Isu SemasaTempatan

Jepun Serius Dalam Membantu Malaysia Membangun

Lawatan kerja Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir ke Jepun baru-baru ini ternyata mengukuhkan lagi hubungan diplomatik di antara kedua-dua negara, dan negara matahari terbit itu turut menzahirkan keseriusannya dalam membantu Malaysia membangun.

Pada Khamis, Dr Mahathir telah mengadakan pertemuan bersama Hiroto Izumi, iaitu penasihat khas Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe, yang juga bertanggungjawab dalam hal ehwal Malaysia.

Ketika pertemuan itu, Izumi turut diiringi oleh sembilan orang pakar dalam pelbagai bidang termasuk kewangan, hutang, pengangkutan, dan pendidikan.

“Kerajaan Jepun telah berbincang dengan serius tentang apa yang ia boleh lakukan untuk membantu kita dan mereka mengemukakan cadangan dan meminta pandangan kita,” kata Dr Mahathir dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, pakar-pakar tersebut memberi pandangan mereka tentang dasar pengangkutan darat, kereta api, dan air yang boleh digunapakai oleh Malaysia untuk memperoleh manfaat sepenuhnya.

Dr Mahathir menjelaskan bahawa beliau akan bangkitkan perkara ini dalam mesyuarat Kabinet agar menteri-menteri boleh mengambil tindakan yang sewajarnya.

Sementara itu, beliau menyatakan bahawa Malaysia akan menjadi negara pertama yang mempunyai cawangan universiti Jepun yang dirancang untuk dibuka di negeri Selangor atau Kedah.

Jelasnya, kajian terperinci berkenaan perkara tersebut telah dibuat selama setahun. Justeru setakat ini, University of Tsukuba telah tampil dengan tawaran yang paling serius dan ia mungkin akan dibuka pada tahun depan.

“Malaysia akan menjadi negara pertama mempunyai cawangan kampus universiti Jepun. Ada beberapa universiti membuat tawaran tetapi Tsukuba yang paling serius.

“Kita harap dapat memulakan (projek pembinaan) tahun depan. Mereka (Tsukuba) memeriksa enam lokasi dan mengecilkan pilihan kepada dua iaitu satu di Kedah, satu lagi di Selangor.

“Selain pengetahuan, kita dapati pendidikan Jepun memasukkan budaya untuk berjaya (dalam kalangan pelajar) tetapi kosnya amat tinggi untuk menghantar pelajar kita ke sana.

“Jika kita bawa universiti itu ke Malaysia, kita boleh memudahkan pelajar dari negara miskin untuk datang belajar di Malaysia,” katanya.

Sumber: The Sun Daily, Bharian

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button