Gaya HidupIbu dan AnakKesihatan

10 Faedah Susu Ibu Kepada Sang Anak Dan Juga Ibu

WHO dan Tabung Kanak-kanak Negara (UNICEF) menganggarkan lebih 800 ribu nyawa bayi dan kanak-kanak di bawah usia lima tahun dapat diselamatkan pada setiap tahun sekiranya penyusuan susu ibu diberikan secara optimal.

Usaha ini perlu dilakukan kerana pemberian pemakanan yang optimal amat penting semasa dua tahun pertama hayat mereka bagi mengurangkan morbiditi dan kematian, mengurangkan risiko penyakit kronik, serta menggalakkan perkembangan dan tumbesaran yang sihat.

Konsultasi Pakar WHO telah mempertimbangkan bukti-bukti saintifik dan membuat kesimpulan bahawa penyusuan susu ibu secara eksklusif bagi bayi sejak lahir sehingga mencapai usia 6 bulan akan memberi pelbagai faedah kepada bayi dan juga si ibu.

Berikut ialah 10 faedah oleh Hellodoktor

#1. Bayi lebih sihat

Menurut Ruth A. Lawrence yang merupakan seorang pakar nutrisi kanak-kanak, bayi yang menyusu badan mempunyai risiko lebih rendah untuk mengalami radang paru-paru, selesema dan jangkitan pelbagai jenis virus.

Beliau berkata walaupun mengalami cirit-birit yang merupakan masalah serius bagi bayi, bayi yang menyusu badan akan kurang teruk simptomnya. Diabetes jenis 1, penyakit seliak atau penyakit Crohn juga adalah beberapa senarai penyakit yang tidak akan dialami bayi yang menyusu badan.

#2. Vaksin semula jadi buat bayi anda

Kajian menunjukkan bahawa bayi yang menyusu susu badan mempunyai tindak balas antibodi yang lebih hebat berbanding kebanyakan vaksin yang diambil bayi.

#3. Mengurangkan risiko kanser

Penyusuan badan mampu menurunkan risiko kanser tertentu buat bayi anda. Bagi si ibu pula, ia mampu mengurangkan risiko kanser ovari dan kanser payudara sebelum menopaus.

#4. Mengurangkan risiko SIDS

SIDS adalah sindrom kematian bayi mengejut. Penyusuan susu badan boleh mengurangkan risikonya sebanyak 50%.

#5. Si ibu akan mempunyai tulang lebih kuat

Lawrence juga menyatakan bahawa para ibu yang menyusukan bayi dengan susu badan akan kurang kecenderungan untuk mengalami osteoporosis selepas menopaus kelak.

#6. Mengurangkan masalah berat badan

Kedua-dua ibu dan bayi boleh mendapat manfaat daripada aspek ini. Kedua-duanya akan kurang berisiko mendapat obesiti. Ini kerana menyusu badan membantu para ibu membakar lebih kurang 500 kalori pada setiap hari. Dalam pada itu, susu ibu adalah lebih sihat daripada mana-mana susu pasaran lain dari segi nilai nutrisi dan khasiatnya.

#7. Proses penyembuhan lebih baik selepas melahirkan bayi

Apabila seorang ibu menyusukan anaknya dengan susu badan, hormon yang dipanggil sebagai oksitosin akan dirembeskan.

Bahan ini dapat membantu pengecutan rahim serta mengurangkan kehilangan darah selepas melahirkan bayi. Penyusuan susu ibu juga dapat mempercepatkan proses rahim kembali semula ke saiz asalnya.

Jika anda menyusukan bayi dengan susu badan, tempohnya hanya mengambil masa 6 minggu, berbanding 10 minggu bagi mereka yang tidak melakukannya.

#8. Melewatkan haid

Apabila anda menyusukan bayi anda dengan susu badan, ia boleh melambatkan proses ovulasi dan juga haid. Dengan prolaktin yang dikeluarkan semasa penyusuan, estrogen dan progesteron akan berada pada paras yang rendah sekali gus tidak mengaktifkan ovulasi.

#9. Penyelesaian mesra bajet

Susu badan sentiasa ada pada jumlah dan suhu yang betul untuk bayi anda. Selain itu, ia boleh bertukar secara semula jadi untuk memenuhi permintaan bayi anda.

Apabila bayi anda baru dilahirkan, kolostrum – susu awal berada dalam tekstur berair dengan penuh antibodi untuk memuaskan kelaparan bayi yang baru lahir.

Kemudian, apabila bayi memerlukan lebih banyak kalori untuk berkembang, susu badan akan menjadi kaya dengan gula dan lebih tinggi jumlah kalorinya.

Untuk semua perubahan ini, ibu yang menyusukan tidak perlu mencari maklumat mengenai jenama atau fakta pemakanan seperti seorang ibu yang memberi anaknya menyusu susu formula atau susu segar.

#10. Ikatan ibu dan anak lebih kuat

Paling penting, menyusukan bayi anda dengan susu badan sambil melihat mereka membesar hari demi hari dapat menguatkan ikatan antara anda dan bayi anda.

 

Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan terdapat ibu yang tidak berupaya untuk memberi susu ibu kepada anaknya. Ini dia  beberapa sebab mengapa ibu tidak boleh menyusu badan dan tips untuk ibu yang tidak dapat memberi susu badan. 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button