Bisnes & Ekonomi

Ini Dia Langkah-Langkah Lazada Untuk Bersaing Dengan Shopee & Tokopedia

Pada Disember tahun lalu, Lazada Group, mengumumkan pelantikan Pierre Poignant sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berkuat kuasa serta-merta sebagai sebahagian daripada perancangan penggantian kumpulan.

Beliau akan menggantikan Lucy Peng yang kekal sebagai Pengerusi Eksekutif Lazada Group.

Lazada dalam kenyataan berkata, Poignant yang dilantik sebagai Presiden Eksekutif Kumpulan pada Ogos 2018 akan memimpin pembangunan strategik kumpulan menuju tonggak pertumbuhan baharu, di samping terus mengurus operasi Lazada di Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Sudah Bersama Lazada Sejak 2012

“Sejak Lazada dilancarkan pada 2012, Poignant mengatur pembangunan dan peluasan jejak logistik Lazada dan membangunkan keupayaan e-logistik syarikat.

“Selama bertahun-tahun, beliau menyandang jawatan lain bersama Lazada seperti Ketua Pegawai Operasi, yang menyelia khidmat pelanggan, rantaian bekalan dan pengeluaran kandungan,” katanya.

Sementara itu, Peng berkata, Poignant ialah pengasas bersama Lazada yang amat disegani, yang menyumbang tanpa mengenal jemu terhadap syarikat sejak enam tahun lalu.

“Beliau dan pasukan pengasas bersama yang lain mempunyai visi untuk membangunkan jaringan logistik kami dari bawah pada suatu ketika apabila tiada sesiapa di Asia Tenggara yang mempercayai e-dagang.

“Selama bertahun-tahun, Poignant tekad menyumbang lebih daripada apa yang diharapkan daripada beliau dan cemerlang dalam setiap jawatan yang pernah disandang,” katanya.

Dalam pada itu, Poignant berkata, Lazada memperoleh manfaat daripada ekosistem Alibaba, bermula dengan kehebatan teknologi kepada jaringan logistik.

Misi Melawan Shopee dan Tokopedia

Poignant, 40 tahun harus mengambil tanggungjawab besar dengan bersaing melawan persaingan di antara pasaran e-dagang yang lain. Misalnya di Indonesia, yang merupakan pasaran terbesar di Asia Tenggara, Lazada telah jatuh kebelakang dengan pasaran e-dagang yang didirikan oleh orang tempatan.

Apatah lagi dengan pasaran di China sangat berkurangan, Lazada perlu mendaptkan pulangan lebih di pasaran luar negara.

“Visi kami di Lazada ialah untuk mempercepatkan progress di Asia Tenggara melalui perdagangan dan teknologi,” kata Poignant. “Ini juga merupakan visi utama Alibaba,” tambahnya lagi.

Mengapa Lazada Mahu Berkuasa Di Asia Tenggara?

Asia Tenggara merupakan satu-satunya rantau yang belum lagi memiliki pemain e-dagang yang dominan. Salah satu sebabnya ialah kerana ia memiliki 600 juta penduduk dengan 4 waktu berbeza dan 11 negara.

Lazada mula beroperasi pada tahun 2012 sebagai Amazon Asia Tenggara oleh Rocket Internet – sebuah syarikat dari Jerman yang terkenal dengan mengklon idea orang lain. Kini Lazada menjual lebih 300 juta produk dari telefon pintar hingga ke sejadah solat di enam negara dengan laman web berbeza.

Lazada ialah seperti gabungan antara Alibaba dan Amazon di mana ia memiliki Lazmall yang menjual barangan berjenama secara langsung kepada pengguna. Seperti Alibaba, Lazada membuat iklan, dan memberikan pelanggan peluang untuk memberi pendapat tentang sesuatu produk.

Perbezaan Di Antara Alibaba & Lazada

‘Sama tapi tak serupa’ kerana Alibaba menyajikan pasaran homogenus manakala Lazada menumpukan kawasan terfragmentasi yang memiliki pelbagai bahasa, mata wang dan corak pembeli.

Contohnya di Indonesia, penjualan rantai serta pin tudung adalah sangat tinggi tetapi di Malaysia, pembeli lebih membeli barangan seperti lampin bayi, jus dan sebagainya.

Proses penghantaran barang juga merupakan salah satu cabaran hebat untuk syarikat dengan ribuan pulau dan kesesakan lalulintas di Indonesia, adakalanya ia mengambil masa berminggu untuk barang sampai ke pengguna. Di Singapura pula,  pengguna lebih selesa menggunakan sistem ‘cash on delivery’.

