AntarabangsaIsu Semasa

Selepas 5 Tahun, Thailand Akhirnya Tamatkan Pemerintahan Tentera

Perdana Menteri Thailand Prayuth Cha-o-cha pada Isnin, 15 Julai 2019, secara rasmi telah meletak jawatan sebagai ketua kerajaan tentera,

Beliau berkata, Thailand akan ditadbir sebagai sebuah negara demokrasi selepas lima tahun berada di bawah pemerintahan tentera.

Menerusi pindaan perlembagaan yang dilakukan Prayuth sebelum pilihan raya, beliau berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai perdana menteri dengan sokongan parti-parti pro tentera di Parlimen dan barisan anggota Senat lantikan tentera.

Dalam satu ucapan yang disiarkan di televisyen, beliau menjelaskan bahawa pemerintahan tentera telah membawa kejayaan dalam pelbagai perkara, daripada menangani masalah tangkapan ikan secara haram dan pemerdagangan manusia, sehinggalah operasi menyelamat 12 remaja lelaki dan jurulatih bola sepak mereka yang terperangkap dalam gua pada tahun lepas.

Prayuth telah mengetuai rampasan kuasa daripada kerajaan pimpinan bekas perdana menteri, Yingluck Shinawatra pada tahun 2014.

Tegasnya, campur tangan tentera amat diperlukan pada waktu itu demi memulihkan keamanan negara berikutan demonstrasi jalanan dan pertempuran ganas yang berlanjutan selama enam bulan.

“Thailand kini menjadi sebuah negara demokrasi sepenuhnya dengan monarki berperlembagaan, serta parlimen di mana anggota-anggotanya dipilih (oleh rakyat).

“Semua masalah akan ditangani secara normal berlandaskan sistem demokrasi, tanpa sebarang keistimewaan,” katanya merujuk kepada kuasa luas yang dimiliki oleh kerajaan tentera sebelum ini.

Minggu lepas, Prayuth dilaporkan telah menggunakan kuasa-kuasa khas yang diperuntukkan kepadanya untuk mengakhiri pelbagai sekatan yang dikenakan ke atas media.

Bekas jeneral tentera itu juga memindahkan kes undang-undang awam dari mahkamah tentera kepada mahkamah awam.

Dalam pada itu, Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn perkenan meluluskan Kabinet awam baru yang dipimpin oleh Prayuth.

Kerajaan baru beliau terdiri daripada gabungan 19 buah parti yang memegang majoriti tipis di dalam Parlimen.

Difahamkan, Thailand telah mengharungi pelbagai insiden pergolakan dan keganasan politik – serta dua penggulingan kuasa yang dilancarkan oleh tentera – sejak tempoh 15 tahun lalu.

Kini, rakyat secara umumnya menjadi lebih berhati-hati dengan apa yang bakal ditawarkan oleh kerajaan baru.

“Kita perlu melihat kerja mereka terlebih dahulu. Tiada masalah untuk mempunyai ‘muka-muka lama’, asalkan mereka mempunyai idea baru untuk melaksanakan pembaharuan,” kata Noppawan Hiranpruk, seorang vendor kedai runcit.

Sumber: Channel News Asia – Reuters

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button