AntarabangsaIsu SemasaTempatan

Warna Kulit Lain-Lain, Tetapi Darah Sama Merah

Pada Ahad lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump telah mengecam dan mengeluarkan kenyataan berkontroversi terhadap beberapa orang ahli kongres Demokrat wanita yang “berasal dari negara yang mempunyai kerajaan teruk.”

Trump turut menyuruh mereka untuk kembali semula ke negara asal sekiranya tidak berpuas hati dengan keadaan di AS.

“Mengapa mereka tidak pulang dan bantu memperbaiki kawasan-kawasan asal mereka yang sudah rosak dan banyak jenayah,” tambahnya menerusi beberapa siri Tweet.

Walaupun tidak menamakan secara terperinci nama-nama mereka, Trump baru-baru ini mencemuh beberapa ahli Kongres Demokrat baru iaitu:

1. Alexandria Ocasio-Cortez – New York

2. Rashida Tlaib – Michigan

3. Ayanna Pressley – Massachusetts

4. Ilhan Omar – Minnesota

Daripada empat ahli Kongres itu, semuanya adalah anak kelahiran AS, kecuali Omar, seorang pelarian berasal dari Somalia, yang dinaturalisasikan sebagai rakyat Amerika pada tahun 2000.

Selepas dicemuh, Omar menegaskan bahawa Trump “mempromosikan nasionalisme kulit putih.”

Tiga lagi ahli Kongres turut bertindak balas terhadap kenyataan Trump.

“Inilah rupa sebenar sikap perkauman.” – Pressley.

“Detroit mengajar saya bagaimana untuk berjuang demi masyarakat yang anda (Trump) terus serang dan perlekeh.” – Tlaib.

“Anda marah kerana anda tidak boleh membayangkan sesebuah Amerika yang merangkumi kami.” – Ocasio-Cortez.

Menurut Ariela J. Gross, seorang profesor undang-undang dan sejarah di University of Southern California, disebabkan AS mempunyai sejarah yang terikat dengan idea bahawa kerakyatannya dikaitkan dengan kulit putih, ia bukan sesuatu yang mengejutkan apabila seseorang mengkritik seseorang yang mempunyai warna kulit lain.

“Anda pasti bukan rakyat Amerika yang sebenar. Pulang semula ke negara asal anda.

“Apakah tindakan untuk mempersoalkan kesetiaan seseorang kepada negaranya? Mari kita lihat sijil kelahiran anda kerana saya tidak tahu sama ada anda benar-benar rakyat Amerika atau tidak,” kata Gross merujuk kepada perbuatan perkauman di AS.

“Itu adalah sesuatu perkara yang telah dilakukan oleh Donald Trump sejak sebelum beliau menjadi presiden lagi,” tambahnya.

Tindakan menggesa seseorang untuk “pulang semula ke negara asal mereka” dianggap secara luas sebagai provokasi perkauman.

Apa yang sedang berlaku di AS tidak begitu berbeza berbanding situasi di Malaysia.

Penasihat Star Media Group Bhd (SMG), Datuk Seri Wong Chun Wai, menerusi penulisannya di The Star berjudul “Red blood runs through us all”, menyatakan bahawa ahli-ahli politik menggunakan agama dan bangsa sebagai modal untuk meraih sokongan, terutamanya daripada pengundi-pengundi Melayu.

Di Amerika, Trump menggunakan golongan bukan kulit putih sebagai ‘bogeyman’, untuk mencetuskan ketakutan dan rasa tidak selamat dalam kalangan warga kulit putih yang kurang berpendidikan.

Salah satu ‘modal’ yang digunakan oleh Trump adalah pekerjaan di AS telah ‘diambil’ oleh imigran – (orang bukan kulit putih dari pandangan Trump), sedangkan pada hakikatnya, ramai dalam kalangan orang kulit putih enggan melakukan pekerjaan yang sukar.

Di Malaysia pula, antara frasa berunsur perkauman yang selalu didengari pula adalah “cina balik tongsan” (balik ke China), “melayu bangsa pemalas”, dan macam-macam lagi.

Sikap perkauman tidak akan mendatangkan sebarang kebaikan, tetapi sebaliknya hanya akan mencetuskan ketidakharmonian dalam kalangan rakyat.

Lebih-lebih lagi di negara berbilang kaum seperti Malaysia. Sejak negara mula mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, kita telah hidup dalam keadaan aman dan harmoni walaupun mempunyai fahaman agama dan budaya yang berbeza.

Satu-satunya titik hitam yang berlaku sepanjang lebih daripada 60 tahun sejak kemerdekaan adalah tragedi 13 Mei 1969, yang menyaksikan rusuhan di antara kaum.

Apa yang diperoleh menerusi insiden itu? Tiada apa-apa, kecuali hanya pertumpahan darah dan kehilangan banyak nyawa.

Kita tidak mahu lagi insiden seperti itu berulang lagi.

Dalam pada itu, Wong berkata bahawa mungkin sudah tiba masanya untuk mewujudkan undang-undang yang menjadikan perbuatan berunsur perkauman sebagai satu kesalahan jenayah.

Langkah ini mungkin boleh dimulakan di Parlimen, di mana kenyataan-kenyataan rasis kerap dikeluarkan oleh sesetengah Ahli Parlimen (MP) yang tidak bertanggungjawab.

Realitinya, tidak kira apa pun warna kulit kita, darah yang mengalir di dalam badan ini kekal sebagai satu warna yang sama, iaitu merah.

Sumber: The Star

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close