Sukan

Rekabentuk Pingat Sukan Olimpik Tokyo 2020 Akhirnya Diperkenalkan

Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik 2020 sudah pun memperkenalkan reka bentuk pingat yang bakal menjadi rebutan atlet dari seluruh dunia pada temasya sukan terbesar dunia itu.

Penantian rekabentuk pingat Sukan Olimpik ditunggu-tunggu ramai setelah berita dua tahun lalu tentang ianya akan diperbuat daripada bahan elektronik terpakai.

Rekabentuk pingat emas, perak dan gangsa berserta reben dan bekasnya bagi temasya sukan itu diperkenalkan pada majlis “1 Year to Go!” Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Tokyo, Jepun.

Menurut laman web: https://tokyo2020.org, pingat berkenaan direka Junichi Kawanishi, pemenang pertandingan yang menerima penyertaan lebih 400 pereka profesional dan pelajar reka bentuk.

Junichi merupakan Pengarah di Japan Sign Design Association dan USD-O (Osaka Design Society).

Pingat berkenaan bergaris pusat 85 milimeter (mm), berukuran 7.7mm pada bahagian paling nipis manakala 12.1mm pada bahagian paling tebal.

Menurut jawatankuasa itu, pingat emas menggunakan lebih 6 gram penyaduran emas pada perak tulen, pingat perak diperbuat daripada perak tulen dan pingat gangsa menggunakan aloi tembaga merah yang terdiri daripada 95 peratus tembaga dan lima peratus zink.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menetapkan beberapa butiran mandatori dalam reka bentuk pingat yang termasuk simbol lima gelung ikonik, nama rasmi temasya dan dewi kemenangan Greek, Nike, di depan stadium Panatheniac.

Reben pingat pula menggunakan motif reka bentuk tradisional Jepun dalam ‘ichimatsu moyo’ (corak petak-petak) dan kasane no irome (teknik pelapisan kimono tradisional) yang mencerminkan Jepun dan cara negara itu menunjukkan “Perpaduan dalam Kepelbagaian”, katanya.

Sementara itu, reka bentuk bekas pingat pula diilhamkan oleh lambang temasya Tokyo 2020 dan setiap bekas memberi penghormatan kepada pemenang yang sampai ke kemuncak dalam pencapaian seorang atlet.

Sukan Olimpik Tokyo 2020 akan mempertandingkan 33 jenis sukan bermula 22 Julai hingga 9 Ogos 2020, manakala Sukan Paralimpik 2020 dijadualkan berlangsung mulai 25 Ogos hingga 6 September dengan menampilkan 22 jenis sukan.

Menurut laman web rasmi Olimpik Tokyo 2020, rekabentuk pingat untuk Paralimpik Tokyo 2020 akan diperkenakan pada akhir bulan Ogos ini.

Setakat ini, enam atlet Malaysia layak menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020 iaitu Pandelela Rinong, Leong Mun Yee dan Ng Yan Yee dalam sukan terjun; Mohd. Khairulnizam Mohd. Afendy dan Nur Shazrin Mohamad Latif (perahu layar), manakala Khairul Anuar Mohamad dalam memanah.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button