Isu SemasaTempatan

22% Penjawat Awam Mengaku Sanggup Terima Rasuah Sekiranya Ada Kuasa

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melakukan 4,860 tangkapan dari tahun 2014 sehingga bulan Jun tahun ini, di mana 46.3% daripada jumlah itu membabitkan penjawat awam.

Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil, kebanyakan kes rasuah melibatkan individu-individu yang berkhidmat dalam sektor perolehan dan 53.4% pelaku adalah dari kalangan golongan muda yang berusia 40 tahun dan ke bawah.

Lebih membimbangkan lagi, sebuah kajian yang dilakukan oleh SPRM pada tahun lepas mendapati bahawa 22% penjawat awam sanggup menerima rasuah jika mereka mempunyai kuasa dalam kerajaan.

“Kalau di kalangan penjawat awam yang masih bekerja jawab begitu, bermakna ini bahaya dan membimbangkan,” kata Shamshun pada sidang media selepas  Majlis Pelancaran Dasar Integriti Darul Iman (DIDI) oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman, pada Selasa.

Beliau turut mendedahkan bahawa dari tahun 2017 sehingga Jun 2019, SPRM telah menahan seramai 99 individu di Terengganu, di mana 53 daripada jumlah itu merupakan kakitangan kerajaan.

“Daripada 53 orang yang ditangkap itu, 10 individu penjawat awam (agensi) negeri, manakala 43 lagi penjawat awam (jabatan) Persekutuan,” jelasnya.

Tambah beliau, angka tersebut amat membimbangkan, tetapi ia masih rendah berbanding jumlah kes-kes rasuah yang berlaku di negeri-negeri lain.

DIDI yang dilancarkan oleh Menteri Besar Terengganu merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk memperkasakan integriti dalam kalangan penjawat awam di sana menerusi pelbagai program termasuk latihan, kursus, dan seminar.

Ahmad Samsuri berkata, RM2 juta yang diperuntukkan pada tahun ini bagi pelaksanaan program-program tersebut adalah untuk memastikan kejayaan memerangi rasuah dalam pentadbiran kerajaan negeri.

“Kami juga akan mendapatkan maklum balas daripada SPRM bagi memastikan penerapan nilai-nilai anti-rasuah akan terus kekal di hati pegawai-pegawai yang bertugas,” ujarnya.

Sementara itu, berdasarkan dokumen Pelan Anti Rasuah Nasional 2019-2023 (NACP) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada bulan Januari, sektor perolehan juga menjadi sektor yang paling tinggi cenderung kepada rasuah dalam tempoh lima tahun sejak 2013.

Berikut adalah jumlah aduan yang diterima SPRM bagi tahun 2013 hingga 2018 membabitkan 10 sektor:

1. Perolehan – 42.8%

2. Penguatkuasaan – 23.9%

3. Pentadbiran – 13.4%

4. Perlesenan dan permit – 8.6%

5. Pembiayaan – 8.1%

6. Perniagaan dan industri – 1.2%

7. Hal ehwal undang-undang dan kehakiman – 0.9%

8. Perkhidmatan – 0.5%

9. Pelaburan – 0.4%

10. Pertahanan dan keselamatan – 0.1%

NACP turut menyenaraikan enam bidang utama yang berisiko kepada rasuah iaitu tadbir urus politik, pentadbiran sektor awam, perolehan awam, perundangan dan kehakiman, penguatkuasaan undang-undang, serta tadbir urus korporat.

Sumber: The Sun Daily, Bernama 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close