Sukan

Hafizh Syahrin Bakal Bersama Pasukan PETRONAS SRT?

Herve Poncharal, prinsipal pasukan Red Bull KTM Tech 3 masih beranggapan pelumba negara itu memiliki potensi besar di kelas MotoGP.

Menurutnya, Hafizh Syahrin memilik potensi menjadi pelumba MotoGP yang baik walaupun tidak seperti Marc Marquez (Repsol Honda) atau Fabio Quartararo (PETRONAS Yamaha SRT).

“Tetapi dia mempunyai bakat dan mampu berdaya saing dalam saingan MotoGP,” katanya dipetik dalam laman web speedweek.com, hari ini.

 

Perubahan Dari Yamaha Ke KTM Bukan Sukar Hanya Untuk Hafizh Seorang

Cuma kata Poncharal, Hafizh serta pelumba Red Bull KTM Factory Racing, Johann Zarco masih tidak dapat menyesuaikan diri dengan jentera KTM.

“Perubahan dari Yamaha ke KTM sukar bagi Hafizh dan perkara sama berlaku kepada Zarco,” katanya seperti dalam laporan HarianMetro.

Poncharal berkata, Hafizh bagaimanapun semakin matang dan lebih fokus dalam usahanya untuk memperoleh keputusan yang baik pada setiap perlumbaan.

“Hafizh mempunyai mentaliti berbeza berbanding kebanyakan pelumba MotoGP lain. Tetapi dia kini lebih fokus dan mula berasa lebih baik di KTM.

“Di Assen (Belanda), Hafizh berjaya meraih masa sepusingan terpantas berbanding barisan pelumba KTM lain.

Dia mencatat masa ke-13 terpantas iaitu lebih baik berbanding Pol (Espargaro), Zarco dan Miguel (Oliveira) dan pandangannya juga menarik untuk KTM,” katanya.

 

Nilai Tambah Untuk Pasukan PETRONAS SRT Mengambil Hafizh?

Komen positif Poncharal itu mungkin dapat menjadi input penting untuk cadangan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mahu Hafizh beraksi bersama pasukan Malaysia, PETRONAS SRT.

Pasukan MotoGP pertama negara, PETRONAS Yamaha Sepang Racing diperkenalkan pada 28 Januari 2019 dengan Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo sebagai pelumba pasukan tersebut.

Morbidelli yang muncul selaku pelumba muka baharu (rookie) terbaik tahun lalu menjadi tunjang utama pasukan memburu sasaran berada dalam kelompok enam terbaik bagi musim ini.

Pelumba dari Itali itu dibekalkan jentera Yamaha YZR-M1 (spesifikasi) ‘Spek A’ yang sama digunakan Valentino Rossi dan Maverick Vinales manakala Quartararo menggunakan ‘Spek B+’ yang kemampuannya melebihi yang dibekalkan Yamaha kepada Johann Zarco musim lalu.

 

Syed Saddiq Mahu Hafizh Bersama Pasukan PETRONAS

Kelmarin Menteri Belia dan Sukan mengeluarkan kenyataan bahawa dia sudah berhubung dengan Litar Antarabangsa Sepang (SIC), khususnya (Ketua Pegawai Eksekutif SIC) Datuk Razlan (Razali) dan bakal mengadakan pertemuan dengan PETRONAS, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan juga Hafizh dalam tempoh terdekat.

“Saya dimaklumkan pada akhir bulan ini, akan ada pertemuan antara saya, Hafizh, pihak PETRONAS dan SIC untuk membincangkan masa depannya kerana pendirian saya, saya nak pastikan dia ada dalam pasukan Malaysia itu sendiri.

“Tahun lalu kita sudah lakukan perkara bersejarah yang mana PETRONAS, Yamaha dan SIC mewujudkan sebuah pasukan kita sendiri, milik Malaysia. Sekarang ini, peluang untuk memasukkan Hafizh itu ada dan saya harap peluang ini tidak dibazirkan.

“Bagaimanapun, saya tidak boleh buat keputusan itu berseorangan, perlu berbincang bersama penaja paling besar iaitu PETRONAS dan juga pasukan bagaimana hendak memasukkan Hafizh berlumba untuk negara,” kata Syed Syaddiq

 

Hafizh Tidak Disambung Kontrak Tidak Bermakna Hilang Sengat

Hafizh membuat penampilan pertama dalam kelas perdana MotoGP tahun lalu bersama Tech3 dan menamatkan saingan musim di tempat ke-16 dengan 46 mata yang pada ketika itu masih menggunakan jentera Yamaha.

Bagaimanapun prestasi Hafizh tidak konsisten pada separuh musim pertama ini selepas pasukan bertukar kepada jentera KTM, menyaksikan dirinya baru dua kali menamatkan perlumbaan dalam kelompok pungutan mata iaitu di GP Perancis dan GP Belanda tatkala saingan masih berbaki 10 pusingan.

Biarpun begitu, ia bukan satu alasan untuk menyatakan Hafizh sudah hilang ‘sengat’ tatkala pelumba itu pernah meraih penamat podium ketika menyertai pasukan tajaan syarikat petroleum negara iaitu PETRONAS Raceline Malaysia di sepanjang empat tahun penuh kariernya di saingan Moto2 (2014 hingga 2017).

“Dia seorang yang hebat. Memang seseorang atlet itu akan ada detik naik turunnya. Namun dia sudah membuktikan dirinya sebagai seorang tokoh, ikon sukan permotoran. Untuk memasuki (kelas) MotoGP bukan mudah dan untuk berjaya di tahap beliau sekarang… lagilah sukar.

“Dia bukan saja ikon kepada sukan permotoran tetapi juga individu di luar yang mana sekiranya berusaha sebaik mungkin, mereka boleh berjaya seperti Hafizh Syahrin. Kita tak boleh bazirkan peluang ini. Dia ikon, hero negara dan perlu dibantu sebaik mungkin,” kata Syed Saddiq seperti yang dilaporkan di BeritaHarian.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button