Isu SemasaTempatan

Penurunan Usia Mengundi Dan Pendaftaran Automatik Boleh Dilakukan, Tetapi Besar Cabarannya

Dua pihak berkuasa kerajaan yang bertanggungjawab terhadap pengundi dan pilihan raya akan mampu mengimplementasikan penurunan had usia minimum pengundi kepada 18 tahun menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Namun begitu, pelaksanaannya akan berdepan pelbagai cabaran dalam memastikan pengemaskinian daftar pemilih.

Menurut Jawatankuasa Pembaharuan Pilihan Raya (ERC) yang ditubuhkan oleh kerajaan bagi menyemak undang-undang serta sistem pilihan raya di Malaysia, perbincangan dengan pelbagai negeri menunjukkan bahawa mereka bersetuju untuk menurunkan usia minimum mengundi kepada 18 tahun berbanding 21 tahun.

Pengerusi ERC, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman berkata, walaupun penurunan usia ini serta pendaftaran automatik sudah lama tertangguh, daftar pemilih perlu dibersihkan sebelum pendaftaran automatik boleh dilaksanakan.

“Sekiranya kita tidak melaksanakan sistem yang betul, akan berlaku kekacauan (dalam daftar pemilih) dan kawasan tertentu mungkin akan mempunyai ramai pengundi yang lain mungkin mempunyai jumlah (pengundi) yang terlalu sedikit.

“Perlu ada latihan besar-besaran oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebelum (pelaksanaan) pendaftaran automatik untuk memudahkan orang ramai mengemaskini alamat kediaman di MyKad mereka untuk kita mendapatkan jumlah yang tepat dalam sesebuah kawasan.

“Kita boleh melakukannya (pelaksanaan pendaftaran automatik) dalam tempoh dua tahun dan kita tiada pilihan tetapi untuk melaksanakannya sebelum  PRU seterusnya,” katanya, memetik laporan The Star pada 10 Julai 2019.

Difahamkan, kerajaan juga meminta kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Malaysia (MAMPU) untuk meneliti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang diperlukan bagi melaksanakan pendaftaran automatik.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun menyatakan bahawa terdapat banyak kerja yang perlu dilakukan oleh SPR selepas pindaan penurunan usia minimum mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran automatik diluluskan di Parlimen dengan sokongan 2/3 majoriti Ahli Parlimen (MP).

“SPR sudah bersedia untuk cabaran itu, ia tidak membimbangkan. Perkara utamanya adalah perlu ada sistem ICT yang betul memastikan keberkesanan pendaftaran automatik,” ujarnya.

Ujar beliau, SPR bekerjasama dengan tiga kementerian dan agensi utama untuk mengesahkan kelayakan pengundi iaitu:

1. Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)

2. Kementerian Kesihatan

3. Jabatan Penjara

4. Mahkamah

Jelas Azhar, JPN akan menentukan kerakyatan dan usia pengundi; Kementerian Kesihatan akan menentukan sama ada seseorang pengundi itu waras atau tidak; Jabatan Penjara memastikan individu berdaftar tidak menjalani hukuman penjara lebih daripada 12 bulan atau berdepan hukuman mati.

Dalam pada itu, Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun, pendaftaran pengundi automatik pada usia 18 tahun, dan menurunkan umur calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun telah diluluskan dengan sokongan 2/3 Dewan Rakyat pada Selasa, 16 Julai 2019.

RUU tersebut telah menerima sokongan seramai 211 MP, dan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof menyifatkannya sebagai hari bersejarah.

“Lebih 2/3 undi. Tahniah, melakar sejarah hari ini, tepat setahun Parlimen bersidang,” katanya di Dewan Rakyat.

Sumber: The Star, FMT

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button