Gaya HidupIbu dan AnakKesihatan

Apa Yang Ada Dalam Susu Ibu Sehingga Kekurangan Nutrisi Dalam Bayi Boleh Dibendung?

Penyusuan susu ibu diketahui dan dikenali dapat mencegah pelbagai masalah kesihatan dan kematian dalam kalangan bayi yang baharu lahir. Mengikut kajian, bayi yang disusukan dengan susu badan sejak lahir lagi akan kurang menghidap penyakit pada tahun pertama hayat mereka.

Malahan itu, bayi yang menyusu badan juga kurang berisiko mendapat penyakit seperti cirit-birit, pneumonia, bronchitis, sembelit, jangkitan saluran kencing, ekzema dan masalah utama dalam kalangan bayi dan kanak-kanak iaitu malnutrisi.

Malnutrisi atau kekurangan zat makanan adalah masalah yang lazim dialami oleh bayi dan kanak-kanak. Namun begitu, kebanyakan ibu bapa kurang sedar akan bahaya malnutrisi dalam kalangan anak-anak mereka.

Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kekurangan nutrisi dianggarkan berkait rapat dengan 2.7 juta kematian bayi dan kanak-kanak setahun atau 45 peratus daripada semua penyebab kematian kanak-kanak.

Apa yang ada dalam susu ibu sehingga malnutrisi boleh dibendung?

Bermula sejak lahir sehingga usia bayi enam bulan, para ibu perlu menyusukan bayi secara eksklusif kerana susu ibu sudah cukup lengkap dan menepati keperluan nutrisi bayi.

Eksklusif di sini bermaksud bayi hanya diberikan susu badan sahaja dan tidak diberikan makanan atau minuman lain termasuklah air putih. Penyusuan eksklusif ini memberi banyak manfaat kepada bayi dan ibu dengan menjamin perlindungan kepada jangkitan gastrousus.

Ibu yang baharu bersalin pula disarankan untuk mula menyusukan bayi dalam tempoh satu jam selepas kelahiran bayi. Ini kerana susu pertama yang keluar dari payudara ibu adalah yang terbaik untuk si comel.

Susu yang dikenali sebagai kolostrum ini telah mula dihasilkan pada hujung tempoh kehamilan dan merupakan makanan yang sempurna untuk bayi kerana mempunyai 400 jenis nutrien, hormon dan kuasa untuk melawan pelbagai jenis penyakit.

Malahan itu, susu semula jadi ini juga mempunyai pelbagai ramuan penting untuk kesihatan bayi yang tidak boleh diperolehi dari mana-mana susu formula yang terdapat di pasaran.

Penyusuan awal ini membantu melindungi bayi baru lahir daripada jangkitan dan mengurangkan risiko kematian bayi baru lahir. Risiko kematian ini boleh terjadi disebabkan cirit-birit dan jangkitan lain yang boleh berlaku kepada bayi yang tidak diberikan susu badan sepenuhnya ataupun yang tidak diberikan susu ibu langsung.

Susu ibu juga merupakan sumber penting tenaga dan nutrien bagi bayi yang berusia 6-23 bulan. Susu ibu menawarkan separuh atau lebih tenaga yang diperlukan oleh bayi berusia 6-12 bulan, dan satu pertiga keperluan tenaga untuk bayi 12-24 bulan.

Susu badan ini juga menjadi sumber kritikal tenaga dan nutrien semasa sakit, dan mengurangkan kadar kematian di kalangan kanak-kanak yang mengalami masalah kekurangan zat makanan.

Justeru, Hellodoktor menyarankan pemberian susu ibu yang optimum merupakan pencegahan awal kepada masalah malnutrisi bayi dan kanak-kanak, selain memberikan kesan positif sepanjang hayat terhadap bayi dan juga ibu.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button