Isu SemasaTempatan

Beberapa Individu Ini Berminat Untuk Mengambil Alih Dan Pulihkan Malaysia Airlines

Potensi pengambilalihan syarikat Malaysia Airlines Bhd (MAB) telah menjadi satu topik yang hangat diperbincangkan oleh pelbagai pihak sejak kebelakangan ini.

Walaupun sudah menjalani penstrukturan semula, termasuk perubahan pengurusan dan pelantikan beberapa individu baru untuk menerajuinya, MAB masih kekal tidak menguntungkan.

Dalam satu kenyataan pada bulan lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata bahawa kerajaan mempertimbang untuk menjual syarikat penerbangan kebangsaan itu “sekiranya terdapat tawaran yang baik”.

Difahamkan, terdapat empat syarikat yang dilaporkan berminat untuk mengambil alih MAB.

Walau bagaimanapun, Dr Mahathir menyatakan bahawa masih tiada keputusan yang dibuat berhubung tawaran-tawaran tersebut, dan kerajaan perlu berhati-hati dalam melakukan pertimbangan.

Jelas beliau, syarikat-syarikat tempatan yang telah mengemukakan kertas cadangan (proposal) pengambilalihan MAB berasa yakin dengan keupayaan mereka untuk memulihkan syarikat penerbangan tersebut.

Berikut adalah beberapa individu berpengaruh yang telah menzahirkan minat untuk memulihkan MAB demi mengembalikan kegemiliangannya.

1. DATUK PAHAMIN AB RAJAB

Pengasas bersama dan bekas pengerusi AirAsia Group Bhd, Datuk Pahamin Ab Rajab telah mengetuai sekumpulan ahli perniagaan untuk bertemu dengan Dr Mahathir bagi menyatakan minatnya terhadap MAB.

Beliau serta lima orang lagi rakan kongsi berikrar untuk memulihkan syarikat penerbangan tersebut dalam tempoh 18 bulan, sambil memberi jaminan bahawa perancangan mereka tidak membabitkan pembuangan kerja.

Ketika pertemuan itu, Pahamin dan kumpulannya telah meminta kelulusan Perdana Menteri, yang juga memegang jawatan pengerusi Khazanah Nasional Bhd (pemegang saham tunggal MAB) untuk melakukan ketekunan wajar terhadap syarikat penerbangan kebangsaan itu bagi mencari penyelesaian tepat, di mana proses tersebut mungkin akan mengambil masa di antara enam dan sembilan bulan.

Kumpulan perniagaan Pahamin, yang dikenali sebagai Najah Air Sdn Bhd, bercadang untuk mengekalkan MAB sebagai syarikat penerbangan perkhidmatan penuh premium, sementara Flyfirefly Sdn Bhd akan diubah menjadi penerbangan berkos rendah ultra yang memfokuskan golongan milennial.

Pada masa yang sama, Pahamin menawarkan untuk membeli 49% saham di dalam MAB manakala baki saham 51% kekal milik Khazanah.

Dalam pada itu, memandangkan beliau pernah memegang jawatan besar di dalam AirAsia, terdapat spekulasi bahawa Pahamin mewakili Tan Sri Dr Tony Fernandes dalam pengambilalihan MAB.

Namun, Fernandes menafikan sebarang minat berhubung perkara itu.

2. TAN SRI SYED AZMAN SYED IBRAHIM

Syarikat milik Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim, iaitu Weststar Group MD merupakan salah satu pesaing kuat yang berminat untuk mengambil alih MAB.

Syed Azman pernah memegang pelbagai jawatan dalam Angkatan Tentera Malaysia pada tahun 1980 sehingga 1993.

Kini berusia 59 tahun, beliau berada pada tangga ke-25 dalam Senarai 50 Individu Terkaya Malaysia Forbes, dengan jumlah aset bernilai AS$750 juta (RM3.1 bilion) setakat bulan Mac 2019.

Bermula sebagai seorang kontraktor pertahanan dan kemudian mempelbagaikan lagi perniagaannya, termasuk menjadi pengedar kereta, Syed Azman kini mengendalikan armada helikopter terbesar di Asia Tenggara bagi sektor minyak dan gas menerusi Weststar Aviation Services Sdn Bhd.

3. FERIZ OMAR

Selepas Khazanah menolak kertas cadangan pengambilalihan Jentayu Danaraksa Sdn Bhd pada tahun 2014, pengasas dan pengarah urusannya, Feriz Omar dilaporkan melaksanakan cubaan kedua untuk mengambil alih MAB.

Feriz mengetuai enam individu, termasuk dirinya dan bekas Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) Malaysia Airlines System Bhd (MAS) Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman.

Jentayu merupakan sebuah syarikat yang terdiri terdiri daripada golongan profesional Bumiputera yang kemudian menjadi usahawan, di mana ia mengkhususkan bidang penerbangan, kewangan korporat, dan pasaran modal.

Feriz ialah seorang jurutera kewangan dan pegawai bank pelaburan. Berdasarkan profil LinkedInnya, beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam dunia korporat dan juga pernah menjadi penasihat/pegawai khas di pejabat Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri di antara tahun 2009 dan 2013.

4. SHAHRIL LAMIN DAN TAN SRI DR ABDUL AZIZ ABDUL RAHMAN

Pada bulan Mac, sebuah kumpulan yang terdiri daripada bekas kakitangan MAS serta beberapa individu merupakan pihak yang pertama untuk meluahkan minat dalam membantu kerajaan memulihkan MAB.

Diketuai oleh peguam korporat, Shahril Lamin dan bekas CEO MAS, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman sebagai penasihat, kumpulan tersebut meluahkan keyakinan bahawa ia boleh mendatangkan keuntungan bagi MAB dalam tempoh tiga tahun.

Shahril dan rakan-rakannya dikatakan mempunyai penyelesaian bagi memulihkan MAB tidak lama selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Mereka berpandangan bahawa kerajaan tidak patut menutup syarikat penerbangan kebangsaan itu.

 

5. LAIN-LAIN

Sekumpulan pelabur yang dikatakan berminat untuk mengambil alih MAB, dipercayai telah mendekati QuantePhi Sdn Bhd, iaitu sebuah firma penasihat butik yang diasaskan oleh Mohammed Rashdan Yusof, untuk menasihati pengambil alihan syarikat penerbangan itu.

QuantePhi merupakan penasihat kewangan kepada DRB-Hicom Bhd, dalam penstrukturan semula korporat bagi syarikat Proton Holdings Bhd yang sebelum ini mengalami masalah.

Dari tahun 2011 sehingga 2012, Mohammed Rashdan memegang jawatan timbalan CEO kumpulan syarikat MAS. Beliau kemudian bersama Gamuda Bhd sejak 2018 dan kini menjadi timbalan Pengarah Urusan Gamuda.

Beliau mempunyai pengalaman 26 tahun berkhidmat dalam pelbagai bidang seperti kewangan korporat, industri perbankan pelaburan, perundingan korporat, dan perkhidmatan kewangan.

Kini, Mohammed Rashdan menjadi ahli lembaga pengarah dalam pelbagai syarikat termasuk MAB, Ranhill Energy Sdn Bhd, QuantePhi, Quintephi Sdn Bhd, Fayruz & Rashdan Sdn Bhd, dan Sepang International Circuit Sdn Bhd.

Sumber: The Malaysian Reserve

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button