AntarabangsaIsu Semasa

Ketegangan Semakin Memuncak – Terlalu Banyak Kapal Perang Di Laut China Selatan

Negara-negara Asean telah meluahkan kebimbangan terhadap ketegangan yang semakin meningkat disebabkan kehadiran terlalu banyak kapal perang di Laut China Selatan.

Menteri Luar Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kehadiran kapal perang di kawasan perairan yang dipertikaikan itu perlu dikurangkan demi memastikan keamanan, kestabilan, keselamatan, dan kebebasan pelayaran di Laut China Selatan.

“Ia merupakan laluan bebas tetapi apabila ada terlalu banyak kapal (perang), kami bimbang,” katanya kepada Bernama.

Saifuddin mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri Luar ASEAN Ke-52/Pasca Persidangan Menteri dan Mesyuarat Berkaitan (AMM/PMC ke-52) yang berakhir pada Sabtu baru-baru ini.

Jelas beliau, menteri-menteri luar dari kesemua 10 negara anggota Asean menekankan kepentingan untuk menghormati prinsip ‘non-militarisation’ di Laut China Selatan.

Menurut Saifuddin, mereka turut bertukar pendapat tentang kawasan perairan tersebut menerusi pelbagai platform ketika AMM dan PMC, dan juga dengan rakan dialog semasa Forum Serantau ASEAN (ARF) dan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS).

Difahamkan, ketegangan semakin memuncak apabila China melancarkan ujian peluru berpandu balistik anti-kapal di kawasan tersebut pada bulan lepas.

Vietnam pula menuduh China mencabuli kedaulatannya kerana masuk campur dalam aktiviti minyak dan gas di kawasan luar pesisir pantainya (offshore).

Pada bulan Jun, sebuah bot nelayan Filipina telah tenggelam akibat dilanggar leh sebuah kapal milik China. Bot tersebut pada waktu itu dipercayai membawa sejumlah besar minyak dan gas asli.

Rabu lepas pula, Menteri Luar China, Wang Yi menyatakan bahawa Asean dan Beijing telah menyelesaikan pembacaan pertama draf teks tunggal rundingan bagi kod tatalaku (CoC).

Wang yang juga hadir ke AMM dan PMC di Bangkok itu berkata, perkara tersebeut merupakan perkembangan penting dalam rundingan CoC dan menandakan langkah kritikal ke arah mencapai matlamat untuk menamatkan rundingan dalam tempoh tiga tahun.

Sementara itu, Saifuddin menegaskan bahawa aktiviti navigasi perlu dikurangkan di Laut China Selatan kerana berlaku tuntutan bertindih.

“Semasa kita membincangkan CoC, terdapat juga aktiviti lain yang berlaku di satu atau dua pulau (yang dipertikaikan) di Laut China Selatan,” ujar beliau.

Mengulas tentang AMM/PMC Ke-52, Saifuddin berkata Malaysia telah mengemukakan kepentingan serta pandangannya berhubung perkara-perkara yang berkaitan dengan isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kebimbangan bersama.

Ujarnya, pihak-pihak yang terlibat telah mengadakan perbincangan yang baik, di mana beliau turut menyifatkan Asean sebagai platform penting untuk bersuara dan membincangkan tentang keamanan dunia serta perdagangan antarabangsa.

Sumber: The Sun Daily – Bernama

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close