Bisnes & Ekonomi

Lelaki Korea Selatan Disebalik Kebangkitan Jenama Sukan Fila

Siapa sangka jenama terkenal Fila daripada Itali ini bakal dipegang oleh orang daripada Asia.

Jenama yang dimulakan di Itali pada tahun 1911 ini telah dijual kepada sebuah firma di Amerika Syarikat pada tahun 2003 tetapi syarikat tersebut mengalami penurunan jualan yang teruk dengan pengurusan yang tidak baik sehingga tidak membantu menyelamatkan syarikat tersebut.

Namun ia membuka peluang dan langkah untuk seorang jejaka dari Korea Selatan untuk mengorak strategi bagi mendapatkan saham terbesar daripada syarikat tersebut.

Yoon Yoon-soo yang juga dikenali sebagai Gene kini diperkirakan bernilai US$830juta melalui sahamnya di Fila Korea Ltd. telah mengambil alih jenama Fila global pada tahun 2007.

 

Fila Mengalih Sasaran Pasaran

Fila yang pada ketika dahulu memfokuskan pembeli pada usia 30 hingga 40 tahun, kini ia lebih memfokuskan kepada anak muda dengan harga yang lebih murah. Fila juga mula menambat hati peminat apabila mereka mensasarkan pembeli yang mencari kasut klasik dengan ‘style‘ tahun 90an.

Salah satu kasut getah yang terkenal ialah “Disruptor 2” yang dikeluarkan pada 2017. Ia sangat popular di kalangan wanita dan Fila menganggarkan lebih dari 10 juta pasang kasut tersebut telah terjual sehingga bulan Januari.

Walau bagaimanapun Yoon yang kini berusia 73 tahun tidak mahu memberi komen tentang cerita tersebut sebaliknya lebih mahu memfokuskan tentang kemajuan Fila yang lebih dari sekadar jenama sukan untuknya.

“Ia seperti bayi yang saya punya pada usia lewat 45 tahun,” katanya.

 

Selebriti Bantu Mempromosikan Fila

Fila telah dibantu oleh beberapa selebriti yang memakai barang keluaran mereka seperti Kendall Jenner dan penyanyi Rihanna yang pernah dilihat mengenakan pakaian dengan logo Fila serta warna ikonik mereka – logo berwarna biru, merah dan putih.

Saham Fila Korea telah meningkat sejak tahun lalu sebanyak 400% dan kini bernilai US$4.3 bilion.

Kini Yoon dan keluarganya memiliki 20% daripada saham syarikat tersebut.

 

Penjualan Kasut dan Pakaian Fila Melonjak 52%

Yoon boleh diperkirakan sebagai seorang yang lambat mekar kerana beliau menamatkan pengajiannya di kolej pada usia 30an tahun dan mula bekerja di Fila pada tahun 1991 sebagai ketua di syarikat Kora Selatan dengan gaji tahunan sebanyak US$1.5juta.

Namun beliau melihat dirinya lebih berpotensi daripada gaji tersebut dan pada Januari 2007, beliau membeli jenama global Fila dan semua anak syarikatnya pada harga US$400juta!

Pada tahun 2010, beliau menjadikan syarikat tersebut syarikat awam di Korea Selatan. Selain daripada itu, Yoon juga mengambil langkah pada tahun 2011 dengan memiliki kepentingan majoriti kepada syarikat terkenal membuat bola golf, Tietlest yang kini bernama Acushnet Holdings Corp.

Pada tahun 2016, Acushnet telah tersenarai di bursa saham New York.

Fila Korea dilaporkan memiliki keuntungan sebanyak US$2.6bilion pada tahun 2018 di mana 61% keuntungan adalah daripada Acushnet.

Tetapi penjualan kasut dan pakaian Fila telah melihat peningkatan sebanyak 52% tidak termasuk Acushnet berbanding tahun sebelumnya.

 

Pernah Bercita-Cita Menjadi Doktor Tetapi Gagal Tiga Kali

Yoon tidak pernah terlintas untuk mencapai kejayaan yang dimilikinya sekarang kerana pada awal cita-citanya ialah untuk menjadi doktor tetapi gagal untuk memasuki sekolah perubatan sebanyak tiga kali. Akhirnya beliau belajar dan lulus dalam bidang sains politik dan diplomasi.

Yoon yang kehilangan ibunya setelah ibunya melahirkannya dan bapanya pula meninggal dunia akibat kanser ketika di bangku sekolah menengah sukar untuk mendapat pekerjaan kerana usianya yang perlu bersaing dengan orang muda.

Setelah berkali-kali cuba untuk mendapatkan pekerjaan, akhirnya Yoon mendapat pekerjaan di JC Penney Co yang membeli produk Korea untuk dijual di Amerika Syarikat. Di situlah Yoon mengetahui tentang jenama Fila dan telah berjaya merunding dengan syarikat itu untuk membuka kilang pembuatan kasut di Korea Selatan.

Lantaran itu Yoon diberi tanggungjawab untuk membuka dan mengetuai perniagaan syarikat itu di Korea yang kini miliknya!

Kini Fila beroperasi di lebih daripada 70 negara dan sedang melihat peningkatan yang tinggi dengan pasaran di China yang mana Fila Korea memiliki 15% daripada perkongsian saham dengan Anta Sports Products Ltd.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button