Isu SemasaTempatan

5 Tahun Lagi, Malaysia Akan Jadi Pemain Utama Industri Permainan Digital

Malaysia dijangka akan muncul sebagai pemain utama dalam industri permainan video digital dalam tempoh lima tahun akan datang memandangkan negara mempunyai individu-individu yang mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam selok belok industri itu serta kumpulan bakat yang diperlukan.

Menurut Naib Presiden Bahagian Kandungan Kreatif dan Teknologi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia  (MDEC), Hasnul Hadi Samsudin, pemaju permainan video Malaysia telah mencapai pelbagai kejayaan dalam industri ini, termasuk mencatatkan jumlah eksport bernilai RM687 juta pada tahun 2018.

Pembangun permainan video digital tempatan seperti Metronomik dan Magnes Games merupakan antara 50 pemain tempatan yang menjadi penyumbang besar terhadap industri permainan video digital negara.

“Penduduk di rantau ini percaya bahawa Malaysia melakukan yang terbaik dalam pembangunan industri permainan video.

“Pemaju permainan video Jepun seperti Bandai dan Namco Studio, pencipta permainan video Pacman, Tekken, Naruto, dan Dragon Ball, juga membuka studio mereka di Malaysia kerana mereka menyedari dan mengiktiraf bahawa bakat Malaysia dalam permainan video digital memiliki kepelbagaian.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita mempunyai pengetahuan yang baik tentang kandungan Barat dan Jepun. Jadi, syarikat-syarikat Jepun juga mahu melihat bagaimana mereka boleh menjadi lebih relevan kepada pasaran Barat. Oleh itu, mereka menggunakan bakat-bakat kami dalam mewujudkan kandungan yang lebih relevan di peringkat global,” katanya.

Dalam usaha memperkasakan lagi pembangunan industri permainan video, Hasnul Hadi berkata bahawa MDEC juga telah mengambil inisiatif dalam mewujudkan kesedaran dan mempromosikan industri ini kepada pelajar-pelajar di sekolah menengah dan universiti.

“Orang mungkin ingat membangunkan permainan video ini mudah, namun hakikatnya, terdapat pelbagai perkara yang perlu dilakukan seperti pengekodan, animasi, dan perkara-perkara lain dalam permainan itu,”tambahnya.

Ujarnya lagi, kerjasama di antara kerajaan dan sektor swasta juga penting dalam industri animasi memandangkan lebih daripada 20 syarikat harta intelek (IP) merekodkan eksport bernilai RM132 juta pada tahun 2018.

Antara syarikat IP yang berjaya termasuk:

1. Giggle Garage

2. Les Copaque

3. Animasia

4. Wau Animation

5. Vision Animation

6. Mirayi

7. Metal Brain

8. Mcube

9. Hud Hud Media

10. Lil Critter

11. Glue Studios

12. Silver Ant

13. Digital Durian

Hasnul Hadi berkata, filem BoBoiBoy Movie 2 akan melakar sejarah dalam industri filem tempatan, di mana filem animasi itu akan ditayangkan secara serentak di lima buah negara iaitu Malaysia, Vietnam, Brunei, Indonesia, dan Singapura pada 8 Ogos ini.

Sumber: The Sun Daily – Bernama

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button