Isu SemasaPolitikTempatan

PBS Sasar Untuk ‘Tawan’ Semua 13 Kerusi Tambahan DUN Sabah

Parti Bersatu Sabah (PBS) meluahkan hasrat untuk bertanding di kesemua 13 kerusi tambahan baru Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang bakal berlangsung pada tahun 2023 nanti.

Dalam pada itu, terdapat juga petanda bahawa parti-parti pembangkang di negeri itu sedang berbincang untuk berganding bahu dengan menubuhkan sebuah gabungan baru.

Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, partinya yakin bahawa ia mempunyai sokongan akar umbi di kerusi-kerusi baru berkenaan.

Bercakap di mesyuarat tahunan PBS bahagian Kadamaian baru-baru ini, beliau menyatakan bahawa salah satu kerusi baru itu termasuk Pintasan, yang berada di bawah kawasan Parlimen Kota Belud.

“Kota Belud dan Kadamaian adalah milik kami. Kami akan bertanding kedua-dua kerusi ini pada PRU15, dan juga Pintasan.

“Saya percaya bahawa kami mempunyai sokongan akar umbi di sini, kerana maklum balas menunjukkan bahawa sentimen mereka adalah anti-penubuhan.

“Justeru, kami menawarkan PBS untuk menjadi suara rakyat di sini,” katanya.

Ongkili turut menggesa anggota-anggota PBS untuk melakukan persediaan mulai sekarang dan terus kekal teguh untuk menghadapi PRU yang akan datang.

Difahamkan, DUN Sabah kini mempunyai 73 kerusi secara keseluruhan selepas Rang Undang-Undang (RUU) untuk meningkatkan jumlah kerusi daripada 60 telah diluluskan di Dewan Rakyat pada awal bulan Julai.

Kerusi-kerusi tersebut ialah:

1. Bengkoka

2. Bandau

3. Pintasan

4. Pantai Dalit

5. Darau

6. Tanjung Keramat

7. Limbahau

8. Tulid

9. Telupid

10. Sungai Manila

11. Lamag

12. Segama

13. Kukusan

Dewan Rakyat baru-baru ini juga telah meluluskan penurunan had usia minimum mengundi kepada 18 tahun daripada 21 tahun.

Berdasarkan anggaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah pengundi dijangka akan meningkat kepada 22 juta orang pada PRU15 nanti, berbanding 14.9 juta ketika PRU14 sebelum ini.

Sementara itu, negara-negara lain di dunia termasuk Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), India, Iran, Australia, Indonesia, Filipina, Thailand, dan Kemboja, turut menetapkan had usia mengundi pada 18 tahun untuk memberi peluang kepada golongan muda terlibat secara langsung dalam proses politik negara.

Sumber: The Star

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button