Isu SemasaTempatan

Pengembalian Projek-Projek Mega Bawa Manfaat Besar Kepada Syarikat Pembinaan

Separuh pertama tahun 2019 menyaksikan kerajaan menghidupkan semula beberapa mega projek termasuk Bandar Malaysia dan Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL).

Bukan itu sahaja, malah kos keseluruhan pembinaan projek-projek tersebut turut disemak semula dan ada yang dikurangkan harga.

Projek-projek itu, yang sebelum ini dihentikan akibat kebimbangan keadaan fiskal negara, kini menarik ramai pemain pembinaan besar untuk membida kontrak.

Keputusan kerajaan untuk mengkaji semula projek-projek multi-bilion tersebut turut mendorong pelabur untuk menghidupkan semula minat mereka dalam beberapa kaunter pembinaan di Bursa Saham.

BANDAR MALAYSIA

Pada bulan April, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan keputusan untuk mengembalikan semula projek Bandar Malaysia, dengan beberapa perubahan yang dilakukan kepada pelan asal.

Projek multi-bilion 486 ekar itu kini merangkumi 10,000 unit rumah mampu milik, beserta jaminan penglibatan Bumiputera sepanjang pelaksanaan projek dan keutamaan turut diberi kepada barang-barang tempatan.

DBS Bank dalam laporannya menyatakan bahawa penghidupan semula projek Bandar Malaysia itu akan menjadikan Malaysia sebagai hab kewangan, sebagai tambahan kepada kandungan-kandungan komersial dan kediaman yang lain.

“Dengan mengandaikan kos pembinaan adalah 50% daripada nilai pembangunan kasar berjumlah RM140 bilion, terdapat anggaran potensi bernilai RM70 bilion bagi kerja-kerja pembinaan Bandar Malaysia,” kata firma penyelidikan itu.

Kontrak-kontrak lain akan berkaitan dengan kerja-kerja tambakan, cerucuk, dan infrastruktur dalam pembangunan, dan ini pasti akan memanfaatkan pemain-pemain industri tempatan.

ECRL

Projek ECRL yang membabitkan Kota Bharu – Port Klang tersebut telah melalui beberapa siri perundingan, di mana kerajaan akhirnya berjaya mengurangkan kos keseluruhan pembinaan sebanyak hampir 1/3 berbanding kos asal.

Kos baru kini ditetapkan pada nilai RM44 bilion, iaitu penurunan sebanyak 33% berbanding RM66 bilion sebelum ini.

MIDF Research dalam satu laporan berkata, projek berkenaan dijangka akan menyumbang sebanyak 2.7% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

“Namun, sumbangan anggaran penuh KDNK akan bergantung kepada kadar kesan limpahan terhadap sektor-sektor lain ekonomi,” kata MIDF.

MRT

Projek Transit Aliran Massa laluan tiga (MRT3) yang masih menanti semakan kerajaan akan menjadi sebahagian daripada struktur keseluruhan MRT, yang bertujuan untuk meningkatkan perhubungan di kawasan Lembah Klang yang padat dengan penduduk.

Pada Mei 2018, Dr Mahathir pada asalnya mengumumkan pembatalan projek landasan keretapi sepanjang 40 kilometer itu.

Tetapi, ia kemudian dihidupkan semula, walaupun pembinaannya masih ditangguhkan bagi menentukan kos baru.

MRT3, yang merupakan laluan MRT terakhir di Lembah Klang, dijangka akan melalui kawasan-kawasan seperti Kerinchi, Jalan Duta, Setiawangsa, Salak Selatan, Pandan Indah dan Bandar Malaysia menerusi landasan keretapi bawah tanah.

EKOVEST, IWC

Syarikat pembinaan dan hartanah, Ekovest Bhd, telah menyaksikan peningkatan tahun ke tarikh (YTD) sebanyak 37.3% berikutan spekulasi tentang penglibatannya dalam projek Bandar Malaysia, bersama-sama dengan Iskandar Waterfront City Bhd (IWC).

