AntarabangsaIsu Semasa

PM Jepun Guna Instagram Untuk Pikat Hati Pengundi Muda

Pada 21 Julai 2019, Jepun akan melangsungkan Pilihan Raya Dewan Negara, dan Perdana Menteri, Shinzo Abe kini menjadikan Instagram sebagai platform media sosial pilihannya dalam usaha memenangi hati pengundi-pengundi muda.

Abe dan parti pemerintah pimpinannya, Liberal Democratic Party (LDP) sedang berusaha untuk menarik perhatian belia dengan menghasilkan video-video kempen beliau, termasuk video yang mempamerkan dirinya beramah mesra dengan para pengundi dan juga menikmati hidangan-hidangan tempatan.

PM Jepun itu bukanlah seorang ‘amatur’ dalam menggunakan platform digital, di mana beliau dikatakan telah mula aktif menggunakan media sosial seperti Facebook dan Twitter sebelum kembali berkuasa sebagai pemimpin pada 2012 lagi.

Walau bagaimanapun ini merupakan pertama kali Abe menggunakan Instagram untuk berkempen dalam pilihan raya.

Berdasarkan sebuah kajian yang dilaksanakan oleh Kementerian Komunikasi, langkah ini membolehkan Abe untuk mencapai jutaan pengundi muda dan difahamkan, lebih daripada 50% rakyat Jepun yang berusia dalam lingkungan 20-an menggunakan platform yang dimiliki oleh Facebook itu.

“Kita melihat belia sebagai kuasa liberal dan kritikal, tetapi ia tidak seperti itu di Jepun.

“LDP menjadi semakin yakin tentang penampilannya kepada belia,” kata Koichi Nakano, seorang profesor sains politik di Sophia University di Tokyo.

Dalam pada itu, parti-parti pembangkang juga turut memanfaatkan media sosial di dalam kempen-kempen mereka, dan cuba bersaing dengan Abe yang memuat naik banyak pos dalam sehari.

Sebagai contoh, Constitutional Democratic Party of Japan dilaporkan menggunakan Twitter bagi menyampaikan mesej-mesejnya kepada rakyat, sambil menggunakan pelbagai slogan termasuk:

1. “Pada musim panas ini, saya mahu berubah”

2. “Demokrasi Reiwa” 

Reiwa merujuk kepada nama era baru Jepun selepas penurunan takhta Maharaja Akihito. pada awal tahun ini.

Bagi pemimpin Democratic Party for the People pula, Yuichiro Tamaki yang menggelar dirinya sebagai “YouTuber”, beliau telah mewujudkan sebuah channel di YouTube dan memuat naik video-video tentang pilihan raya serta isu-isu yang diperbahaskan di dalam Parlimen.

Namun begitu, ramai pengundi muda dilihat lebih cenderung menyokong LDP pimpinan Abe berbanding parti pembangkang.

Pada bulan Jun 2019, 52% daripada penyokong Abe terdiri daripada golongan belia berusia 29 tahun dan ke bawah.

Kaji selidik yang dilakukan oleh akhbar Asahi mendapati bahawa jumlah tersebut lebih tinggi berbanding purata 45% daripada seluruh kumpulan umur pengundi lain.

Difahamkan, anak muda dilaporkan dapat menjalani kehidupan yang agak baik di bawah pemerintahan Abe dan kebanyakan belia juga lebih mengenali beliau berbanding mana-mana pemimpin lain.

Menurut Bank Dunia, peluang pekerjaan juga tersedia di bawah pentadbiran beliau dan sementara pengangguran dalam kalangan individu berusia 15 hingga 24 tahun mencecah 20% di Perancis dan 8.5% di Amerika Syarikat (AS) pada tahun lepas, pengangguran dalam kalangan golongan itu kurang daripada 4% di Jepun.

Sementara itu, hasil tinjauan pendapat menunjukkan bahawa LDP dijangka akan meraih kemenangan besar dalam pilihan raya pada 21 Julai nanti.

Sumber: Straits Times – Bloomberg

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button