AntarabangsaIsu Semasa

Kemboja Beli “Puluhan Ribu” Senjata Dari China Untuk Kukuhkan Angkatan Tentera

Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen baru-baru ini mendedahkan bahawa negaranya telah membeli “puluhan ribu” senjata dari China.

“Saya telah membuat pesanan pembelian puluhan ribu senjata tambahan. Ia kini sedang dihantar.

“Saya mahu mengukuhkan lagi tentera,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan secara terperinci tentang jenis senjata apa yang dibeli.

Ujar Hun Sen, Kemboja membelanjakan AS$40 juta (RM165 juta) pada tahun ini, dan AS$290 juta (RM2.3 bilion) dalam urus niaga senjata dengan China sebelum ini.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke tapak pembinaan sebuah stadium yang dibiayai oleh China.

Hun Sen menyifatkan stadium tersebut sebagai ‘hadiah’ daripada Presiden China, Xi Jinping.

Tetapi beberapa hari sebelum ini, negara itu menafikan tuduhan bahawa ia telah mengadakan perjanjian rahsia yang membenarkan China menempatkan kapal perangnya di Pangkalan Tentera Laut Ream di Kemboja.

Wall Street Journal pada minggu lepas turut melaporkan bahawa pangkalan tersebut turut digunakan oleh China untuk menyimpan senjata.

Namun, Hun Sen berulang kali menafikan tuduhan-tuduhan itu sambil menyifatkannya sebagai “fitnah”.

China dikatakan telah memberi bantuan kewangan bernilai berbilion dolar dalam bentuk pinjaman atau “soft loan”, serta pelaburan di negara Asia Tenggara yang miskin itu sejak Kemboja menjauhkan diri dari AS.

Kemboja turut meningkatkan lagi latihan ketenteraan bersama China dan menjadi sekutu diplomatiknya yang kuat di Laut China Selatan.

Pangkalan Ream terletak secara strategik di Teluk Thailand dan memberi akses mudah kepada kawasan perairan yang dipertikaikan itu.

Ia juga terletak berhampiran dengan Sihanoukville, di mana terdapat banyak kasino dan harta milik China di sana.

Difahamkan juga, Hun Sen merupakan Perdana Menteri kedua yang paling lama memerintah di dunia, iaitu selama 34 tahun.

Sumber: The Star – AFP

Show More

Related Articles

Back to top button