Isu SemasaTempatan

Tiada Rombakan Tidak Bermakna Anda ‘Selamat’

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir telah berulangkali menyatakan bahawa tidak akan berlaku rombakan Kabinet, dan beliau juga akan menunaikan janji untuk menyerahkan kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila tiba masanya.

Tetapi, tiada rombakan tidak bermakna barisan Jemaah Menteri boleh berasa terlalu selesa, malah sebaliknya perlu meningkatkan lagi usaha untuk menambah baik mutu kerja masing-masing.

“Mungkin ini cara Perdana Menteri memberi amaran kepada mereka untuk memperbaiki diri, atau berdepan kemungkinan mereka akan dibuang sekiranya beliau tidak lagi berada dalam pucuk kepimpinan,” kata Penasihat Media dan Komunikasi Pejabat Perdana Menteri, Datuk A. Kadir Jasin menerusi blog peribadinya baru-baru ini.

Sementara itu, Kadir turut menyentuh isu video skandal seks yang mengaitkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, sekiranya terdapat mana-mana menteri yang terdorong untuk menghasilkan sebuah video, mereka perlu memastikan penerbitan tersebut adalah sesuai untuk tontonan umum.

Jelas Kadir, video tersebut telah mendapat tempat di platform yang lebih besar, terutamanya di media sosial.

“Video skandal itu seakan-akan bernyawa dalam dunia politik yang sarat dengan komplot dan konspirasi,” tegas wartawan veteran itu.

Tambahnya lagi, video tersebut mungkin akan menghantui individu-individu yang terlibat sepanjang hidup mereka, tidak kira pihak yang mengaku, yang menafikan, mahupun yang memulakan skandal tersebut.

Menurut Kadir, terdapat pelbagai lagi isu penting yang perlu diberi perhatian termasuk kesukaran yang dihadapi oleh peneroka Felda, petani, penoreh getah, serta pekebun kecil Felcra.

“Marilah kita menangani kebimbangan ahli-ahli perniagaan, seperti pemain industri petroleum yang sedang menunggu penyelesaian royalti petroleum yang dituntut oleh Sabah dan Sarawak.

“Marilah kita memberi rangsangan kepada agenda ekonomi kemakmuran bersama yang baru, kempen Tahun Melawat Malaysia 2020, dan membantu kerajaan menyelesaikan hutang,” katanya.

Sumber: The Star, Astro Awani

Show More

Related Articles

Back to top button