Isu SemasaTempatan

Ekonomi Digital Akan Menyumbang 21% Daripada KDNK Malaysia Menjelang 2022

Ekonomi digital dijangka akan menyumbang sebanyak 21% daripada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di Malaysia menjelang tahun 2022, berbanding 18% pada masa ini.

Menurut Perbadanan Data Antarabangsa (IDC), di Asia Pasifik, syarikat-syarikat Malaysia sedang mendahului dari segi pengembangan hasil pulangan yang diperoleh daripada inisiatif-inisiatif transformasi digital mereka.

Presiden Asia of Workday Inc, Rob Wells berkata, syarikat Malaysia pada tahun lepas menyaksikan pulangan sebanyak 58% hasil inisiatif transformasi digital, berbanding Jepun (34%) dan Singapura (47%).

Walau bagaimanapun, masih ada ruang untuk penambahbaikan. Jelas Wells, 73% daripada pengurus sumber manusia dan 54% pentadbir teknologi maklumat (IT) menyatakan bahawa silo organisasi menjadi halangan utama kepada transformasi.

“Di Malaysia, cabaran utamanya adalah jabatan-jabatan (di dalam syarikat) tidak berkongsi maklumat operasi di antara satu sama lain,” kata beliau.

Ujarnya, pelaburan dalam teknologi boleh membantu menangani masalah ini dan mampu menjadikan sesuatu organisasi itu kekal berdaya saing.

Sebuah kajian berjudul “Digital Dysfunction in Asia-Pasific”, yang dilaksanakan bersama IDC Asia-Pasific melihat perspektif 1,000 eksekutif dan pemimpin perniagaan tahap-C.

Kajian itu menunjukkan bahawa lebih daripada 2/3 (69%) eksekutif di Malaysia tidak mempunyai pendekatan kad skor yang seimbang untuk menyelaraskan dan mengukur inisiatif-inisiatif transformasi digital.

Pendekatan kad skor yang seimbang akan memberi eksekutif gambaran keseluruhan tentang operasi perniagaan mereka.

Sebanyak 34% eksekutif tahap-C berkata, organisasi merea perlu melabur lebih banyak dalam teknologi.

“Terdapat syarikat yang menggunakan 100 sistem berlainan untuk melakukan pengrekrutan dan pengurusan bakat, sesetengah sistem ini sudah berusia 20 hingga 30 tahun,” kata Wells.

Justeru, sistem-sistem tersebut tidak boleh diintergrasikan dengan baik di dalam peranti-peranti sedia ada pada masa ini.

 

Sumber: The Sun Daily

Show More

Related Articles

Back to top button