AntarabangsaIsu Semasa

“Amerika Tidak Akan Dibenarkan Letak Peluru Berpandu Di Filipina” – Duterte

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte secara tegas mengisytiharkan bahawa negaranya tidak akan membenarkan Amerika Syarikat (AS) untuk menempatkan sistem peluru berpandu di sana.

Walaupun wujud Perjanjian Pertahanan Bersama di antara Filipina dan AS, Duterte berkata bahawa beliau akan melarang kemasukan senjata-senjata asing, termasuk senjata nuklear, ke negaranya kerana perkara itu dianggap sebagai pencabulan Perlembagaan Filipina.

“Terdapat laporan dalam akhbar bahawa mereka (AS) akan menempatkan beberapa peluru berpandu balistik jarak sederhana. Ini tidak akan boleh berlaku.

“Ia tidak akan berlaku kerana saya tidak akan membenarkannya, memandangkan ia juga adalah pencabulan Perlembagaan. Anda tidak boleh menempatkan senjata nuklear di Filipina,” tegasnya.

Bukan itu sahaja, malah beliau presiden berkontroversi itu turut berkata, beliau tidak akan membenarkan mana-mana “tentera asing” untuk bertapak di Filipina.

“Tiada tentera yang akan ditempatkan di Pulau Pag-asa,” katanya sambil menekankan bahawa beliau tidak mahu Filipina terperangkap di tengah-tengah konflik di antara AS dan China.

Ujar Duterte, kuasa-kuasa asing boleh melancarkan peluru berpandu jika ia hanya akan “melintasi Filipina”, tetapi perlu memastikan ia tidak menjejaskan negara itu.

“Saya akan marah dengan anda. Jika anda mahu berlawan, berlawanlah sesama sendiri,”

Minggu lepas, Setiausaha Pertahanan AS, Mark Esper berkata bahawa Washington ingin menempatkan peluru berpandu di rantau Asia secepat mungkin, dijangka dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Walau bagaimanapun, China memberi amaran keras bahawa ia “tidak akan berdiam diri” dan akan bertindak balas sekiranya AS berbuat demikian di “pintu masuknya”.

Beijing turut menggesa negara-negara Asia untuk berwaspada dan tidak membenarkan AS untuk menempatkan peluru berpandunya.

Sumber: The Star, Manila Bulletin

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button