Bisnes & Ekonomi

Bill Gates Bergandingan Dengan Mantan Pemuzik Untuk Memudahkan Rawatan Rakyat Indonesia

Indonesia, sebuah negara yang mimiliki populasi sebanyak 260 juta orang dengan lebih 17,000 pulau ini sangatlah kekurangan doktor untuk menampung populasi mereka yang semakin meningkat.

Menurut Bank Dunia, Indonesia hanya memiliki dua doktor perubatan untuk setiap 10,000 orang di negara terbesar di Asia Tenggara itu.

Walaupun terdapat usaha daripada kerajaan untuk mewujudkan infrastruktur serta perkhidmatan, tetapi masih sahaja berkurangan terutamanya di pusat bandar seperti Jakarta yang mana klinik serta hospital kerajaan sering sahaja dibanjiri pesakit.

Namun kini anak muda serta orang yang memiliki akses kepada internet boleh mendapatkan khidmat nasihat doktor serta membuat pesanan ubat dengan hanya melalui aplikasi seperti Halodoc.

Apa Itu Halodoc?

Halodoc merupakan sebuah aplikasi yang wujud pada tahun 2016 oleh seorang jejaka berusia 34 ketika itu sehingga berjaya menarik pelaburan daripada Yayasan Bill & Melinda Gates sekaligus menjadi organisasi pertama mendapatkan pelaburan ekuiti perubatan atas talian oleh yayasan tersebut.

Sehingga kini Halodoc memiliki 40 juta pengguna aplikasi dan juga laman web. Mereka juga berkerjasama dengan lebih 22,000 doktor perubatan berlesen di seluruh Indonesia untuk memberi perkhidmatan perundingan kepada pesakit.

Antara doktor pakar yang boleh anda dapat khidmat nasihat di atas talian. Sumber Imej: bloomberg.com

Inspirasi Mendirikan Halodoc

Jonathan Sudharta yang kini berusia 37 tahun pada awalnya sering sahaja dipertikaikan kemampuan dirinya untuk mengambil alih syarikat berasaskan ubatan milik keluarganya.

Walau bagaimanapun, dia berjaya membuktikan dirinya dan bekerja dari bawah untuk mendapatkan pengalaman sehingga berjaya mendirikan syarikatnya sendiri.

Ayahnya yang merupakan hartawan hasil titik peluh sendiri itu tidak mendanai Halodoc secara langsung.

Jonothan Sudharta, pengasas Halodoc. Sumber Imej: tokohkita.co

Bekerja Dari Bawah Untuk Dapat Pengalaman

Jonathan yang pada usia remajanya pernah terlibat dalam pergaduhan di antara senior di sekolah telah dihantar melanjutkan pelajaran di sebuah sekolah terkenal iaitu Hale School di Perth, Australia dan kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Curtin University.

Dia yang merupakan seorang peminat muzik, menjadi pemain bass untuk sebuah band dan sering sahaja mengadakan konsert untuk diaspora Indonesia yang berada di Australia serta memproduksikan filem tersendiri.

Apabila kembali ke tanah air, Jonathan menjadi pelatih di syarikat ayahnya dan di hari pertama dia bekerja, tugasnya ialah untuk memberi duit bonus kepada pekerja di pelabuhan yang kerja mereka mengangkat barang. Duit yang diberikan pula hanyalah Rp1000 (RM0.30).

 

Sedih, Kecewa Seperti Ditampar

Jonathan sangat sedih dan kecewa melihat orang tua yang harus mengangkat barang berat dan mahu memberi mereka Rp5000 tetapi tindakan tersebut telah dihalang oleh pengurus dan mengatakan tindakannya akan menyebabkan syarikat terjejas.

Apa yang lebih menyentuh perasaan Jonathan ialah apabila orang tua yang menerima wang tersebut sangat bersyukur dengan duit yang diterima, Jonathan sedar bahawa bagaimana beruntungnya kehidupannya dan berjanji tidak akan sambil lewa lagi.

“Ia seperti sebuah tamparan hebar kepada diri saya dan itu mengubah kehidupan saya,” kata Sudharta kepada Bloomberg.

 

Bertanya Untuk Dapatkan Nasihat

Jonathan pun pergi bertemu seorang pengusaha yang telah menjadi generasi kedua penerus syarikat keluarga dalam perniagaan perubatan, Ferry Soetikno yang merupakan 12 tahun lebih tua daripadanya.

Ferry menasihatkannya tiga perkara iaitu, fokus, mula dari awal dan sentiasa mengukur prestasi diri.

