Isu SemasaTempatan

Melaka Sudah Memiliki ‘Musang King’nya Tersendiri. Ada Yang Dah Cuba?

Ada yang masih kempunan durian? Di Melaka mereka sedang menanam durian klon mereka tersendiri dengan satu misi untuk menjadikan durian negeri mereka lebih terkenal berbanding durian Musang King.

Durian Musang King yang kini menjadi rebutan dan sebutan peminat durian dengan harga pasarannya yang tinggi itu telah menjadikannya tanaman yang membawa keuntungan yang mewah.

 

‘Musang King’ Melaka Nama ‘The Rock’?

Durian yang ditanam di Melaka itu pada masa kini memiliki nama ‘Five Fingers – The Rock.‘ Nama asal ini diletakkan kerana seseorang perlu menggunakan lima jarinya untuk mengeluarkan isi durian tersebut.

“Ia kerana lima jari ini, Dwayne ‘The Rock’ Johnson mendapatkan nama,” kata Norhizam Hassan Baktee, Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani Negeri Melaka yang merujuk kepada pelakon dan mantan pemain gusti terkenal dari Amerika Syarikat.

 

Tukar Nama Tempatan Lebih Elok

Walau bagaimanapun, Norhizam berkata pihaknya telah mengemukakan nama baharu untuk durian tersebut kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan bercadang untuk memberinya nama “Parameswara” sebagai memperingati pengasas negeri Melaka.

Menurut Norhizam, spesies baharu durian ini sekarang ditanam di Asahan, Jasin yang mana kawasan tersebut merupakan kawasan yang berkait dengan sejarah Kesultanan Melaka.

Oleh sebab itu juga Norhizam berkata ia adalah tidak sesuai untuk memberi nama spesies durian ini dengan nama orang putih apatah lagi ia adalah buah tempatan.

“Kami lebih suka ia diganti nama menjadi Durian Parameswara,” kata Norhizam.

 

Setelah Durian Parameswara, Durian Hang Tuah?

Selain daripada durian Parameswara, negeri Melaka juga sedang melihat potensi untuk menanam durian daripada klon yang lain dan akan menamakannya sempena beberapa tokoh sejarah Melaka yang lain.

Norhizam juga berkata kerajaan negeri telah memberi sokongan dan keutamaan untuk para peladang tempatan untuk menanam spesies durian seperti Tracka, Kim Hong, Black Thorn, Udang Merah, XXO, D101, D24, D13 dan Mas Johor.

 

Durian Piza Sejuk Beku Keluaran Negeri Melaka?

Menurutnya lagi durian telah mendapat banyak permintaan terutamanya daripada negara China. Oleh itu kerajaan negeri sedang merancang mekanisme terbaik untuk memperbaiki jaringan logistik untuk dipasarkan ke luar negara.

“Permintaan untuk durian kampung dari Melaka serta jenis D24 turut meningkat dengan signifikan dari orang tempatan,” ujar Norhizam.

Sehubungan dengan itu, Norhizam berkata Melaka mahu menggandakan usaha untuk mempromosikan produk berasaskan durian seperti kuih bulan, piza sejukbeku, teh bubble dan kopi kepada pasaran antarabangsa.

Show More

Related Articles

Back to top button