AntarabangsaIsu Semasa

Isu Pembelian S-400: Trump Tidak Sehaluan Dengan Kongres Dan Pentagon?

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump baru-baru ini dilaporkan enggan mengkritik tindakan Turki yang membeli sistem pertahanan peluru berpandu S-400 dari Rusia, walaupun ia ditentang hebat oleh Pentagon dan Kongres.

Sebelum ini juga, AS secara kerap menegaskan bahawa ia akan mengenakan pelbagai sekatan ke atas Turki, termasuk membuang Turki daripada program pembangunan jet pejuang F-35, membatalkan penghantaran 100 buah F-35 kepada Turki, dan menguatkuasakan sekatan ekonomi, sekiranya  negara itu meneruskan pembelian senjata tersebut.

Walau bagaimanapun, Trump tidak langsung menyebut tentang melaksanakan sekatan-sekatan seperti yang diancam oleh Washington terhadap Ankara sebelum ini.

Dalam kenyataan pertamanya sejak Turki menerima S-400 pada Jumaat lalu, jutawan berkontroversi itu sebaliknya berkata bahawa Turki berada dalam keadaan yang memaksa ini disebabkan oleh bekas presiden, Barack Obama.

Jelas Trump lagi, beliau memahami sebab mengapa Turki memilih untuk membeli peluru berpandu Rusia berkenaan.

“Saya menjalinkan hubungan yang baik dengan Presiden (Recep Tayyip) Erdogan.

“Mereka berada dalam situasi yang amat sukar dan keadaan juga sukar buat kita…oleh itu, kita sedang menanganinya – kita lihat apa yang akan berlaku,” katanya.

Trump turut menyifatkan perkara ini sebagai sebuah “situasi yang rumit”, di mana juga beliau menyedari bahawa Pentagon telah menggantung Turki daripada program F-35 dan menyekat penghantaran 100 buah jet pejuang halimunan itu.

“Oleh kerana mereka (Turki) mempunyai sistem peluru berpandu buatan Rusia, mereka kini dilarang untuk membeli 100 pesawat itu.

“Saya rasa Lockheed tidak begitu gembira (dengan keadaan ini),” kata Trump merujuk kepada syarikat pengeluar F-35, Lockheed Martin.

Namun begitu, kenyataan yang dikeluarkan oleh Trump dikatakan amat bercanggah dengan pendirian Pentagon dan Kongres.

Pentagon dan Kongres berpandangan bahawa menempatkan sistem S-400 di samping F-35 adalah ancaman kepada AS dan sistem udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Difahamkan, tentera Turki merupakan yang kedua terbesar di dalam NATO, dan tindakan mengintegrasikan sistem S-400 dalam rangkaiannya berpotensi membolehkan Rusia mengumpul maklumat perisikan penting mengenai keupayaan F-35.

“Turki telah lama menjadi sekutu NATO yang amat berkemampuan, tetapi keputusan mereka berhubung S-400 adalah keputusan yang salah dan mengecewakan.

“Pembelian S-400 secara asasnya menjejaskan keupayaan F-35 dan kemampuan kami untuk mengekalkan dominasi di udara,” tegas Mark Esper, calon Setiausaha Pertahanan pilihan Trump.

Menurut Esper, beliau telah memaklumkan kepada Menteri Pertahanan Turki, Hulusi Akar bahawa dasar beliau adalah:

“Anda sama ada boleh memiliki S-400 atau F-35. Anda tidak boleh memiliki kedua-duanya sekali.”

Pada Jumaat juga, Senator-senator kanan Republikan dan Demokrat telah mendesak Trump untuk menguatkuasakan sekatan baru ke atas Turki dan dengan segera “menamatkan” penglibatan Turki dalam program F-35.

“Dengan menerima penghantaran S-400 dari Rusia, Presiden Erdogan telah memilih perkongsian yang berbahaya dengan (Presiden Rusia Vladimir) Putin dengan merisikokan keselamatan Turki, serta kesejahteraan ekonomi dan integriti sekutu NATO,” kata mereka dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Trump pula dilihat mengambil pendekatan yang lebih lembut dalam isu ini.

“Kita mempunyai situasi di mana Turki amat baik kepada kita, sangat baik,” katanya merujuk kepada tindakan Turki membebaskan seorang pastor Kristian warga AS pada Oktober lepas yang ditahan selama dua tahun.

“Dan kita kini memberitahu Turki bahawa hanya kerana mereka sudah dipaksa untuk membeli sistem peluru berpandu yang lain, kita tidak akan menjual jet pejuang F-35 kepada mereka.

“Dan hanya kerana mereka membeli peluru berpandu Rusia, kita tidak dibenarkan untuk menjual kepadanya pesawat yang bernilai berbilion dolar. Situasi ini tidak adil,” tambah Trump.

Pada tahun 2009, Turki pada asalnya ingin membeli sistem pertahanan peluru berpandu Patriot buatan AS, di mana perjanjian AS$7.8 bilion kemudian diluluskan oleh pentadbiran Obama.

Tetapi, Washington membantah permintaan Ankara, yang mahu meningkatkan lagi pangkalan teknologinya tersendiri, untuk mengeluarkan beberapa komponen dalam sistem Patriot sebagai sebahagian daripada perjanjian itu.

 

Sumber: NST – AFP

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button