AntarabangsaIsu Semasa

Kanak-Kanak Militan Diajar Untuk Bunuh “Orang-Orang Tidak Beriman”

Kumpulan pengganas IS mempunyai pelbagai cara dan kaedah untuk melancarkan serangan keganasan.

Tetapi, antara kaedah yang paling membimbangkan adalah mereka sanggup meradikalisasikan, menggunakan, dan melibatkan kanak-kanak ketika melancarkan serangan bom berani mati.

Sebagai contoh, salah satu kes melibatkan seorang kanak-kanak berusia 9 tahun yang dikenali sebagai Mila di Indonesia.

Mila telah dicampak oleh ibu bapanya semasa mereka sedang melancarkan serangan berani mati dengan meletupkan diri mereka.

Ini sekali gus menjadikan kanak-kanak perempuan itu sebagai satu-satunya ahli keluarga militan tersebut yang terselamat.

Kini menjadi anak yatim piatu dan telah diradikalisasikan, terdapat kebimbangan besar tentang masa depannya selepas insiden serangan yang diinspirasikan oleh IS itu.

Walau bagaimanaun, Mila kini ditempatkan di sebuah pusat pemulihan kendalian kerajaan di Jakarta yang menjaga dan merawat anak-anak suspek militan supaya mereka kembali ke pangkal jalan.

Pusat pemulihan tersebut menawarkan penjagaan psikologi dan sosial kepada kanak-kanak yang terlibat dalam plot serangan keganasan.

Indonesia dilaporkan bergelut dengan ancaman global “serangan keluarga” (serangan yang dilancarkan oleh keluarga militan) yang semakin meningkat serta bagaimana untuk mengintegrasikan anggota militan yang pulang semula ke tanah air selepas keruntuhan IS di kubu kuat mereka di Iraq dan Syria.

Cabaran ini turut dihadapi oleh pelbagai negara maju lain termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Perancis.

“Bukan mudah untuk memulihkan (kanak-kanak itu) kerana mereka mempercayai radikalisme…dan bahawa pengeboman adalah satu perkara yang baik.

“Mereka diajar bahawa mereka harus membunuh orang-orang yang tidak beriman. Amat sukar untuk mengubah pemikiran mereka,” kata Neneng Heryani, ketua di pusat pemulihan itu.

Pekerja sosial dan ahli psikologi juga sedang berusaha keras untuk mengsosialisasikan kanak-kanak tersebut menerusi kaunseling serta mendidik mereka tentang rutin kehidupan normal.

Bagi Mila, rawatan ini adalah untuk membantunya mencari jalan untuk mengatasi insiden kematian ibu bapanya yang melancarkan serangan bom berani mati dan meneruskan kehidupan dengan pengetahuan bahawa mereka telah melibatkannya dalam pembunuhan besar-besaran, serta mahu dia mati bersama.

Kanak-kanak suspek militan lain, termasuk mereka yang berkaitan dengan serangan bom berani mati di Surabaya pada tahun lepas, juga sedang menjalani rawatan ini.

Difahamkan, pusat pemulihan tersebut turut mendidik mereka tentang sejarah wira-wira Indonesia, membina kepercayaan, dan juga Pancasila – iaitu sebuah ideologi di negara itu yang menekankan perpaduan dan sikap hormat menghormati terhadap etnik dan kumpulan agama minoriti di sana.

“Kita masih mengajar mereka bahawa Al-Quran merupakan asas kepada segala perkara dan mereka harus mempercayainya.

“Tetapi jika anda mencabul hak orang lain, maka tindakan itu salah,” kata pekerja sosial, Sri Musfiah Handayani.

Membantu memulihkan anak-anak kepada pengebom berani mati merupakan sesuatu perkara yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.

“Ini adalah pertama kali kita mengetahuinya. Ia bukan satu fenomena biasa,” ujar Sidney Jones, pengarah Institute for Policy Analysis of Conflict yang berpangkalan di Jakarta.

Menurut Haula Noor, seorang pakar keluarga radikal di Australian National University, walaupun kanak-kanak menjadi ‘sasaran mudah’ bagi kumpulan ekstremis, “sifat yang mudah terdedah” mereka itu juga boleh menjadi titik permulaan untuk rawatan.

“Kita perlu melihat kanak-kanak ini sebagai mangsa dan pesalah berpotensi,” tambah beliau.

Sumber: The Star – AFP

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button