AntarabangsaIsu Semasa

Pemberontak Di Selatan Thai Serang Pangkalan Luar Tentera

Pihak berkuasa Thailand pada Rabu menyatakan bahawa seramai empat orang telah terkorban akibat serangan yang dilancarkan oleh pemberontak ke atas pangkalan luar tentera di wilayah selatan negara itu, pada lewat Selasa malam.

Difahamkan, serangan ini dilancarkan berikutan kemarahan berhubung kes seorang suspek pemberontak bernama Abdulloh Esormusor yang dibiar dalam keadaan kritikal selepas ditahan beberapa jam dalam unit soal siasat tentera.

Konflik yang sudah berlangsung selama 15 tahun di wilayah bergolak itu telah menyebabkan lebih daripada 7,000 orang terbunuh, namun perkara ini tidak berapa menerima perhatian global.

Pemberontak dilaporkan mahu menuntut autonomi di kawasan yang telah dijajah dan diambil daripada mereka sejak satu abad yang lalu itu.

Pada Selasa malam, pemberontak telah menyerang pangkalan terpencil di Pattani, dengan membaling bom tangan dan melepaskan tembakan automatik hampir sejam, menurut jurucakap tentera.

“Empat orang terbunuh termasuk seorang tentera berpangkat sarjan-mejar, dua sukarelawan pertahanan dan seorang penduduk kampung,” kata Kolonel Thanawee Suwannarat.

Tambah beliau, pemberontak turut mencuri lima mesingan, membakar tayar, dan menabur paku di atas jalan raya ketika melarikan diri untuk menyukarkan usaha mengejar mereka.

Sementara itu, seorang pegawai polis Pattani juga mendedahkan bahawa terdapat dua lagi mangsa lain yang berada dalam keadaan kritikal di hospital, sambil menyifatkan serangan itu sebagai salah satu insiden terburuk di wilayah tersebut dalam tempoh berbulan-bulan.

Difahamkan, serangan ini berlaku empat hari selepas Abdulloh dibiarkan dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas ditahan di bawah undang-undang tentera dan kemudian dibawa ke kem tentera di Patani.

Tentera Thailand sedang menyiasat bagaimana suspek berusia 34 tahun itu mengalami bengkak di bahagian otak beberapa jam selepas tiba di kem Inkayuth.

Tentera dalam satu kenyataan berkata, doktor di kem berkenaan mengesahkan bahawa kesihatan suspek berada dalam keadaan baik apabila tiba di sana, tetapi dia kemudian didapati tidak sedarkan diri selepas ditahan di “pusat soal siasat.”

Inkayuth merupakan pusat tahanan tentera Thai yang terbesar di selatan negara itu, di mana suspek-suspek pemberontak yang ditahan akan dibawa ke sana untuk disoal siasat.

Sumber: The Star

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button