Isu SemasaTempatan

PRU15: Bagaimana Untuk Pastikan Pengundi 18 Tahun Membuat Pilihan Tepat?

Remaja-remaja yang berusia 15 tahun pada tahun ini akan layak untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan berlangsung pada 2023 nanti, berikutan penurunan had umur minimum mengundi daripada 21 kepada 18 tahun yang diluluskan di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Namun, satu persoalan menjadi kebimbangan ramai; Adakah mereka mampu mengundi berlandaskan pengetahuan mereka tentang keadaan dan proses politik, dan bukan sekadar ‘mengikut trend’ semata-mata?

Satu lagi perkara mustahak yang perlu diberi perhatian serius sebelum mengundi dalam PRU15 nanti adalah mereka perlu diberi didikan sewajarnya tentang isu-isu politik dan pentadbiran dalam negara, memandangkan golongan dilihat lebih cenderung untuk mendapatkan maklumat dan pandangan menerusi media sosial berbanding sumber-sumber lain.

Bukan itu sahaja, malah mereka juga harus dididik tentang urus tadbir, integriti, dan ketelusan agar dapat menjadi pengundi yang benar-benar memahami konsep kewarganegaraan dan proses demokrasi.

Nurrul Izzah Zolkifli, 18, yang baru sahaja tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun lepas, mengakui bahawa dia kurang berpengetahuan berkenaan dasar serta isu-isu teras negara, tetapi mendapat sedikit pendedahan tentang keadaan semasa menerusi Twitter.

“Saya selalu melihat isu-isu politik, tetapi saya hanya membaca tajuknya sahaja. Jika anda tanya bagaimana saya akan membuat pilihan ketika mengundi, saya lebih kepada memilih calon (berbanding parti).

“Sekiranya calon tersebut boleh melaksanakan apa yang dijanjikan di dalam manifesto dengan baik, saya akan mengundi calon itu. Isu-isu peribadi calon itu tidak akan mempengaruhi pilihan saya,” katanya kepada Bernama.

Seorang pembantu restoran, Norafazreen Kamarul Zaman yang juga berusia 18 tahun, turut mengakui bahawa dia lebih gemar untuk mendapatkan maklumat di Twitter, berkenaan topik-topik berdasarkan minatnya.

“Jika isu (politik) amat menarik, saya akan membaca keseluruhan cerita. Dari segi mengundi, saya mahukan seorang calon yang, pada pandangan saya, berkelayakan, kredibel, dan mempunyai kualiti-kualiti kepimpinan yang bagus,” ujarnya.

Tambah Norafazreen, nasionalisme dan proses demokrasi patut diajar di sekolah dan ia perlu dilakukan secara neutral, tanpa cenderung ke arah mana-mana parti politik.

Sementara itu, Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia, Profesor Datuk Dr Mohd Idrus Mohd Masirin berkata, penurunan had usia minimum mengundi akan memberi peluang kepada belia untuk membuktikan kematangan dan keupayaan mereka dalam menilai calon dan parti politik.

“Tetapi, langkah-langkah susulan perlu dilaksanakan oleh kerajaan dalam sistem pendidikan negara supaya peluang yang ditawarkan kepada belia tidak disalahguna oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Antara usaha yang boleh dilakukan adalah memberi pendedahan awal tentang politik di peringkat sekolah, dan sejarah negara dan dunia,” jelas beliau.

Presiden Majlis Belia Negeri Pahang, Wan Emril Nizam Embong pula berharap agar Kementerian Pendidikan akan menyediakan mekanisme yang sewajarnya agar pelajar dapat didedahkan dengan proses demokrasi dan politik.

“Ini adalah kerana mereka akan terlibat dalam proses memilih kepimpinan (negara) dan ia akan menjadi tanggungjawab mereka untuk menentukan masa depan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Penolong Setiausaha Kelab Persatuan Belia Malaysia, Zafril Nasir menyatakan bahawa pendedahan kepada proses demokrasi dan politik di sekolah penting untuk memastikan para pelajar tidak memperoleh maklumat yang salah.

“Pada usia itu, mereka selalunya akan lebih gemar untuk mencari maklumat di Internet. Saya tidak kata bahawa maklumat di Internet itu tidak betul, tetapi perlu ada lebih banyak saluran ‘rasmi’ untuk mereka mendapatkan maklumat tentang proses mengundi,” ujar Zafril.

Sumber: The Star – Bernama

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button