Isu SemasaTempatan

Kerajaan Perlu Utamakan Isu Kos Sara Hidup Daripada Hanya Bermain Politik

Kerajaan perlu menumpukan tenaganya terhadap isu-isu yang membabitkan kos sara hidup berbanding terlalu banyak meluangkan masa untuk permainan politik kotor.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha berkata, generasi muda kini sudah “bosan dan tidak berminat” dengan politik tidak matang dan lucah di dalam negara.

“Kami menggesa kerajaan untuk menjadi lebih serius tentang isu-isu kos sara hidup,” katanya kepada The Star.

Menurut Jufitri, golongan muda kini amat memerlukan bantuan kerajaan kerana mereka tertekan dengan keadaan ekonomi negara.

“Memandangkan kerajaan sudah membenarkan individu berusia 18 tahun untuk mengundi, kami berharap agar akan ada lebih ramai orang muda yang akan memilih parti-parti politik yang bagus.

“Pada masa yang sama, kami berharap akan ada sebuah parti baru untuk mewakili orang muda bagi membawa politik segar dan matang, daripada politik lama yang bosan dan tidak lagi menarik,” ujarnya.

Tambah beliau, media juga perlu memainkan peranan mereka dengan memaparkan berita-berita yang memfokuskan bagaimana untuk membangunkan negara.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan turut bersetuju bahawa terdapat terlalu banyak permainan politik, sehingga menyebabkan kerja-kerja penting untuk negara terabai.

“(Isu kos sara hidup) perlu dijadikan keutamaan. Saya rasa mungkin niatnya baik, tetapi pelaksanaannya harus dilakukan secepat mungkin.

“Saya rasa ahli-ahli politik perlu menanamkan keyakinan supaya rakyat boleh mengharapkan perubahan. Seperti isu tol, kita tahu bahawa janjinya (kerajaan) adalah untuk memansuhkannya.

“Sementara kita tahu bahawa sesetengah perkara tidak dapat dilaksanakan dengan mudah, kerajaan mungkin boleh memberi subsidi kepada golongan yang memerlukan, contohnya mengecualikan golongan B40 daripada membayar tol,” jelasnya.

Nadzim turut kecewa tentang bagaimana kebanyakan sayur diimport dari Indonesia, Kemboja, dan Vietnam, sambil menambah bahawa tiada usaha yang cukup untuk meningkatkan produktiviti tempatan.

“Semua orang sibuk berpolitik, termasuk mereka daripada kalangan bekas kerajaan. Pada penghujung hari, apa yang kita perlu lakukan adalah untuk memastikan rakyat memperoleh manfaat daripada harga barangan yang lebih rendah, sebagai contoh,” tegasnya.

Walau bagaimanapun, Wong Chin Huat, seorang felo kanan di Jeffery Sachs Center berkata, Malaysia memerlukan pendemokrasian yang lebih mendalam dalam dua arah yang luas supaya tumpuannya dapat diberikan kepada isu kos sara hidup.

“Pertama sekali, pengagihan kuasa (perlu dilaksanakan) supaya ahli politik yang bercita-cita tinggi tidak menggerakkan semua sumber mereka untuk satu pejabat.

“Kedua, perubahan sistem pilihan raya untuk menggalakkan penyatuan masyarakat terhadap isu seperti pertumbuhan inklusif dan pembangunan lestari,” katanya.

Selagi terdapat individu yang gila kuasa, Wong berkata bahawa permainan politik tidak dapat dielakkan dalam mana-mana negara, sama ada dalam demokrasi mahupun autokrasi.

Sumber: The Star

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button