Gaya HidupKesihatan

3 Jenis Susu Ibu Yang Mungkin Anda Tidak Tahu

Kebanyakan daripada kita tidak tahu bahawa susu badan juga mempunyai jenisnya. Secara umumnya, susu badan terbahagi kepada 3 jenis iaitu kolostrum, susu transisi dan juga susu matang. Persoalannya, apakah beza ketiga-tiga jenis susu ini?

Kolostrum

Kolostrum adalah peringkat pertama susu badan yang berwarna seakan kekuningan. Susu jenis ini juga dikenali dengan nama susu awal bayi. Ia dihasilkan sewaktu kehamilan dan akan berlangsung beberapa hari selepas kelahiran bayi.

Kolostrum sebenarnya sangat kaya dengan pelbagai nutrisi dan juga antibodi, menjadikannya sumber makanan atau minuman yang sempurna untuk bayi yang baru lahir.

Selain itu, kolostrum juga sangat tinggi dengan protein, vitamin larut lemak, dan immunoglobulin. Immunoglobulin adalah antibodi daripada ibu yang disalurkan kepada bayi dalam kandungan bertujuan memberikan imuniti pasif kepada bayi.

Ia akan membantu melindungi bayi daripada pelbagai jenis penyakit bakteria dan virus. Dua hingga empat hari selepas kelahiran, kolostrum akan digantikan pula dengan susu transisi.

Susu Transisi

Susu transisi akan menggantikan kolostrum dalam masa empat hari selepas kelahiran dan akan berterusan selama dua minggu.

Ia mengandungi laktosa, vitamin larut air, dan juga kandungan lemak yang sangat tinggi. Dalam pada itu, susu transisi sebenarnya mengandungi lebih banyak kalori berbanding kolostrum.

Susu Matang

Susu matang pula akan mula muncul pada penghujung minggu kedua selepas kelahiran bayi. Ia adalah lebih ringan, dan mempunyai lebih banyak air berbanding susu transisi.

Air merupakan 90% daripada komponen susu matang ini, yang akan membantu bayi kekal terhidrat. 10% lagi terdiri daripada karbohidrat, protein dan lemak yang sangat diperlukan untuk tumbesaran bayi.

Terdapat dua jenis susu matang:  susu permulaan (foremilk) dan susu penghujung (hindmilk).

  • Foremilk atau susu permulaan akan diperolehi pada permulaan penyusuan dan mengandungi vitamin, air dan protein.
  • Hindmilk atau susu penghujung akan diperolehi pada penghujung penyusuan dan tinggi kandungan lemak, yang sangat diperlukan untuk membantu pertambahan berat badan bayi.

Hakikatnya, kedua-duanya diperlukan untuk memastikan bayi terus menerima nutrisi yang mencukupi untuk membesar dengan sihat.

Tanpa mengira jenis-jenis susu badan ini, ia adalah tetap susu ibu. Bayi yang disusukan dengan susu badan sebenarnya akan menerima pelbagai manfaat yang kadangkala kita sendiri belum tahu.

 

Sumber: Hellodoktor

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button