Isu SemasaTempatan

Pengedar Dadah Kini Gunakan Dark Web Untuk Jalankan ‘Urus Niaga’

Pada zaman teknologi ini, pengedar-pengedar dadah didapati menjalankan urusniaga mereka dengan menggunakan ‘dark web’.

Menurut Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, hal ini telah memperluaskan lagi urusniaga dadah di dalam negara sejak tahun lalu.

“Jika tidak dibanteras segera, ia akan menjadikan Malaysia sebagai syurga pengedar-pengedar dadah sama seperti Kolumbia,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Pakar kriminologi dan bekas Presiden Transparency International Malaysia, Datuk Akhbar Satar pula melihat perkara ini sebagai cabaran baru dalam memerangi dadah, dan ia perlu ditangani dengan serius.

“Memindahkan operasi mereka ke dark web merupakan haluan baru yang diambil oleh pengedar dadah untuk mengelak penguatkuasa undang-undang,” ujar beliau.

Dark web merupakan terma yang merujuk secara spesifik kepada sejumlah laman-laman web yang hanya wujud pada rangkaian berenkripsi.

Ia tidak boleh dicari melalui enjin carian konvensional atau dilawati dengan menggunakan pelayar konvensional.

Pengedar dadah melayari laman sesawang berkenaan dengan menggunakan browser yang dikenali sebagai ‘Tor’ – iaitu perisian yang melindungi identiti dan aktiviti pengguna.

Justeru, pelanggan yang berminat akan mencari dan mengakses laman-laman yang menjual pelbagai jenis dadah.

Pembayarannya akan dibuat menggunakan matawang kripto dan setelah pembayaran dilakukan, dadah itu kemudian dihantar menerusi pos.

Akhbar meluahkan kebimbangannya bahawa urusniaga dadah di atas talian ini boleh membawa kepada masalah sosial serta kegiatan jenayah lain seperti pornografi kanak-kanak dan keganasan.

“Kita perlu memperbaiki penguatkuasaan undang-undang dengan teknologi, peralatan, dan kaedah baru,” tegasnya.

Tambah beliau, pihak polis juga memerlukan pakar untuk menjejaki dark web dalam usaha mengesan urusniaga-urusniaga sedemikian.

Jelas Akhbar, kawalan sempadan harus diperketatkan lagi manakala fasiliti-fasiliti berteknologi tinggi di kawasan pemeriksaan kastam, imigresen, dan  kuarantin juga mesti diperkenalkan.

Menurutnya, adalah penting untuk memastikan bahawa seseorang kakitangan itu tidak ditempatkan di kawasan pemeriksaan yang sama selama lebih daripada 3 tahun dalam usaha membendung sebarang perbuatan untuk bersekongkol dengan pengedar dadah.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, polis mempunyai pasukan IT untuk memantau dark web itu, serta mengesan dan membanteras kegiatan-kegiatan haram.

“Kita juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk menyekat laman sesawang yang memiliki dan mempromosikan kegiatan jahat,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa walaupun jumlah kes urusniaga dadah di Malaysia tidak tinggi, amaran Hamid perlu diberi perhatian serius.

Khalil berkata, orang ramai juga perlu memainkan peranan dalam membantu pihak berkuasa untuk membanteras gejala ini.

“Ini merupakan cabaran bukan sahaja untuk agensi penguatkuasaan, tetapi untuk seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Fow Chee Kang, seorang pakar keselamatan siber menjelaskan bahawa pihak berkuasa Malaysia sudah mengambil tindakan proaktif dalam memerangi jenayah dengan menggunakan data yang dijumpai di laman sesawang biasa dan juga dark web.

Namun, beliau berpandangan bahawa lebih banyak peruntukan perlu disediakan dalam usaha meningkatkan keselamatan siber selaras dengan kemajuan teknologi.

Sumber: The Sun Daily

Show More

Related Articles

Back to top button