AntarabangsaIsu Semasa

Perkara Penting Yang Anda Perlu Tahu Tentang Uranium Nuklear Iran

Iran sentiasa bertegas bahawa ia ingin melaksanakan program nuklear yang aman, walaupun Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara lain mengesyaki bahawa ia mungkin sedang membangunkan senjata nuklear dengan berselindung di sebalik program nuklear awam.

Ekonomi Iran juga dilaporkan terjejas teruk berikutan sekatan-sekatan antarabangsa yang dikenakan ke atasnya sejak tahun 1980-an lagi.

Namun pada tahun 2015, sebuah perjanjian yang dikenali secara rasmi sebagai Joint Comprehensive Plan of Action (JCPOA) telah diwujudkan di antara Iran dan kuasa-kuasa dunia.

Di bawah perjanjian tersebut, Tehran perlu mengecilkan program nuklearnya sebagai pertukaran untuk bebas daripada beberapa sekatan yang dikenakan ke atasnya, akan dibenarkan semula menjalankan perdagangan minyak dan gas di pasaran antarabangsa, serta aset-asetnya di seluruh dunia bernilai kira-kira AS$100 bilion tidak akan dibekukan lagi.

Tetapi, perjanjian tersebut kini menjadi semakin rapuh berbanding sebelum ini.

Pada Mei tahun lepas, Presiden Donald Trump secara unilateral (sebelah pihak) menarik AS keluar daripada perjanjian mulit-nasional itu dan mengenakan beberapa sekatan baru, sekali gus menyebabkan ekonomi Iran semakin terjejas teruk.

Negara-negara Eropah yang terlibat dalam perjanjian itu pula mengalami kesukaran untuk memastikan JCPOA dapat diteruskan.

Baru-baru ini, Perancis, Jerman, dan United Kingdom (UK) mengesahkan bahawa sebuah mekanisme kewangan baru yang direka untuk membolehkan syarikat-syarikat Eropah dan Iran untuk berdagang tanpa sebarang aliran tunai secara langsung – sekali gus memintas sistem kewangan AS – sudah mula beroperasi.

Tetapi, mekanisme yang dikenali sebagai Instrument in Support of Trade Exhanges (INSTEX) itu hanya boleh membantu syarikat Eropah mengelak sekatan AS sekiranya mereka menghantar barang, produk, serta perkhidmatan berkaitan kemanusiaan ke Iran.

Tanpa membabitkan minyak dalam INSTEX, impak mekanisme tersebut amat terhad. Berang dengan tindakan AS yang menarik diri daripada perjanjian, dan ketidakupayaan Eropah untuk mengatasi Trump, Iran mengisytiharkan bahawa ia juga akan mengabaikan beberapa komitmennya.

Perjanjian JCPOA itu turut menetapkan bahawa Tehran hanya boleh memperkayakan uraniumnya kepada 3.67% sahaja, namun Presiden Iran, Hassan Rouhani menegaskan bahawa negaranya akan memperkayakan uranium itu “seberapa banyak” yang mereka inginkan.

APA ITU URANIUM?

Uranium merupakan sejenis unsur logam yang radioaktif, berwarna kelabu keperakan. Ia yang boleh dijumpai dalam kuantiti kecil hampir di mana-mana sahaja, tetapi jarang sekali ditemui dalam bentuk aslinya.

Persatuan Nuklear Dunia berkata, lombong-lombong uranium beroperasi di kira-kira 20 buah negara, walaupun separuh daripada pengeluaran global datang dari hanya 10 lombong di enam negara iaitu:

1. Kanada

2. Australia

3. Niger

4. Kazakhstan

5. Rusia

6. Namibia

Uranium selalunya dilombong menerusi sebuah proses yang dikenali sebagai “fracking” atau pemecahan tekanan hidraulik,  di mana air yang dicampur dengan oksigen digunakan untuk memecahkan batu-batu uranium, dan mengekstrak elemen tersebut sebelum mengepamnya ke permukaan.

Setelah dikeringkan, uranium oksida selalunya akan berwarna kuning cerah sebelum dibungkus, di mana ia turut dikenali sebagai “yellowcake”.

BAGAIMANA UNTUK MEMPERKAYAKANNYA?

Isotop uranium yang paling berguna dikenali sebagai Uranium-235. Ia adalah sejenis uranium yang sesuai digunakan untuk menjana loji nuklear atau menghasilkan bom nuklear.

U-235 hanya 0.7% dari bijih uranium yang diekstrak, sementara baki 99.3%, iaitu U-238 pula kurang bermanfaat untuk menghasilkan tenaga elektrik dan letupan.

Justeru, bagi sebarang penggunaan praktikal, penulenan uranium tersebut perlu ditambah baik.

Di bawah perjanjian 2015 tersebut, Iran bersetuju untuk memperkayakan uraniumnya kepada tidak lebih 3.67%.

Jumlah tersebut sudah cukup untuk menjana kuasa, tetapi berada jauh di bawah paras 90% penulenan yang diperlukan untuk membuat bom nuklear.

Uranium perlu dalam bentuk gas bagi proses penulenan, jadi uranium oksida kemudian diubah menjadi uranium hexafluoride.

