AntarabangsaIsu Semasa

Mengapa Amerika Tiba-Tiba Tarik Diri Daripada Perjanjian Nuklear Dengan Rusia?

Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat secara rasmi telah menarik diri daripada perjanjian peluru berpandu nuklear dengan Rusia.

AS mendakwa bahawa Rusia telah mencabuli Perjanjian Kuasa Nuklear Jarak Sederhana (INF) yang dimeterai pada era Perang Dingin itu, namun tuduhan tersebut dinafikan berulang kali oleh Kremlin.

Washington telah memberi amaran ia akan berundur daripada perjanjian kawalan senjata 1987 tersebut sejak enam bulan lepas lagi, melainkan Moscow benar-benar mematuhi INF.

Tetapi, Rusia menyifatkan langkah AS itu sebagai ‘taktik’ untuk sengaja keluar daripada perjanjian itu bagi membolehkan mereka membangunkan peluru berpandu baru.

Tegas Rusia, Washington memang mempunyai hasrat untuk berundur daripada INF tidak kira sama ada Moscow mematuhinya atau tidak.

INF dimeterai oleh bekas Presiden AS Ronald Reagan dan pemimpin Kesatuan Soviet Mikhail Gorbachev, danĀ  kemudian diluluskan oleh Senat AS.

Perjanjian itu bertujuan menghapuskan peluru berpandu jarak sederhana kedua-dua kuasa dunia itu dan mengurangkan keupayaan mereka untuk melancarkan serangan nuklear dalam tempoh singkat.

Difahamkan, INF melarang AS dan Rusia daripada menempatkan peluru berpandu berpangkalan darat jarak dekat dan sederhana, yang mempunyai jarak di antara 500 kilometer dan 5,500 kilometer di Eropah.

“Amerika Syarikat tidak akan kekal dalam sebuah perjanjian yang sengaja dicabuli oleh Rusia.

“Ketidakpatuhan Rusia dalam perjanjian itu menjejaskan kepentingan AS kerana pembangunan sistem peluru berpandu Rusia mendatangkan ancaman secara langsung kepada Amerika dan sekutu-sekutu kami,” kata Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo.

Sementara itu, pegawai-pegawai kanan pentadbiran Washington berkata bahawa Moscow telah mengerahkan “banyak batalion” peluru berpandu pelayaran di seluruh Rusia itu, termasuk di bahagian barat, yang “berupaya untuk menyerang sasaran-sasaran kritikal Eropah.”

Rusia secara keras menafikan tuduhan tersebut, sambil menegaskan bahawa jarak peluru berpandu tersebut tidak seperti yang ditetapkan di dalam INF.

Presiden Rusia, Vladimir Putin juga berkata, negaranya tidak mahu terlibat dalam perlumbaan senjata sambil berjanji beliau tidak akan mengerahkan peluru berpandu melainkan AS melakukannya dahulu.

Tetapi sekiranya AS memutuskan untuk berbuat demikian, Putin akan ‘terpaksa’ untuk mengerahkan peluru berpandu hipersonik Rusia ke atas kapal atau kapal selam berhampiran kawasan perairan wilayah AS.

Sumber: Straits Times – Reuters, NY Times

Show More

Related Articles

Back to top button