MalaysiaPolitik

Anwar VS Azmin: Kemelut Yang Semakin Menjejaskan PKR

Pertelingkahan dua kuasa besar dalam PKR iaitu antara Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bukan lagi kemelut baharu dalam dunia politik negara.

PKR mula terbahagi kepada dua kem apabila Azmin dalam Pemilihan PKR tahun lalu mendapat saingan sengit Rafizi Ramli yang dipercayai orang kepercayaan Anwar selepas Azmin disebut-sebut pemimpin harapan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad bagi menggantikan beliau.

Namun, awal Jun lalu, pertelagahan dua kem Anwar dan Azmin membuka kepada satu ‘perang’ yang semakin terbuka diiringi kritikan pedas dan kata-kata sindiran ekoran penularan sebuah video panas yang didakwa membabitkan Azmin.

Perseteruan dua pemimpin parti itu memuncak apabila Anwar secara terbuka mendesak supaya Timbalan Presiden PKR iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin meletakkan jawatan sekiranya video itu terbukti sahih.

Ia dibalas dengan jawapan penuh sinis Azmin yang menyuruh Anwar mencerminkan diri kerana beliau juga pernah berada dalam situasi yang sama.

Penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, pergeseran antara Anwar dan Azmin memberikan impak besar kerana mereka adalah pemimpin utama dalam parti.

“Saya percaya jika tidak dihentikan segera, perkara ini akan merebak dan perpecahan dalam kalangan penyokong PKR.

“Begitu juga dalam PH kerana PKR mempunyai kerusi yang banyak dalam Kerajaan PH dan sekiranya keadaan semakin meruncing sehingga tidak dapat dibendung lagi maka tidak mustahil ada pihak akan membuat keputusan yang boleh mengorbankan parti,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagi Ketua Penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim, beliau menjangkakan PKR akan berpecah kepada dua berikutan krisis dalaman membabitkan dua pemimpin utama parti itu dilihat semakin parah.

“Saya menjangkakan PKR akan berpecah, sama seperti Pas yang berpecah melahirkan Amanah dan UMNO berpecah melahirkan Bersatu.

“Cuma yang belum ada petanda sama ada perpecahan itu akan melahirkan parti baharu atau kumpulan yang terpinggir akan menyertai parti sedia ada sama ada di blok kerajaan atau pembangkang,” katanya.

Menurut Mohd Yusri yang juga Pensyarah Kanan Pusat Pendidikan Asas dan Liberal (PPAL), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), krisis PKR bukan sahaja memberi kesan kepada Pakatan Harapan (PH), bahkan boleh merubah lanskap politik negara.

“PKR adalah parti tonggak dalam Pakatan Harapan (PH), krisis dalaman PKR pasti akan memberi kesan besar kepada PH,” katanya.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button