AntarabangsaIsu Semasa

Perang Dagang AS Dan China Risikokan Ekonomi Global

Hubungan Amerika Syarikat (AS) dan China yang sudah tegang akibat Perang Dagang kini bertambah buruk apabila Presiden Donald Trump, pada minggu lepas, mengumumkan rancangan untuk mengenakan tarif baru ke atas import China.

China bertindak balas dengan berhenti membeli produk-produk pertanian AS dan turut merendahkan kadar mata wangnya berbanding dolar Amerika.

Trump kemudian menuduh China melakukan manipulasi mata wang, sekali gus memberi isyarat jelas bahawa beliau bersedia untuk meningkatkan lagi ketegangan.

Ketika Trump mengumumkan langkah pertamanya pada Mac 2018, beliau bercakap besar bahawa perang dagang adalah satu perkara yang baik dan “mudah untuk dimenangi”.

Tetapi, pasaran melihat perkara ini daripada perspektif yang berlainan. Ia melihat dua ekonomi terbesar di dunia bersengkata untuk jangka masa yang panjang dan Trump meningkatkan lagi ketegangan perdagangan global dalam usaha menekan bank pusat AS, Rizab Persekutuan, untuk memotong kadar faedah.

Menurut laporan The Guardian, pasaran tidak selalunya betul, tetapi kali ini ya. Tiada sesiapa yang mahukan perang dagang.

Perang dagang akan menjejaskan kedua-dua AS dan China. Tetapi, perang dagang secara berperingkat semakin menghampiri, dan tarif terbaru AS akan dikuatkuasakan tidak lama lagi, iaitu kurang daripada empat minggu.

Beberapa minggu ini akan menjadi tempoh yang terpenting bagi sistem perdagangan global sejak tahun 1930-an.

Jika Trump dan Presiden China, Xi Jinping tersilap kiraan, ia akan mengakibatkan perang dagang dan matawang berskala penuh yang akan menyebabkan kemusnahan keyakinan perniagaan, penutupan kilang, serta peningkatan pengangguran.

Impak tarif terbaru Trump dikatakan tidak terlalu besar terhadap pertumbuhan China, tetapi kerosakan kolateralnya akan menjadi jauh lebih buruk.

Trump itu merasakan bahawa langkah-langkah perdagangannya akan menjejaskan ekonomi China, sekali gus akan memaksa Xi untuk ‘tunduk’ kepada permintaan-permintaan utama AS iaitu:

1. Akses pasaran yang lebih besar

2. Mengakhiri kecurian harta intelek AS yang dilakukan oleh China

Ramalan Rumah Putih tentang perkara pertama itu tepat, namun tidak bagi yang kedua.

Pertumbuhan ekonomi China berada pada tahap yang paling lembab dalam tempoh hampir tiga dekad dan tarif yang dikenakan oleh AS merupakan salah satu penyumbang utama.

Tetapi, Beijing dilihat mahu memanjangkan lagi situasi ini, di mana ia sanggup membiarkan kadar matawang yuan untuk meningkat lebih daripada tujuh ke atas dolar. Itu merupakan langkah yang signifikan, tetapi membimbangkan pada masa yang sama.

China sehingga kini dilihat mahu mengelak daripada tuduhan Trump bahawa ia menggunakan matawang di bawah paras nilaiĀ  untuk memperoleh kelebihan yang tidak adil bagi pengeksport-pengeksportnya.

Justeru, ia telah melakukan banyak campur tangan untuk menghalang susut nilai matawang yuan ke atas dolar.

Memandangkan Xi sedia dilabel oleh Trump sebagai “pemanipulasi matawang”, ini menunjukkan bahawa beliau mungkin sudah hilang keyakinan terhadap kemungkinan untuk mencapai sebarang perjanjian dengan AS.

Sebaliknya, beliau dilihat bersedia untuk tunggu dan lihat sama ada Trump masih akan ‘menyerangnya’ pada Pilihan Raya Presiden AS 2020 nanti atau tidak.

Dalam pada itu, Trump, menerusi kenyataan-kenyataannya di Twitter, merasakan seolah-olah China yang membayar tarif yang dikuatkuasakan olehnya, sedangkan pada hakikatnya, tarif tersebut dibayar oleh pengundi-pengundi AS dengan harga yang lebih tinggi.

ADAKAH PERANG MATAWANG AKAN MEMBERI KESAN TERHADAP MALAYSIA?

Ketegangan konflik dagang AS-China yang semakin meningkat berpotensi menyebabkan penurunan nilai matawang, sekali gus mendatangkan risiko kepada Ringgit.

Rancangan Trump untuk mengenakan 10% tarif ke atas barangan import tambahan China bernilai AS$300 bilion (RM1.25 trilion) mulai bulan depan menyebabkan China berikrar untuk bertindak balas dengan meminta syarikat-syarikat pertaniannya menggantung import produk pertanian AS.

Ketua strategi pasaran FXTM, Hussein Sayed berkata, matawang yuan melanggar tahap psikologinya pada paras tujuh ke atas dolar AS semalam, selepas Bank Rakyat China (PBoC) menetapkan paras pertengahan yuan pada 6.9225.

Menurut Hussein, ini merupakan pertama kali matawang yuan berdagang melebihi tahap psikologinya.

“PBoC telah membelanjakan ratusan bilion dolar sejak beberapa tahun kebelakangan ini untuk menghalang matawang daripada melanggar tahap ini, tetapi keadaan berbeza kali ini.

“Malah, peralatan matawang itu mungkin akan berkesan memandangkan ia dapat mengimbangi impak tarif AS,” katanya.

Tambah beliau, sekiranya matawang China jatuh pada 8% daripada tahap sedia ada, tarif 10% yang dibayar oleh pengimport AS akan diimbangi oleh kelemahan yuan.

Hal ini mencetuskan kebimbangan bahawa perang dagang AS-China boleh membawa kepada perang matawang, di mana negara-negara di dunia akan menyusutkan nilai matawang tempatan masing-masing untuk merangsang ekonomi domestik.

Dalam situasi ini, yuan akan ditetapkan pada tahap yang semakin tinggi untuk mengimbangi kerugian perdagangan, dan ini mungkin akan mendorong negara-negara lain untuk mengambil langkah yang serupa.

Difahamkan, matawang ringgit berisiko dalam senario ini disebabkan betanya yang tinggi terhadap yuan, di mana ia menanggung 60% korelasi kepada kelemahan yuan.

Pengurus Bersama VM Markets Pte Ltd, Stephen Innes menjangkakan bahawa matawang Malaysia akan menjadi semakin lemah dan akan menguji paras RM4.20 terhadap dolar, sekiranya pertukaran dolar-yuan mencatatkan jumlah yang tinggi.

“Secara jujurnya, saya tidak melihat sebarang sebab untuk menentang langkah ini kerana kita mungkin akan menerima tindak balas yang lebih agresif daripada Trump.

“Sekiranya perang matawang berskala penuh berlaku, ringgit secara teorinya akan kukuh, sekali gus memaksa Bank Negara Malaysia (BNM) untuk bertindak balas dengan mengurangkan kadar,” katanya.

Innes turut menyifatkan perang matawang sebagai perkara yang amat “serabut”, di mana tiada sesiapa yang ingin terlibat dalam masalah tersebut.

Sumber: The Guardian UK, The Malaysian Reserve

Tags
Show More

Related Articles

Check Also

Close
Back to top button