AntarabangsaIsu Semasa

China Ikrar Untuk Bertindak Balas Jika AS Kerah Peluru Berpandu Di Asia

China pada Selasa mengancam untuk bertindak balas sekiranya Amerika Syarikat (AS) menempatkan peluru berpandu pangkalan darat jarak sederhananya di Asia.

China turut memberi amaran kepada sekutu-sekutu AS bahawa akan berlaku “akibat buruk” sekiranya mereka membenarkan pemasangan senjata sedemikian di wilayah mereka.

Pada Sabtu lalu, Setiausaha Pertahanan AS, Mark Esper berkata bahawa beliau berhasrat untuk menempatkan peluru berpandu tersebut di rantau Asia secepat mungkin, dijangka dalam beberapa bulan lagi.

Minggu lepas, Washington secara rasmi telah menarik diri daripada Perjanjian Kuasa Nuklear Jarak Sederhana (INF).

INF merupakan sebuah perjanjian yang dimeterai pada tahun 1987 oleh  bekas Presiden AS Ronald Reagan dan pemimpin Kesatuan Soviet Mikhail Gorbachev.

Perjanjian itu melarang kedua-dua Washington dan Moscow daripada menempatkan peluru berpandu berpangkalan darat jarak dekat dan sederhana, yang mempunyai jarak di antara 500 kilometer dan 5,500 kilometer.

AS mendakwa bahawa Rusia telah “mencabuli” perjanjian tersebut, sekali gus menyebabkan negara Uncle Sam itu berundur daripada INF.

Namun, Rusia menyifatkan langkah AS itu sebagai ‘taktik’ untuk sengaja keluar daripada perjanjian itu bagi membolehkan mereka membangunkan peluru berpandu baru.

Memandangkan Washington sudah menarik diri, ia kini boleh membangunkan senjata-senjata baru untuk mengatasi China.

Mengulas perkara itu, Fu Cong, ketua pengarah jabatan pengawalan senjata di Kementerian Luar China berkata, Beijing “tidak akan berdiam diri” dan hanya membiarkan Amerika menempatkan peluru berpandunya di Asia.

“Jika AS menempatkan peluru berpandunya di bahagian dunia ini, di pintu masuk China, China akan terpaksa untuk bertindak balas.

“Saya menggesa (negara) jiran untuk kami agar berhati-hati dan tidak membenarkan pengerahan peluru berpandu pangkalan darat jarak sederhana AS di wilayah mereka,” tegas Fu.

Beliau secara khusus menyebut Jepun, Korea Selatan, dan Australia, sambil memberi amaran bahawa penempatan peluru berpandu AS di wilayah mereka tidak akan memenuhi kepentingan keselamatan negara masing-masing.

Walaupun tidak mendedahkan secara terperinci bagaimana China akan bertindak balas, Fu berkata bahawa negaranya akan mempertimbangkan segala langkah sekiranya sekutu-sekutu AS itu membenarkan Washington menempatkan peluru berpandu berkenaan.

Tambahnya lagi, China juga tidak berminat untuk mengambil bahagian dalam sebarang bentuk perbincangan tiga hala bersama AS dan Rusia berhubung peraturan baru berkaitan senjata-senjata sedemikian.

Jelas Fu, kebanyakan peluru berpandu China “tidak mampu mencapai” tanah AS.

Sementara itu, Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) telah menggunakan bajet pertahanan tinggi yang diperuntukkan kepadanya bagi menaik taraf gudang senjata peluru berpandunya, di mana kebanyakannya direka untuk melindungi sekutu-sekutu mereka selain daripada menyerang kapal pengangkut pesawat dan pangkalan yang menjadi “tulang belakang” dominasi tentra AS di rantau itu.

China juga secara pesat sedang membangunkan peluru berpandu hipersonik yang mampu bergerak lima kali ganda lebih laju daripada kelajuan bunyi, atau lebih.

Menurut pegawai-pegawai Pentagon, AS mempunyai pertahanan yang terhad untuk menangkis ancaman peluru berpandu seumpamanya.

Washington juga dilaporkan sedang membina senjata dan strategi baru sebagai tindak balas.

Sumber: Reuters

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button