Isu SemasaTempatan

Ijazah Bukan Lagi Jaminan Untuk Dapatkan Pekerjaan?

Tujuh daripada 10 graduan baru tidak dapat memperoleh pekerjaan kerana ijazah mereka tidak lagi relevan. Akibatnya, kerajaan perlu membelanjakan wang tambahan untuk melatih mereka supaya dilengkapi dengan kemahiran yang tepat untuk pasaran kerja.

Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Redzuan Yusuf berkata ini terutama berlaku di kalangan graduan dari kumpulan B40.

“Ibu bapa mereka mendorong mereka untuk mendaftarkan diri di universiti berdasarkan tanggapan bahawa lebih mudah bagi mereka mendapatkan pekerjaan jika mereka mempunyai ijazah,” katanya.

“Sayangnya, kebanyakan mereka memilih kursus dalam bidang kemanusiaan yang mereka percaya adalah ‘lebih mudah’, bukannya mata pelajaran sains yang lebih banyak diperlukan,” katanya.

Situasi itu menyebabkan peningkatan jumlah graduan dan siswazah menganggur, selain ramai terpaksa menceburi pekerjaan bukan bidang pengajian, selain dibayar gaji atau imbuhan tidak setimpal kelulusan dimiliki.

Akibatnya, graduan ini perlu dilatih semula untuk kemahiran baru, katanya kepada media selepas melancarkan aplikasi BXCess untuk usahawan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan pada suku pertama 2019, negara merekodkan seramai 516,600 penganggur. Pada masa sama, seramai 238,286 penganggur termasuk 174,327 siswazah, mendaftar sebagai pencari kerja aktif dengan JobsMalaysia di bawah Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

“Kita mesti membuang pemikiran lama bahawa seseorang boleh mendapatkan pekerjaan dengan mudah sekiranya mempunyai ijazah,” kata Redzuan.

Beliau berkata mereka yang ingin mendaftarkan diri di universiti harus berusaha untuk mencari tahu apa pekerjaan yang tersedia kepada mereka dengan kursus ijazah yang  dipilih.

“Mereka sepatutnya berhenti mengambil laluan mudah dengan menyambung pengajian dalam ‘ijazah mudah’ yang tidak menawarkan banyak peluang pekerjaan selepas tamat belajar,” katanya.

Beliau berkata universiti juga berperanan untuk menggalakkan pelajar untuk lebih berani mencuba dan mengambil cabaran baru.

“Dengan Revolusi Perindustrian 4.0 menghampiri, pelajar perlu dibentuk menjadi usahawan supaya mereka mempunyai lebih banyak peluang apabila mereka bergraduasi,” katanya.

Beliau berkata institusi pengajian tinggi juga perlu mengetahui apa yang diperlukan oleh sektor swasta dan memenuhi keperluan tersebut.

Mengenai isu usahawan yang bergantung kepada geran kerajaan, beliau berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah menyatakan bahawa ia perlu dihentikan.

Beliau berkata mereka yang memilih untuk menjalankan perniagaan boleh mendapatkan pinjaman. Beliau juga menasihatkan para usahawan untuk berfikir secara global agar dapat memajukan diri.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button