Bisnes & Ekonomi

myNEWS.com Memperkenalkan Makanan Siap Saji Onigiri Nasi Lemak

Apabila Family Mart muncul di Malaysia, ia terus menjadi kegilaan dan kegemaran rakyat Malaysia. Setiap produk aiskrim baru keluaran mereka pasti ramai yang akan serbu dan apa yang menjadikannya sentiasa di hati rakyat Malaysia ialah sajian oden mereka.

Tetapi kini MyNews Holdings Bhd. mahu memasuki gerbang yang sama dengan memperkenalkan makanan siap saji mereka tersendiri untuk setanding dengan kedai serbaneka dari Jepun itu.

 

Onigiri Nasi Lemak

myNEWS.com yang banyak berada di dalam pasaraya di sekitar Lembah Klang ini bakal menyajikan produk makanan siap saji dan bakeri bernuansa tempatan seperti onigiri nasi lemak dan kari laksa.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif myNEWS, Dang Tai Luk berkata ia menggunakan khidmat pakar dan teknologi Jepun untuk memastikan kualiti yang dihasilkan adalah tinggi.

Strategi baru ini merupakan sebuah transformasi perjalanan untuk menambah keuntungan serta menyokong kemajuan myNEWS melalui pembelajaran dari mereka yang lebih terdahulu di dalam industri ini.

 

Mendirikan Dua Anak Syarikat Bekerjasama Dengan Jepun

Oleh sebab itu myNEWS telah menandatangani perjanjian persefahaman bersama syarikat dari Jepun di akhir 2017 dan mendirikan dua buah anak syarikat.

  1. MyNews Kineya Sdn Bhd. bersama syarikat Kineya Co Ltd yang merupakan pengeluar makanan penerbangan dan rangkaian restoran terkenal di Jepun.

2. MyNews Ryoyupan Sdn Bhd. dengan kerjasama Ryoyu Baking Co Ltd.

Melalui kedua-dua anak syarikat ini, mereka telah mewujudkan dua tapak pengeluaran untuk menghasilkan makanan siap saji dan bakeri yang berukuran 130,000 kaki persegi yang terletak di Kota Damansara, Selangor.

“Kedua-dua tapak ini dioperasikan oleh rakan kerja kami dari Jepun untuk menghasilkan makanan Jepun berkualiti tinggi dan memenuhi citarasa Malaysia,” kata Dang Tai Luk yang memungkin penghasilan menu baharu berdasarkan permintaan pelanggan.

 

Maru Kafe di myNEWS

Kerjasama ini juga membolehkan myNEWS untuk memperkenalkan konsep Maru Kafe yang menawarkan kopi segar dan menyajikan aiskrim di beberapa rangkaian mereka sebelum makanan siap saji dan bakeri mereka dikeluarkan.

myNEWS Mahu Berkembang Dan Terus Maju

myNEWS juga bercadang untuk membuka lebih banyak cabang dan mengubahsuai 500 kedai mereka diseluruh negara.

Melihat kepada kadar pertumbuhan myNEWS yang semakin berkembang pesat, dengan 85 rangkaian dibuka pada tahun 2018 sekali gus menyebabkan pertumbuhan sebanyak 20.1%, Dang tidak mahu berhenti setakat itu sahaja.

“Industri ini di Malaysia masih boleh dikatakan baharu dibandingkan dengan negara seperti Jepun dan Thailand. Oleh itu kami sangat bangga dengan mendirikan sebuah jenama 100% tempatan dan kami akan melakukannya bersungguh-sungguh untuk menjadikan myNEWS lebih baik dan lebih baik lagi,” katanya lagi kepada TheStar.

Walaupun terdapat banyak cabaran selama perjalanannya untuk mendirikan myNEWS ini, tetapi atas minat dan kesungguhan dalam dirinya, dia memastikan dirinya tidak berputus asa sejak membuka kedai serbaneka kecil yang menjual surat khabar dan majalah di pusat membeli-belah 1 Utama di Petaling Jaya, 20 tahun yang lalu.

Kini beliau juga telah mendapat pengiktirafan dari Star Outstanding Business Awards yang memberinya inspirasi untuk mencapai ke peringkat yang lebih tinggi lagi.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button