AntarabangsaIsu Semasa

Adakah Najib Layak Menjadi Penasihat BN?

Skandal-skandal yang menyelubungi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat sebagai salah satu punca utama yang membawa kepada kekalahan bersejarah Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu selepas lebih daripada 60 tahun memegang tampuk pemerintahan negara.

Kini, beliau sedang berdepan sebanyak 42 dakwaan, termasuk penggubahan wang haram, penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah, di mana salah satunya membabitkan tindakannya menyalahgunakan jawatannya (ketika menjadi PM) berhubung dana SRC International Sdn Bhd (SRC) yang berjumlah RM42 juta.

Walaupun Najib dikatakan menjadi salah satu penyebab besar kekalahan BN pada PRU14, beliau baru-baru ini telah dilantik menjadi Pengerusi Ahli Lembaga Penasihat BN.

Justeru, timbul satu persoalan yang bermain di fikiran ramai pihak – tiadakah individu lain yang mampu atau layak untuk menasihati BN?

Namun begitu, pelantikan beliau tetap mengundang kritikan daripada beberapa individu termasuk Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang sebelum ini menjadi salah seorang pemimpin yang sering mempertahankan beliau.

Nazri menyifatkan pelantikan tersebut sebagai satu “langkah ke belakang”.

“Saya rasa ia regresif, kita (BN) kalah bawah siapa? Apa jenis nasihat yang beliau boleh berikan?”, soalnya.

Beliau turut berkata bahawa keputusan pelantikan Najib tidak dilakukan demi kepentingan parti.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin turut meluahkan kekecewaannya berhubung pelantikan bekas bos beliau sebagai Penasihat BN.

Sebelum ini, Khairy menolak pelawaan untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sambil berkata bahawa beliau “gembira dengan kedudukannya sekarang.”

Tetapi apabila diminta pandangan tentang pelantikan Najib, beliau berkata:

“Tiba-tiba, saya tidak gembira di mana saya berada sekarang.”

Sementara itu, Khairy juga memberi peringatan tegas kepada pemimpin-pemimpin UMNO agar tidak menjadikan parti keramat itu sebagai ‘perisai’ dalam menghadapi pertuduhan di mahkamah.

“Saya tuan-puan bukan saya tak hormat pada Datuk Seri Najib. Dia yang angkat saya jadi menteri. Dia yang lantik saya jadi menteri tuan puan. Mestilah sedikit sebanyak saya terhutang budi.

“(Tapi) saya merayu sangat janganlah gunakan parti untuk perisai diri sendiri kerana yang ada di bawah tidak berdosa. Jutaan ahli Umno tidak berdosa.

“Saya (pernah menjadi) menteri, saya tahu sedikit sebanyak kesilapan, saya mohon maaf kepada rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Padang Rengas pada Ahad, 14 Julai 2019.

Walau bagaimanapun, Najib tetap mempertahankan pelantikannya dengan berkata bahawa ia dilakukan untuk mengukuhkan lagi BN serta parti-parti komponennya, yang kini sudah mengecil kepada tiga parti sahaja.

Dalam pada itu, segelintir anggota UMNO dan BN menyatakan bahawa pasca-pilihan raya pada 9 Mei lalu, Najib merupakan satu-satunya pemimpin parti yang mengambil inisiatif untuk bersuara mengkritik dasar-dasar Pakatan Harapan.

Beliau turut dikatakan menjadi satu-satunya pemimpin yang menggunakan media sosial untuk berhubung dan berkomunikasi dengan orang ramai pada hampir setiap hari.

Betul atau salah, Najib juga dilihat berjaya memulihkan imejnya dan meraih populariti yang luar biasa menerusi kempen “Bossku” beliau.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga menegaskan bahawa pelantikan Najib dilakukan adalah kerana pengaruh beliau diharap dapat membantu BN berkuasa semula pada PRU15 nanti.

Jelas beliau, Najib dilihat mampu menyumbang idea dan tenaga untuk menarik sokongan rakyat, dan pemimpin serta ahli UMNO yang lain tidak wajar mengkritik pelantikannya dengan mengenepikan kemampuan bekas PM itu.

Difahamkan, terdapat juga teori bahawa gabungan Najib dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi -yang juga berdepan pelbagai pertuduhan- diperlukan untuk menggerakkan aset-aset UMNO bagi melakukan persediaan menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.

Menurut seorang pemimpin BN, mantan Perdana Menteri dan bekas timbalannya itu memainkan peranan penting dalam memastikan sokongan di peringkat akar umbi terus kekal utuh, sekiranya PAS yang menjadi rakan kongsi strategik BN pada masa ini, memutuskan untuk berpaling tadah satu hari nanti.

Sumber: The Malaysian Reserve, Malaysia Kini, Sinar Harian

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button