Dengan itu Jonathan memulakan kerja dari bawah di syarikat ayahnya, Mensa Group dengan nama lain РBudi Jonathan supaya tiada siapa mengenali latar belakangnya dan mula sebagai wakil perubatan junior di mana  dia selalu harus menunggu sehingga lewat malam untuk bertemu dengan doktor yang sering bekerja malam untuk memperkenalkan (menjual) ubat kepada mereka.

Perkara ini berjalan sehingga lebih 13 tahun dan Jonathan berjaya naik pangkat dalam syarikat ayahnya.

 

Tidak Pernah Terfikir Untuk Memulakan Perniagaan Sendiri

Jonathan tidak pernah terfikir untuk memulakan perniagaannya sendiri tetapi seringkali akan berbincang dengan rakan terdekat tentang kepincangan yang dilihatnya.

Salah satu rakannya yang juga merupakan pengasas Gojek, Nadiem Makarim berkata kenapa anda tidak mahu memulakan syarikat start-up anda sendiri? Buat dengan cara betul dan cari dana.

Gojek yang juga kini merupakan antara start-up yang berjaya dan menjadi kunci strategik kepada Halodoc menasihatkan Jonathan untuk fokus dalam membantu orang yang mereka rasa sangat kurang.

Jonathan berfikir banyak kali tentang pertemuan dengan melihat pesakit sanggup tidur di luar hospital hanya untuk datang berjumpa doktor untuk beberapa minit dan menunggu sampai dua jam untuk mendapatkan perubatan.

Input serta pengalaman Jonathan telah mengubah segalanya dan dia akhirnya mewujudkan Halodoc.

Perkhidmatan penghantaran ubat oleh Gojek. Sumber Imej: bloomberg.com

 

Pertemuan Dengan Bill Gates

Setahun setelah Halodoc bermula, Jonathan mengalami lonjakan paradigma apabila menjadi salah seorang daripada anak muda yang dijemput untuk makan tengahari bersama Bill Gates di Seattle.

Semua yang dijemput diminta untuk memakai pakaian formal termasuk Jonathan tetapi dia dengan beraninya membuka blazer formalnya itu untuk mendedahkan baju kemaja-T berwarna merah dengan logo Halodoc terpapar di atas kemeja-T tersebut.

Jonathan meninggalkan pertemuan tersebut dengan mesej bahawa jika anda beruntung untuk boleh mengubah dunia, lakukanlah perkara baik, jalaninya dan jangan terpengaruh dengan duit yang bakal datang.

Halodoc sangat beruntung apabila Yayasan Gates yang sememangnya mengeluarkan geran bernilai berbilion dollar untuk membantu menaik taraf kehidupan orang di negara membangun di mana salah satu negara dalam senarai mereka ialah Indonesia.

Yayasan Gates juga pada masa yang sama sedang mencari syarikat tempatan untuk memberi dana secara langsung supaya misi mereka tercapai dengan lebih sempurna dan ini telah menemukan titik persefahaman di antara kedua-dua misi mereka.

Kini Halodoc memiliki beberapa sumber dana selain daripada Yayasan Gates ialah dengan Prudential Plc dan Allianz SE.

Bagaimana Halodoc Beroperasi?

Contoh paparan aplikasi Halodoc. Sumber Imej: viva.co.id

Buat masa ini, Halodoc memberi khidmat nasihat doktor daripada Rp20.000 (RM6) tetapi ada juga yang dibiayai sepenuhnya oleh Halodoc yang mana duit tersebut ialah daripada wang pelaburan serta wang komisyen dari penjualan ubatan, ujian lab dan rujukan hospital.

Jonathan juga bernasib baik memiliki kenalan daripada syarikat ayahnya untuk mendapatkan khidmat pakar doktor, hospital dan farmasi untuk bekerjasama dengannya.

Walau bagaimanapun, apa yang menyebabkan Halodoc lebih menyerlah berbanding aplikasi yang lain (di Indonesia, terdapat juga aplikasi lain yang juga memiliki sasaran dan tujuan yang sama) ialah visi Jonathan yang meliputi kesemua aspek dari pengalaman sebuah pesakit yang boleh ditelusuri hanya melalui aplikasi, laman web dan pembayaran digital.

“Sama ada dengan memberi khidmat bidan ke sebuah pulau terpencil atau farmasi di tengah-tengah bandar sibuk, pendekatan Halodoc telah membina jambatan yang tadinya sangat sukar untuk dicapai. Malah melalui Halodoc ini juga ia telah memberi peluang kepada Indonesia untuk menjadi pelopor dunia dalam inovasi sebegini,” kata Rossow, Pengurusan Strategik Pelaburan Yayasan Gates.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button