Agensi angkasa India dalam satu kenyataan pada Khamis berkata bahawa ia akan membuat cubaan terbaru untuk melancarkan misi ke bulan pada 22 Julai tidak lama lagi, selepas pelancaran asal pada awal minggu ini terpaksa dibatalkan disebabkan “gangguan teknikal”.
Roket Chandrayaan-2, yang dibina boleh Pertubuhan Penyelidikan Angkasa India (ISRO), kini dijadualkan untuk dilancarkan pada 09:13GMT, 22 Julai, kata ISRO menerusi Twitter.
Difahamkan, cubaan pelancaran misi Chandrayaan-2 pada Isnin lalu terpaksa dibatalkan selepas pengiraan detik terakhir (countdown) terhenti pada minit ke 56 dan 26 saat berikutan kebocoran bahan api.
Sekiranya pelancaran tersebut berjaya, ia akan menjadi satu lompatan besar dari segi penguasaan teknologi bagi India, yang merupakan sebuah negara membangun.
Apa yang ingin dilakukan oleh ISRO adalah “pendaratan lembut” (soft landing), iaitu satu pencapaian yang berjaya dikecapi oleh Amerika Syarikat (AS), bekas Kesatuan Soviet, dan China di permukaan bulan.
Pada bulan April, kapal angkasa tanpa pemandu Israel, Beresheet dilaporkan terhempas di bulan April lalu selepas berlakunya beberapa gangguan teknikal ketika sedang cuba melakukan pendaratan.
Dalam pada itu, misi Chandrayaan-2 juga bukan hanya sekadar menjadi kebanggaan India, tetapi ia juga akan mengembangkan peluang komersial angkasa di negara itu.
“Ia akan membuka era penemuan baru, meningkatkan pemahaman kami tentang angkasa lepas, mempromosikan lebih banyak perikatan global, merangsang kemajuan teknologi serta mengembangkan peluang komersial di India dan menginspirasikan generasi-generasi yang akan datang,” kata Pengerusi ISRO, Kailasavadivoo Sivan.
Selain daripada teknologi dan sains, program angkasa India juga bertujuan untuk membuktikan bahawa negara tersebut boleh bersaing dari aspek kos.
Bagi cubaan pelancaran pada Isnin lalu, India telah membelanjakan AS$141 juta (RM579.4 juta), namun kos itu masih berpotensi untuk meningkat.
Namun, angka tersebut masih lebih rendah AS$9 juta (RM36.9 juta) berbanding kos yang dibelanjakan oleh SpaceX bagi perkhidmatan pelancaran tiga roket Falcon miliknya.
SpaceX juga pernah mengalami kegagalan, di mana mereka kehilangan sebuah roket, Falcon 9, yang meletup ketika sedang menjalani ujian pelancaran pada 2016.
Difahamkan, hasrat India untuk menyertai SpaceX dalam menjadi penyedia perkhidmatan angkasa komersil kini menjadi sebahagian daripada dasar kerajaan negara itu.
Menteri Kewangan India, Nirmala Sitharaman secara rasmi mengumumkan penubuhan syarikat awam baru, New Space India Ltd dalam ucapan pembentangan bajet negara pada 5 Julai.
Sitharaman secara jelas menyatakan bahawa cita-cita ISRO untuk sampai ke bulan dan menerokai lebih jauh lagi telah diintergrasikan ke dalam pelan induk (blueprint) kerajaan bagi mewujudkan ekonomi negara bernilai AS$5 trilion (RM20.5 trilion) menjelang 2025.
Walaupun India masih lagi memegang status pasaran membangun, industri angkasanya dipercayai sudah menjana pendapatan bernilai AS$7 bilion (RM28.8 bilion).
Sumber: Al-Jazeera