AntarabangsaIsu SemasaTempatan

Malaysia Dan Turki Akan Memperhebatkan Semula Tamadun Islam?

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan lawatan rasminya ke Turki baru-baru ini sebagai “amat luar biasa” dan “begitu bermakna” kepada Malaysia.

Jelas beliau, kerajaan Turki telah menganjurkan pelbagai program komprehensif selain daripada mempamerkan kebolehan mereka dalam bidang ketenteraan.

Bukan itu sahaja, malah Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, tanpa dijangka, telah datang ke lapangan terbang untuk menyambut kedatangan Dr Mahathir, dan beliau turut dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Sains Politik dan Pentadbiran Awam dari Universiti Beyazid Yaldirim.

Pada bulan Mac tahun ini juga, Dr Mahathir juga telah menerima sambutan luar biasa ketika mengadakan lawatan rasmi ke Pakistan.

Beliau berkesempatan untuk menghadiri Hari Kebangsaan Pakistan di Islamabad dan menyaksikan upacara pecah tanah kilang pemasangan tempatan (CKD) Proton di Karachi.

Kilang Proton tersebut merupakan yang pertama dibina di Asia Selatan.

Di Turki baru-baru ini juga, Dr Mahathir bercakap tentang kepimpinan baru di dalam dunia Islam, di mana Turki dan Pakistan dilihat sebagai ‘tulang belakang’ dalam perkara ini.

Adakah lawatannya ke Turki melambangkan perkembangan baru dalam mengukuhkan lagi sekutu-sekutu di seluruh Asia?

Sememangnya. Perbincangan dua hala di antara Malaysia dan Turki ketika lawatan Dr Mahathir merangkumi semua topik strategik yang penting, memandangkan lawatan itu turut disertai oleh Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Darell Leiking.

Dari segi perdagangan, Malaysia dan Turki berhasrat untuk membuka potensi ekonomi secara penuh dan menyeluruh.

Perdagangan di antara kedua-dua negara mencatatkan jumlah AS$3.14 bilion (RM12.9 bilion) pada tahun 2017 dan AS$2.38 bilion (RM9.8 bilion) pada 2018.

Pada tahun 2020, Malaysia dan Turki berhasrat untuk mencapai sasaran AS$5 bilion (RM20.6 bilion) seperti yang telah ditetapkan pada 2014 apabila kedua-dua negara menandatangani perjanjian perdagangan bebas (FTA).

Tetapi, jumlah perdagangan Malaysia dan Turki masih lagi rendah berbanding rakan kongsi Timur Tengah Malaysia yang lain seperti Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Justeru, untuk menjadikan Turki sebagai ‘rakan dagang alternatif’ Malaysia, perlu ada lebih banyak usaha daripada kedua-dua pihak.

Bercakap tentang pertahanan pula, Turki mengekalkan pendirian kukuh dalam memperkuatkan lagi keupayaan pertahanannya serta pengerahan tentera, sementara Malaysia pula memotong bajet pertahanannya sebanyak 10% dan setakat ini tidak memberi sebarang isyarat untuk mengembangkan lagi keupayaan ketenteraannya.

Malah, Turki juga mempamerkan kedaulatan ketenteraannya dengan memilih pembekal ketenteraan tanpa mendapatkan kelulusan daripada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) terlebih dahulu.

Difahamkan, pasukan tentera Turki merupakan yang kedua terbesar di dalam NATO.

Baru-baru ini, sistem peluru berpandu buatan Rusia, S-400 telah dihantar kepada Turki, sekali gus menyebabkan Amerika Syarikat (AS) membatalkan penghantaran jet pejuang halimunan F-35 yang dipesan oleh Ankara.

Hal ini secara jelas memanfaatkan Rusia dan mencetuskan kemarahan AS. Adakah perkara ini bermakna hasrat Malaysia dan Turki untuk bekerjasama dalam pertahanan secara tidak langsung mencerminkan cubaan Putrajaya untuk menstabilkan aspirasi luarnya terhadap Barat?

Dalam lawatan Dr Mahathir juga, delegasi Malaysia berpeluang untuk melawat Industri Aeroangkasa Turki, yang membangunkan jet pejuang pelbagai peranan generasi kelima, TF-X dan helikopter penyerang.

Sebelum ini juga, Pakistan turut mempamerkan jet pejuang JF-17 miliknya kepada Dr Mahathir ketika lawatannya ke Islamabad, di mana Perdana Menteri itu kemudian bercakap tentang kemungkinan Malaysia untuk membeli jet berkenaan.

Rusia turut membuat tawaran untuk menukar minyak sawit Malaysia dengan jet pejuang SU-35 dan SU-57E.

Daripada semua tawaran ini, pilihan Malaysia akan bergantung kepada jumlah bajet ketenteraan dan tahap keutamaan yang diberi terhadap perkara ini.

Sementara itu, hubungan diplomatik di antara Malaysia dan Turki moden mula diwujudkan pada tahun 1964, tetapi hubungan bersejarah di antara kedua-dua negara telah bermula sejak abad ke-15 lagi.

Dr Mahathir juga berkata bahawa Malaysia dan Turki boleh bekerjasama untuk memastikan isu Palestin terus ‘hidup’ walaupun terdapat cubaan pihak tertentu yang mahu menghapuskan perkara itu sepenuhnya.

Secara keseluruhan, beliau menekankan kepentingan bagi negara-negara Islam seperti Malaysia, Turki dan Pakistan untuk mengumpulkan sumber-sumber yang dimiliki dalam usaha memperhebatkan semula tamadun Islam.

Sumber: The Star

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close