Kedua-dua syarikat tersebut dikawal oleh hartawan hartanah, Tan Sri Lim Kang Hoo.

Menurut portal jurnal kewangan toptipfinance.com, YTD merujuk kepada tempoh bermula hari pertama kalendar semasa atau tahun fiskal sehingga tarikh semasa.

Maklumat YTD berguna untuk menganalisis arah aliran perniagaan atau membandingkan data prestasi, dan akronim sering mengubah konsep seperti pulangan pelaburan, pendapatan dan gaji bersih.

Dalam pada itu, saham Ekovest juga mencapai tahap maksimum akibat spekulasi tersebut.

Namun, ia telah mengeluarkan kenyataan yang menafikan peranan dan penglibatannya dalam projek multi-bilion di Sungai Besi, Kuala Lumpur itu.

Difahamkan, Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corp (M) Sdn Bhd (CREC) merupakan pemenang bagi projek Bandar Malaysia sebelum status mereka sebagai pemaju induk telah dibuang pada Mei 2017.

IWH-CREC merupakan usaha sama 60:40, di mana Lim memegang 63% saham di dalam IWH, sementara Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd memiliki baki 37%.

Pada masa ini, saham Ekovest didagangkan pada RM0.88 dengan permodalan pasaran bernilai RM2.3 bilion.

GAMUDA

YTD syarikat kejuruteraan, hartanah, dan infrastruktur, Gamuda Bhd telah meningkat sebanyak 23.5%. Tetapi, IA dilaporkan mengalami kemerosotan keuntungan bersih sebanyak bagi suku tahun ketiga sebanyak 14.6% kepada RM175 juta.

Mengulas tentang prestasi syarikat itu, Bank Islam Malaysia Bhd menyatakan bahawa pengurusan Gamuda kekal optimis terhadap sektor pembinaan tempatan susulan penghidupan semula projek ECRL dan Bandar Malaysia.

“Gamuda kekal sebagai sektor kegemaran kami, dengan buku pesanan bernilai RM10 bilion, RM2.2 bilion dari segi jualan belum dibil, dan potensi dividen khas yang dilihat berdasarkan jumlah wang syarikat itu yang semakin meningkat,” katanya.

Kini, Gamuda berdagang pada RM4, menjadikan nilai syarikat itu RM9.5 bilion.

GEORGE KENT

Saham syarikat George Kent (M) Bhd meningkat 3.2% YTD hasil daripada penghidupan semula projek-projek mega berkenaan.

Syarikat tersebut yang merekodkan keuntungan bersih rendah pada suku tahun pertama, iaitu 37% kepada RM13.5 juta, telah menandatangani kontrak harga tetap sudah disemak bernilai RM11.4 bilion bersama Prasarana Malaysia Bhd bagi projek LRT3.

Ia kini mempunyai buku pesanan bernilai RM5 bilion dan merancang untuk meningkatkan sumbangan pendapatan daripada perniagaannya kepada 50% dalam tempoh sederhana.

Saham George Kent kini berdagang pada RM1.20 dengan permodalan pasaran bernilai RM620 juta.

IJM CORP

Saham IJM Corp Bhd menyaksikan peningkatan 53% YTD memandangkan ia adalah salah satu benefisiari potensi dalam projek ECRL.

Pendapatan syarikat itu meningkat daripada RM17 juta pada suku tahun ketiga kepada RM240 juta bagi suku tahun keempat.

Menurut MIDF, IJM boleh memanfaatkan kepakarannya dalam keupayaan pembinaan kejuruteraan dan ia boleh menjadi pesaing terbesar dalam projek ECRL.

“IJM mempunyai pengaruh yang kuat di wilayah pantai timur. Pada masa ini, IJM memiliki 60% saham di Pelabuhan Kuantan, termasuk 700 ekar tanah berdekatan pelabuhan itu,” jelasnya.

Dagangan saham IJM ialah RM2.46, di mana syarikatnya bernilai RM9 bilion.

Sumber: The Malaysian Reserve

Show More

Related Articles

Back to top button