIsu Semasa

Iran Dedah Sistem Pertahanan Peluru Berpandu “Falaq” Yang Dinaik Taraf

Iran pada Sabtu telah mendedahkan sistem pertahanan peluru berpandu miliknya, “Falaq” yang sudah dinaik taraf.

Sistem ini dilaporkan mampu menyerang sasaran sejauh 400 kilometer selain daripada berupaya mengesan dan memintas semua jenis peluru berpandu dan juga dron.

“Sistem ini mempunyai keupayaan tinggi dan boleh mengesan semua jenis peluru berpandu pelayaran dan balistik dan dron,” kata komander pertahanan udara Iran, Brigadier Jeneral Alireza Sabahifard.

Jelas Sabahifard, Falaq merupakan versi sistem pertahanan peluru berpandu tempatan yang telah menjalani “overhaul”, memandangkan ia sudah tidak beroperasi buat jangka masa yang panjang.

Walau bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan negara asal sistem berkenaan.

Falaq juga dilaporkan boleh digabungkan dengan sistem pertahanan udara Iran yang lebih besar, termasuk sistem peluru berpandu permukaan ke udara S-300 yang dihantar oleh Rusia kepada negara itu pada tahun 2016.

Pendedahan Falaq dilakukan di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat di antara Iran dan Amerika Syarikat (AS).

Memetik laporan Reuters, Iran telah menembak jatuh sebuah dron pengawasan milik AS di Teluk pada bulan Jun dengan menggunakan peluru berpandu permukaan ke udara.

Tehran berkata, dron tersebut telah menceroboh wilayahnya, namun Washington mendakwa bahawa kawasan itu merupakan ruang udara antarabangsa.

Sementara itu, pakar-pakar ketenteraan menyatakan bahawa Falaq – yang merupakan versi sistem Gamma yang sudah dinaik taraf, berasal dari Rusia.

Penganalisis turut berkata bahawa Iran sering kali “memperbesar-besarkan” keupayaan senjata-senjata miliknya, walaupun terdapat kebimbangan berhubung program peluru berpandu balistik jarak jauhnya yang menyebabkan AS menarik diri daripada perjanjian nuklear 2015.

Difahamkan, Presiden Donald Trump telah mengenakan semula sekatan ekonomi ke atas Tehran selepas Washington berundur daripada perjanjian berkenaan.

Sumber: Reuters

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button