APA KEISTIMEWAAN 3.67% URANIUM?

Pada tahun 1980an, Reaktor Air Bertekanan (PWR) – iaitu sejenis reaktor pengeluaran tenaga di mana air ditukar menjadi wap menerusi haba yang dihasilkan oleh proses pembelahan nuklear – memerlukan tenaga uranium sekitar 3.7% ketulenan.

“Dengan 3.7%, anda boleh menghasilkan tenaga selama setahun sebelum perlu menutup reaktor anda selama sebulan untuk mengisi semula tenaga (bahan bakar uranium),” kata Profesor John Luxat, pengerusi penyelidikan industri dalam analisis keselamatan nuklear di McMaster University.

Jelas beliau, dengan ketulenan 5% uranium pula, ia boleh menghasilkan tenaga berterusan selama tempoh dua tahun.

Jadi, 3.67% ketulenan uranium dianggap sebagai jumlah minimum yang diperlukan untuk mengoperasikan reaktor, walaupun kebanyakan reaktor moden memerlukan sekurang-kurangnya 5%.

UNTUK TUJUAN APA IRAN MAHUKAN URANIUM?

Iran sering berkata bahawa program nuklearnya merupakan program awam dan berlandaskan penyelidikan, termasuk bagi tujuan penyelidikan perubatan.

“Penggunaan uranium amat sedikit dalam perubatan. Tetapi, ia boleh digunakan, sebagai contoh, untuk menghasilkan technetium, yang digunakan secara meluas dalam pengimejan diagnostik dan rawatan jenis-jenis kanser tertentu,” ujar Luxat.

Namun tambah beliau, semakin tinggi ketulenan uranium, proses menghasilkan elemen-elemen berkaitan juga akan menjadi lebih efisyen.

Dalam pada itu, uranium pada tahap kurang daripada 20% ketulenan U-235 dianggap sebagai “pengayaan rendah”.

Universiti dan pusat penyelidikan di seluruh dunia kini dibenarkan untuk mengkayakan uranium kurang daripada 20%, sebagai sebahagian daripada usaha anti proliferasi senjata.

Pada tahap ketulenan 20%, uranium tersebut dianggap sebagai bahan potensi proliferasi.

Difahamkan, bom atom “Little Boy” yang dilepaskan di Hiroshima ketika Perang Dunia Kedua (WWII) pada tahun 1945 mengandungi uranium yang diperkayakan sehingga 80%.

Hanya beberapa kilogram sahaja daripada bahan itu menjalani proses pembelahan nuklear, dan ia sudah mampu meragut nyawa ribuan orang dengan serta merta.

APA PULA SELEPAS INI?

Iran menafikan tuduhan bahawa ia mahu membina senjata nuklear dan sering merujuk kepada sebuah dekri agama yang dikeluarkan pada tahun 2003 oleh Pemimpin Agungnya, Ayatollah Ali Khamenei.

Difahamkan, dekri tersebut mengharamkan pembangunan atau penggunaan senjata nuklear.

Tetapi, Matthew Bunn, seorang pakar dasar nuklear dan profesor di Harvard Kennedy School, tidak berapa yakin dengan perkara tersebut.

“Dakwaan Iran bahawa program nuklearnya selama ini merupakan (program) awam adalah palsu.

“Pusat pengayaan (nuklear) Fordow, khususnya, yang terletak di kubu bawah tanah bagi melindunginya daripada serangan, direka dengan sekitar 3,000 pengempar – cukup untuk menjalankan program senjata nuklear kecil, tetapi terlalu sedikit untuk menyokong reaktor tenaga awam,” katanya.

Jadi, apa akan berlaku seterusnya? Iran telah menyalahkan Eropah kerana gagal memenuhi janji-janjinya dan membantu memulihkan ekonominya yang disekat oleh AS.

“Saya menjangkakan Eropah akan apa reaksi AS, untuk melihat sama ada Trump akan meningkatkan lagi ancamannya menerusi kekerasan,” kata Mark Shanahan, ketua jabatan politik dan hubungan antarabangsa di University of Reading.

“Kesatuan Eropah (EU) pula cenderung mengambil lebih banyak masa dalam menangani perkara ini, terutamanya pada tempoh peralihan di antara perwakilan dasar asing EU,” tambahnya.

Sementara itu, seorang wartawan Iran, Hooman Majd, berpandangan bahawa sudah terlalu lambat untuk mengadikan rundingan baru.

“Kerajaan Iran benar-benar tiada pilihan lain, selain daripada menunjukkan kepada rakyatnya bahawa ia sedang melakukan sesuatu walaupun dikenakan pelbagai tekanan.

“Melainkan terdapat kelonggaran daripada pihak Trump, di mana ia tidak mustahil, terutamanya jika (Penasihat Keselamatan Negara AS John Bolton) diketepikan seperti dalam isu Korea Utara, mungkin Iran akan mencari jalan untuk mengadakan perundingan.

“Tetapi, ia (Iran) tidak akan mengadakan perundingan sekiranya diberi tekanan setiap hari,” jelas Majd.

Sumber: Al-Jazeera

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button