AntarabangsaIsu Semasa

Etnik Uighur Di Xinjiang Dipaksa Untuk Menganut Islam?

Kerajaan China, menerusi sebuah kertas putih yang diterbitkan pada Ahad, 21 Julai 2019, menyatakan bahawa etnik Uighur menganut agama Islam secara paksa, bukan mengikut pilihan sendiri.

“Warga Uighur menganut Islam bukan atas kehendak mereka sendiri…tetapi ia telah dipaksa ke atas mereka oleh peperangan agama dan kelas pemerintah,” menurut dokumen yang diterbitkan oleh Pejabat Maklumat Majlis Negeri itu.

Ini merupakan langkah terbaru China dalam meneruskan kempen propagandanya untuk menjustifikasikan dasar-dasar kontroversi yang ia perkenalkan di wilayah Xinjiang, yang didiami oleh lebih daripada 10 juta warga Uighur, yang kebanyakannya beragama Islam.

Jelas kertas putih tersebut lagi, penganutan agama Islam telah dipaksa ke atas Uighur ketika pengembangan negara-negara Arab.

Laporan itu menekankan bahawa perkara tersebut adalah fakta sejarah yang sebenar, namun ia tidak menjejaskan hak beragama Uighur pada masa ini.

Tambahnya lagi, terdapat juga warga Uighur yang menganut agama lain selain Islam, serta mereka yang tidak mengamalkan mana-mana agama.

Kertas putih berkenaan turut menyebut tentang kaitan bersejarah Uighur bersama Turki.

“Mengikut sejarah, nenek moyang Uighur telah diperhambakan oleh orang Turki,” katanya merujuk kepada konflik bersejarah di antara kedua-dua golongan itu ketika abad ke-8.

Awal bulan ini, duta dari 22 buah negara telah menandatangani sepucuk surat yang mendesak Beijing untuk menghentikan penahanan besar-besarannya ke atas warga Uighur di Xinjiang.

Mereka termasuk duta dari Britain, Perancis, Jerman, Australia, Kanada, Jepun, dan Switzerland.

Kemudian, China bertindak balas dengan mengeluarkan surat yang ditandatangani oleh 37 buah negara, termasuk beberapa negara Islam seperti Arab Saudi dan Pakistan, yang menyokong dasar-dasar berkontroversinya di Xinjiang.

Ujar Beijing, sokongan yang diterima itu merupakan “respon yang kukuh terhadap tuduhan tidak berasas yang ditujukan terhadap China oleh sejumlah kecil negara Barat.”

Menurut pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan aktivis, sekurang-kurangnya sejuta warga Uighur serta orang Islam yang lain ditempatkan di pusat tahanan di Xinjiang.

Tetapi, China menyifatkan fasiliti itu sebagai ‘pusat latihan dan pendidikan’ yang bertujuan untuk mengekang ekstremisme keagamaan selain daripada mengajar kemahiran-kemahiran yang berguna kepada individu yang berada di sana.

Dalam pada itu, kerajaan China dalam satu laporan pada bulan Mac mendakwa bahawa sejak tempoh lima tahun lalu, ia telah menahan hampir 13,000 “pengganas” di wilayah tersebut.

Sumber: The Star – South China Morning Post

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button