Isu SemasaTempatan

Kos Penyelenggaraan Lebuhraya Utara Selatan Tidak Terlalu Tinggi

Dibina pada penghujung tahun 1980an, Lebuhraya Utara Selatan (NSE) merupakan jalan raya yang terpanjang di Malaysia dengan ukuran 772 kilometer.

Lebuhraya tersebut ialah projek ulung syarikat Renong Group, di mana ia kemudian dibeli oleh UEM Group Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada tahun 2012.

Sejak tahun 2014 pula, terdapat beberapa bidaan yang dilakukan oleh pelbagai pihak untuk mengambil alih lebuhraya itu.

PLUS pada tahun 2017 mencatatkan hasil pendapatan bernilai RM3.8 bilion dan menjana aliran tunai operasi sebanyak RM2.6 bilion.

Selepas melakukan pembayaran kos operasi dan pemegang hutangnya, ia masih memiliki baki tunai sebanyak RM800 juta untuk mengagihkannya kepada pemegang-pemegang saham.

Menurut laporan, kertas cadangan (proposal) pengambilalihan lebuhraya itu juga mengandungi maklumat tentang kos penyelenggaraan yang dibelanjakan oleh PLUS untuk memastikan NSE berada dalam keadaan baik.

Terdapat beberapa dakwaan bahawa PLUS membayar jumlah yang terlalu tinggi untuk melakukan penyelenggaraan, tetapi Datuk Azman Ismail, pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif (CEO) PLUS berkata bahawa perkara tersebut tidak benar.

“Kami membelanjakan RM1.3 juta setiap kilometer dan purata domestik kami juga berada dalam lingkungan angka tersebut juga,” katanya.

Penekanan penyelenggaraan amat penting, memandangkan keselamatan jalan raya menjadi kepentingan utama pengendali lebuhraya.

Azman berkata, penjagaan lebuhraya tersebut adalah bagi memastikan kekurangan insiden kemalangan dalam kalangan pengguna jalan raya.

“Bagi PLUS, kita mempunyai antara kadar kemalangan jalan raya yang paling rendah bagi perjalanan setiap 100,000 kilometer,” katanya.

Jelas beliau, PLUS mempunyai skop kerja yang besar untuk memastikan lebuh raya berada dalam keadaan yang baik.

PLUS Malaysia menyelenggara kira-kira 1,170 kilometer jalan raya, lebih daripada 8,300 cerun, dua terowong besar, 741 jambatan (termasuk laluan ke Singapura), dan lebih daripada 6,000 pembetung.

Ia juga melakukan lebih daripada 10,000 pemeriksaan cerun setiap tahun.

Bajet tahunan yang diperuntukkan untuk penyelenggaraan laluan pejalan kaki pula bernilai RM300 juta.

Sementara itu, pampasan tol merupakan sesuatu perkara yang perlu ditangani oleh PLUS. Namun, terdapat penangguhan selama setahun sebelum ia menerima pampasan daripada kerajaan untuk mengekalkan harga tol.

Harga tol tidak meningkat selama 14 tahun sehingga tahun 2015, dan untuk mengekalkan harga yang sama secara berterusan bagi tempoh lima tahun akan datang merupakan satu perkara yang sukar dilakukan.

Pembayaran semula sukuknya (bon dalam kewangan Islam) dijangka akan meningkat secara berperingkat dalam beberapa tahun akan datang, manakala kos operasi dan penyelenggaraan juga menaik secara berterusan.

Hasil kutipan tol pula digunakan bagi tujuan pembayaran semula pinjaman, operasi dan penyelenggaraan, serta penaiktarafan berterusan fasiliti-fasiliti di lebuhrayanya.

Hanya 10% sahaja daripada hasil tersebut diberi kepada pemegang-pemegang saham.

Sumber: The Star

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button