Syarikat E-Dagang Pertama Di Asia Tenggara

Sebagai syarikat e-dagang pertama dalam rantau Asia Tenggara, Lazada memiliki kelebihan penggerak pertama. Poignant berusaha untuk membina jaringan logistik sehingga bekerjasama dengan syarikat lain supaya barang yang dipesan sampai ke tangan pengguna dalam masa satu hari (24jam) di bandar-bandar besar seperti Jakarta dan Bangkok.

Lazada juga memiliki tangan dalam industri barangan runcit apabila berjaya membeli sebuah start-up terkenal pada tahun 2016 iaitu RedMart dan merancang untuk memasukkan perniagaan tersebut ke salah satu negara lain pada tahun ini.

Aset yang dimiliki oleh syarikat Alibaba juga telah membantu Lazada untuk menjadi syarikat e-dagang terbesar di dalam rantau ini jika dikira melalui lintasan (traffic).

Kunjungan Laman Web Lazada Tertinggi Tetapi..

Melalui sebuah kajian oleh iPrice, dalam suku terakhir 2018, Lazada telah berjaya menarik 183.4 juta kunjungan ke laman web mereka diikuti oleh Tokopedia yang menarik seramai 153.6 juta kunjungan (dalam Indonesia sahaja) dan ditangga ketiga ialah Shopee dengan 147.6 kunjangan dari enam negara.

Walau bagaimanapun, Lazada tidak mahu mendedahkan keuntungan mereka tahun lalu yang mana Shopee, syarikat milik Tencent Holdings Ltd. yang turut disokong oleh Sea Ltd. telah menghasilkan keuntungan tahunan sebanyak US$270juta pada tahun 2018. Shopee juga merupakan aplikasi membeli-belah paling banyak dimuat turun di Asia Tenggara pada tahun 2018 mengikut App Annie.

Tokopedia pula yang juga disokong oleh Alibaba telah berevolusi dengan cepat menjadi kedai perkhidmatan serbaguna dengan menawarkan insurans, pakej percutian sehingga dana bersama (mutual funds). Manakala di tahun 2017, Amazon telah melancarkan perkhidmatan Prime Now di Singapura yang menawarkan perkhidmatan penghantaran pada hari yang sama dan kini dilihat banyak juga start-up mula memberi perkhidmatan pengiriman barang dapur di pasaran.

Namun menurut Bloomberg, melalui kajian gabungan oleh Google dan Temasek Holding Pte. persaingan adalah sangat sengit jika dilihat di Indonesia – sebuah negara yang memiliki 280 juta rakyat dan pasaran e-dagangnya dijangka akan berganda empat kali ganda pada tahun 2025 menjadi US$53bilion.

Menurut iPrice pula, Tokopedia dan Shopee telah menarik lebih banyak pelawat bulanan berbanding Lazada pada suku keempat 2018 dan kedua-dua syarikat ini memiliki pengguna bulanan aktif tertinggi menurut App Annie.

Ada Apa Dengan Shopee Dan Tokopedia Yang Mampu Menenggelamkan Lazada?

Memandangkan Shopee sering menawarkan potongan harga, pilihan untuk penghantaran percuma dan aplikasi yang lebih mesra pengguna seperti ‘chat’ dan mainan atas talian, seperti juga Tokopedia yang sering menawarkan promosi, Lazada terpaksa untuk bertindak dengan menghapuskan cas yang dikenakan ke atas penjual di platform mereka dan melakukan pengiklanan besar-besaran di atas talian serta mengadakan papan iklan di seluruh Jakarta untuk kekal relevan.

Poignant sangat berharap bahawa teknologi yang ada pada Alibaba boleh membantu menaikkan semula Lazada. Contohnya melalui sistem penghantaran barang yang lebih tepat disasarkan ke pengguna. Bersama anak syarikat Alibaba, Ant Financial serta helloPay, Lazada berharap ia dapat memudahkan lagi proses pembayaran pengguna.

Selain daripada itu, beberapa inovasi Alibaba turut digunakan oleh Lazada seperti pemcarian menggunakan imej dan alat untuk bersiaran langsung yang membolehkan influencers untuk berkongsi jenama kegemaran mereka. Manakala diluar talian pula, Lazada bekerjasama dengan Cainiao, sebuah anak syarikat Alibaba yang memiliki penghantaran transnasional terbesar.

Poignant yang berasal dari Perancis juga tidak menidakkan akan ada langkah perubahan pihak pengurusan atasan Lazada dalam jangka masa terdekat.  Dan agar langkah dirinya sentiasa selari dengan pihak atasannya, Poignant dan pasukannya akan ke ibu pejabat mereka di Hangzhou setiap suku tahun dan setiap langkah pilihan mereka juga akan dikongsikan ke CEO Alibaba, Daniel Zhang melalui kiriman teks.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button